Jumaat, 29 Mei 2015 | 8:31pm

CDC daftar kakitangan MAS diberhentikan mulai 1 Jun

KUALA LUMPUR: Pusat Pembangunan Korporat (CDC), badan yang ditubuhkan Khazanah Nasional Bhd untuk membantu kakitangan Penerbangan Malaysian (MAS) yang akan diberhentikan, akan memulakan pendaftaran pada 1 Jun.

CDC, diwujudkan untuk membantu transisi kerjaya kakitangan terbabit, adalah sebahagian daripada pelan 12 perkara pemulihan MAS.

Ketua Pengawai Eksekutif, Shahryn Azmi, berkata mereka akan ditawarkan pelbagai perkhidmatan penempatan luar serta latihan percuma, termasuk profil bakat, kaunseling kerjaya, latihan asas dan terperinci, kemahiran mencari kerja, keusahawanan, rancangan persaraan dan penempatan.

"Sama ada mereka mencari kerja baharu, merancang membuka perniagaan atau bersara awal, kumpulan CDC akan menawarkan langkah, nasihat dan sokongan praktikal bagi merancang langkah seterusnya selancar mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahryn berkata, CDC bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan, termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dan MyAngkasa Amanah Bhd bagi menawarkan nasihat dan perundingan mengenai perancangan kewangan, pengurusan kredit, pelaburan serta topik berkaitan.

Sementara itu, beliau berkata, mereka yang ingin meningkatkan kemahiran, CDC menawarkan hampir 450 program, kursus atau kelas yang sesuai dengan pasaran dalam pelbagai industri.

Menurutnya, mereka akan mempunyai akses kepada banyak pilihan, termasuk perniagaan, komunikasi, keusahawan, kejuruteraan, pemasaran serta teknologi maklumat. - BERNAMA

64 dibaca
Berita Harian X