Isnin, 1 Jun 2015 | 12:57pm
PANGLIMA Tentera Udara, Datuk Seri Roslan Saad. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pesawat MIG-29N tetap aset bernilai TUDM - Panglima

KUANTAN: Pesawat tempur MIG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih menjadi aset bernilai pasukan dan belum ada kata putus untuk menggantikan pesawat itu dalam masa terdekat.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Roslan Saad, berkata pihaknya akan terus melakukan penilaian terhadap kemampuan pesawat tempur itu bagi memastikan ia kekal kompetitif dalam memastikan keselamatan ruang udara negara.

"Memang sebelum ini ada cadangan untuk menggantikan (pesawat tempur) MIG-29N, namun buat masa sekarang kami masih menganggap ia adalah aset bernilai dan akan terus digunakan.

"Kami yakin dengan kemampuan dimiliki pesawat tempur ini dan proses menaik taraf pesawat berkenaan sedang dijalankan untuk memastikan ia mempunyai kemampuan setanding dengan pesawat terkini yang dimiliki tentera udara negara lain.

"Selain MIG-29N, pesawat tempur supersonik dimiliki TUDM iaitu F-18 Hornet dan Sukhoi SU-30MKM juga sedang menjalani proses naik taraf dan sudah pasti ia dapat meningkatkan keyakinan kami dalam melaksanakan tugas pemantauan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Istiadat Perbarisan Sempena Hari Ulang Tahun TUDM Ke-57, di Pangkalan Udara Kuantan, di sini hari ini.

Berita Harian X