Isnin, 1 Jun 2015 | 7:20pm

CDC bantu kakitangan MAS hingga empat temu duga


KETUA Pegawai Eksekutif Pembangunan Korporat (CDC), Shahryn Azmi.

KUALALUMPUR: Pembangunan Korporat (CDC), yang ditubuhkan untuk menyokong peralihan kerjaya kakitangan Penerbangan Malaysia (Malaysia Airline System Bhd - MAS), akan memadankan hingga empat temu duga kepada kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan atau enggan diserap ke dalam syarikat penerbangan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Shahryn Azmi, berkata jaminan temu duga itu bersandarkan kesesuaian kerja dan pengalaman, bertujuan melancarkan proses penempatan pekerjaan bekas kakitangan terbabit bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan baharu untuk menyara kehidupan.

Bagaimanapun, katanya, CDC tidak menjamin peserta temu duga terbabit akan mendapat pekerjaan yang dipohon kerana kejayaan peserta ditemuduga bergantung kepada pelbagai faktor lain, seperti bakat dan kesesuaian ditetapkan majikan baru.

"Tetapi CDC boleh membantu mereka dalam membuat persiapan menghadapi temu duga terbabit, termasuk penyediaan curriculum vitae (CV) dan apa yang perlu dilakukan sebelum dan semasa temu duga.

"Kami akan menolong sebaik mungkin. Sehubungan itu, kami menyarankan kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan dan mereka yang enggan diserap ke dalam syarikat penerbangan baru supaya mendaftar dengan CDC, yang mana pendaftaran dibuka mulai hari ini," katanya dalam satu pertemuan di sini hari ini.

CDC ditubuhkan oleh pemilik MAS, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) menurut Pelan Pemulihan MAS 12 perkara (PPM). CDC akan menawarkan perkhidmatan penempatan pekerjaan dan latihan kepada kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan, termasuk mengenal pasti bakat, khidmat kaunseling kerjaya, latihan asas dan terperinci, kemahiran mencari kerja, keusahawanan, serta perancangan persaraan dan penempatan kerja.

Shahryn berkata, sama ada mereka mencari pekerjaan baru, berhasrat untuk memulakan perniagaan atau bersara awal, pasukan CDC akan menunjukkan langkah yang praktikal, serta memberi nasihat dan sokongan untuk membantu merancangkan langkah seterusnya dengan lancar.

Setakat semalam, beliau dimaklumkan seramai 960 kakitangan MAS disahkan ditamatkan perkhidmatan dan tidak ditawarkan untuk diserapkan ke dalam syarikat penerbangan baru yang akan ditubuhkan nanti.

Beliau berkata, kakitangan dalam bidang pengurusan tinggi, profesional dan teknikal, dijangka tidak berhadapan masalah besar dalam mendapatkan pekerjaan baru.

Sebaliknya, bagi kakitangan rendah yang tidak memiliki kepakaran atau skil tertentu, mereka berkemungkinan perlu mendapatkan pekerjaan dalam bidang lain, yang mana CDC akan berusaha sebaik mungkin untuk membolehkan mereka mendapatkan skil yang diperlukan, katanya.

Bagi individu yang ingin menambah kemahiran, CDC menawarkan hampir 450 program, kursus atau kelas yang relevan kepada pasaran meliputi pelbagai industri.

Mereka akan mendapat pelbagai pilihan, termasuk dalam bidang perniagaan, komunikasi, keusahawanan, kejuruteraan, pemasaran, teknologi maklumat (IT), antaranya.

Shahryn berkata, individu yang mencari pekerjaan baru pula akan diberi nasihat dan bimbingan oleh kaunselor kerjaya CDC yang terlatih dan berpengalaman berhubung peluang kerjaya berdasarkan kecenderungan, pengalaman kerja terdahulu dan kemahiran.

Jurulatih profesional kaunselor penempatan pekerjaan CDC akan mencari bakal majikan yang mempunyai peluang pekerjaan sepadan dengan bakat, katanya.

Beliau berkata, pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian di www.mycdc.com.my atau hubungi talian bebas tol 1 800 888 CDC (1 800 888 232).

"Pasukan di CDC bersedia untuk membantu peralihan kerjaya kakitangan terbabit, sama ada mencari pekerjaan baru, menubuhkan perniagaan atau merancangkan persaraan awal.

"Semua perkhidmatan kami adalah percuma," katanya.

59 dibaca
Berita Harian X