Ahad, 31 Mei 2015 | 8:00pm

Kem transit 100 meter dari sempadan Thailand - Shahidan

SHAHIDAN ketika sidang media di Markas Tektikal PGA di Wang Kelian. - Foto Eizairi Shamsudin

WANG KELIAN: Kem transit yang dipercayai ditinggalkan sindiket pemerdagangan manusia di dalam kawasan Hutan Simpan Mata Ayer di Lubuk Sireh terletak kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata beliau terkejut kerana kem transit itu dibina dengan cantik dan rapi serta lengkap dengan kemudahan seperti surau dan empangan kecil.

"Kelengkapan seperti generator, kain kafan, tikar sembahyang, telekung dan kebun sayur juga kelihatan di seolah-olah ada satu komuniti di situ. Sama ada wujud penyeksaan itu kita tunggu polis siasat," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan penempatan itu, di sini hari ini.

Shahidan berkata, bentuk kem sementara itu kelihatan seperti kem tentera Viet Cong dan jarak antara kem itu dengan kem di Bukit Wang Burma, Wang Kelian itu mengambil masa lebih dua jam dengan berjalan kaki.

"Keluasan kawasan itu lebih separuh daripada keluasan padang bola dan saya percaya ia bukan dibina rakyat Malaysia berdasarkan reka bentuk dan keadaan sekeliling," katanya.

Shahidan berkata, kem itu kini dikawal rapi oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi memastikan tidak ada pihak mencuri bahan bukti dan sehingga pihak forensik dan polis mengenal pasti perkara yang berkaitan.

- BERNAMA

Berita Harian X