Jumaat, 29 Mei 2015 | 9:56pm

22 lagi rangka mayat ditemui di Bukit Wang Burma

ANGGOTA keselamatan memeriksa sekitar kem di Bukit Wang Burma, Wang Kelian hari ini. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Sejumlah 22 rangka mayat yang berkafan dipercayai mangsa pemerdagangan manusia ditemui di Sektor A, Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis, setakat jam 4.40 petang tadi.

Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, ACP Datin Asmawati Ahmad, berkata dengan penemuan itu, jumlah rangka mayat yang ditemui sejak operasi menggali kubur yang dimulakan Isnin lalu ialah 35.

Beliau berkata Pasukan Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Gerakan Am PDRM akan meneruskan misi menggali dan mengeluarkan rangka mayat di lain-lain lokasi yang sudah dikenal pasti.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer. - BERNAMA

Berita Harian X