Ahad, 31 Mei 2015 | 12:03am
TANDA amaran di letakkan di pintu masuk ke sekolah bagi mengingatkan pelajar supaya berhati-hati. - Foto Rudi Afendi Khalik
ANAK buaya yang ditemui tersangkut pada jaring yang diletakkan dalam parit di belakang Klinik Kesihatan Ensengei.

45 sungai di Sarawak lubuk buaya


PELBAGAI usaha dilakukan bagi melindungi buaya daripada pupus, termasuk peruntukan undang-undang antarabangsa dan tempatan, yang menghalang pelbagai aktiviti, termasuk pemburuan, menangkap, menjual, malah memelihara haiwan berkenaan.

Inisiatif ini terbukti berjaya apabila jumlah buaya kian meningkat, namun lambakan populasi reptilia ini mencetuskan konflik dengan manusia apabila ia juga menyebabkan peningkatan kes serangan buaya, khususnya di kawasan habitat semula jadinya.

Sejak awal tahun ini sahaja, Jabatan Hutan Sarawak merekodkan lebih 10 kes serangan buaya di sungai di seluruh Sarawak, dengan sebahagian besar membabitkan kes kematian.


SAPUAN Ahmad. - Foto NSTP

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Sapuan Ahmad, berkata di kawasan penempatan tertentu, pihaknya sering menerima aduan berhubung kehadiran jumlah buaya dewasa yang banyak sehingga mencetuskan kebimbangan kepada penduduk.

"Dari satu sudut, ia membuktikan usaha melindungi reptilia itu daripada pupus, berjaya. Dari persepsi lain pula, ia mencetuskan kebimbangan apabila jumlah buaya dewasa terlalu banyak boleh mencetuskan konflik dengan manusia, termasuk terdedah kepada risiko serangan, lebih-lebih lagi dalam keadaan sumber makanan reptilia ganas itu semakin berkurangan," katanya kepada BH.

Di Sungai Bako di pinggir bandar raya Kuching sahaja, terdapat sekurang-kurangnya tujuh ekor buaya bagi setiap kilometer sepanjang sungai berkenaan.

"Ini bermakna di sepanjang 18 kilometer sungai itu, ada sekurang-kurangnya 126 buaya. Ini jauh melebihi jumlah berkesan untuk pengurusan hutan iaitu lima ekor buaya bagi setiap kilometer panjang sesebuah sungai. Seharusnya hanya ada 90 ekor buaya di Sungai Bako.


TEMPAT pembiakan buaya di Taman Negara Wetlands Kuching. - Foto Saifullizan Tamadi

"Di Taman Negara Wetlands Kuching, tinjauan kami mendapati lebih 100 ekor buaya ditempatkan di situ. Buaya dewasa amat berbahaya kerana boleh menyerang manusia. Ini disebabkan kekurangan makanan, faktor mengawan dan mengawal telur yang sedang dieram," katanya.

 

Beliau berkata, secara keseluruhannya, 45 sungai dikenal pasti sebagai lubuk buaya sejak kita melaksanakan Ordinan Hidupan Liar pada tahun 1990. Ia berikutan hasil kajian pada pertengahan 1980-an mendapati populasi reptilia itu menyusut kepada seekor bagi setiap kilometer panjang sungai itu," katanya.

Mengikut ordinan itu yang dipinda pada tahun 1998, mana-mana individu yang didapati memburu, membunuh, menangkap, menjual, mengimport, mengeksport, memelihara atau menyimpan bahagian atau organ buaya tanpa lesen sah boleh dihukum satu tahun penjara dan denda tidak lebih RM10,000.

Di Sarawak, aktiviti pemburuan atau pembunuhan reptilia itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kecuali ada risiko ancaman keselamatan kepada kehidupan manusia.


PERANGKAP yang dipasang JHS untuk memerangkap buaya di sebuah kolam terbiar di Desara, Tudan. - Foto Kandau Sidi

Berikutan lambakan populasi buaya, Sapuan berkata, penting untuk tindakan segera diambil bagi memastikan populasi buaya terkawal dalam keadaan habitat semula jadinya.

"Namun, usaha ini agak sukar kerana buaya diletakkan di bawah peruntukan undang-undang antarabangsa Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES), yang bermaksud haiwan ini tidak boleh dijual beli atau import eksport.

"Ini bermakna sebarang usaha untuk mengeksport lebihan buaya ini tidak boleh dilakukan. Berdasarkan Apendiks II CITES, hanya generasi kedua haiwan ini boleh didagangkan, tetapi dengan permit CITES dan ladang berdaftar dengan sekretariatnya.

"Kami berusaha menyenaraikannya kepada Apendiks III bagi membolehkan spesies buaya ini diburu dan dijual. Namun, cadangan itu dibantah pelbagai pihak di peringkat antarabangsa. Ini menimbulkan dilema kepada kami apabila terpaksa membunuh dan membuang bangkai buaya ini secara sia-sia apabila berlaku konflik di antara reptilia itu dan manusia," katanya.


BUJANG Senang yang pernah menggemparkan Sarawak pada 1980-an adalah daripada spesies buaya tembaga.

INFO

  • Pada tahun 1980-an, masyarakat di Sarawak pernah gempar dengan kejadian seekor buaya ganas bergelar 'Bujang Senang' yang mendiami Sungai Batang Lupar di Sri Aman, Sarawak, menyerang dan membaham beberapa mangsa.
  • Dikisahkan, dalam kalangan manusia yang menjadi mangsa Bujang Senang, tiada seorang pun daripada kaum Bidayuh kerana adanya perjanjian antara sang bedal dengan keturunan kaum Bidayuh.
  • Sekitar 1982 sehingga 1991, reptilia ganas itu membaham 13 penduduk kampung. Selepas membunuh mangsa yang ke-14, haiwan itu dibunuh pemburu berbangsa Iban dan anggota polis pada 22 Mei 1992.
  • Terdapat dua jenis buaya di Malaysia, iaitu buaya tembaga (Crocodylus Porosus) yang turut dikenali sebagai buaya katak, buaya muara dan buaya air masin dan buaya Jejulong atau Malayan gharial.
  • Bujang Senang adalah daripada spesies buaya tembaga.


BUAYA tembaga. - Foto JHS

Buaya tembaga:

  • Boleh menghasilkan 60-80 biji telur pada satu-satu masa.
  • Buaya di Sungai Sarawak kebanyakannya daripada spesies Crocodylus Porosus.
  • Buaya katak berukuran empat meter hingga enam meter panjang dan boleh mencecah sehingga tujuh meter, berjalur putih di belakang badannya dan dikatakan boleh hidup lebih 50 tahun serta bermaharajalela di Sungai Batang Lupar sejak 1941.
  • Buaya jantan dewasa berukuran lima meter panjang, namun terdapat buaya yang panjangnya melebihi enam hingga tujuh meter dengan berat antara 1,500 hingga 2,500 kilogram.

  • Buaya betina bersaiz lebih kecil berbanding buaya jantan dengan purata ukuran panjangnya antara dua meter dan tiga meter.


TANDA amaran di pintu masuk ke sekolah. - Foto Rudi Afendi Khalik

Buaya Jejulong:

  • Buaya Jejulong adalah reptilia air tawar dengan muncung panjang tirus dan menyerupai gharial, seperti nama Inggerisnya.
  • Buaya Jejulong betina biasanya matang apabila bersaiz antara 2-3 meter. Ia bertelur sekelompok 30-60 biji telur dalam timbunan daun kering atau tanah gambut.
  • Tidak seperti spesies buaya lain, buaya muda tidak menerima penjagaan ibu bapa dan terdedah kepada serangan pemangsa seperti babi liar, kucing besar seperti harimau dan harimau bintang, civet dan  anjing liar.
  • Anak buaya Jejulong menetas selepas 90 hari dan ditinggalkan untuk hidup bersendirian.
794 dibaca
Berita Harian X