Sabtu, 13 September 2014 | 5:35am

Akauntabiliti, integriti penjawat awam jadi taruhan

Siapa dalang yang membocorkan kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)? Itu persoalan besar sehingga menyebabkan 472,853 calon terpaksa menduduki peperiksaan itu pada 30 September depan di seluruh negara. Terkesan juga kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pendidikan yang memohon maaf kepada calon dan ibu bapa gara-gara kebocoran itu.

Akibat perbuatan pihak tertentu, ia bukan saja mengganggu emosi calon UPSR, ibu bapa dan guru, malah menyebabkan satu pembaziran wang negara kerana kerajaan terpaksa mengeluarkan kos kepada pegawai peperiksaan yang bertugas.

Apabila berlaku soal kebocoran soalan peperiksaan, persoalan akauntabiliti dan integriti ditimbulkan. Walaupun negara mempunyai undang-undang yang tegas di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, nilai murni dalaman itu perlu ada. Pembelajaran nilai murni selama ini pun diterapkan dalam UPSR itu sendiri dalam subjek Bahasa Melayu Penulisan - Bahagian C.

Abai nilai murni

Mengapa masih ada rakyat Malaysia yang tidak mengamalkan nilai murni itu secara berterusan? Saban tahun rakyat mendengar cerita soalan bocor di sana sini, apatah lagi pada zaman teknologi maklumat, ia agak berleluasa penyebarannya dalam media sosial baru. Sebagai contoh berlaku pada 5 Disember 2013, polis mengesahkan tiada berlaku kebocoran soalan mata pelajaran Matematik kertas dua peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Mujurlah.

Namun, antara paling diingati fenomena bocor soalan membabitkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1989, iaitu 25 tahun lalu yang memperlihatkan pelajar yang mengambil kertas wajib, Bahasa Melayu terpaksa mengambil kertas itu dua kali peperiksaan kerana soalan Kertas 1 Bahasa Melayu bocor. Riuh dan gamat ketika itu, malah penulis sendiri melalui pengalaman itu pada tahun berkenaan.

Rasa perit dan hilang tumpuan agak terasa. Apatah lagi subjek Bahasa Melayu wajib lulus dalam SPM. Mujur masing-masing kuat semangat pada ketika usia 17 tahun dan diberikan kata-kata perangsang oleh guru. Itu pelajar sekolah menengah, tetapi yang berlaku sekarang ialah membabitkan pelajar berusia 12 tahun.

Gara-gara soalan bocor, penulis membaca banyak komen yang tidak berpuas hati dan luahan perasaan menjadi viral dalam Facebook. Antaranya, ada dalam kalangan murid sudah hilang mood kerana mereka telah merancang aktiviti pada cuti sekolah sebaik peperiksaan UPSR tamat. Ada pula yang geram dan marah kerana tarikh 30 September pula, banyak aktiviti bakal dilaksanakan di sekolah membabitkan pelajar Tahun Enam, malah ada yang mempersoalkan mengapa tiada set soalan back-up peperiksaan nasional itu?

Penulis tertarik dengan luahan seorang penganalisis pendidikan yang menyatakan UPSR itu hanyalah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Tujuannya bagi mengetahui sejauh manakah tahap penguasaan setiap murid dalam setiap subjek yang diuji itu selepas enam tahun melalui pembelajaran di sekolah rendah.

Tidak dinafikan keputusan UPSR diambil kira dalam peluang kemasukan ke sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta sekolah tersohor pada peringkat negeri dan daerah, namun, ia bukan penghalang atau penyekat untuk murid melangkah masuk ke sekolah menengah.

Kata penganalisis pendidikan itu, apa pun keputusan yang diperoleh dalam UPSR, hatta 5E atau 7E (bagi sekolah jenis kebangsaan) sekalipun, mereka tetap layak masuk ke sekolah menengah. Jadi, untuk apa dan mengapa ada orang begitu ghairah untuk membocorkan soalan UPSR?

Akauntabiliti penting bagi memastikan tugas yang dilaksanakan mencapai objektif yang ditetapkan dan tiada pembaziran yang menjejaskan sumber awam.

Bagi soal integriti pula, penulis sememangnya hendak kaitkan dengan nilai murni seperti jujur, amanah, telus, tulus, adil dan saksama, berkecuali dan kebolehpercayaan.

Sewajibnya orang yang dipertanggungjawabkan (yang mana berkaitan dalam penyediaan, penyaringan, penjagaan, pemeriksaan terhadap soalan peperiksaan nasional dan berkaitan) hendaklah mengamalkan prinsip tidak mementingkan diri sendiri, sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan orang ramai.

Mudah berlaku salah laku

Prinsip akauntabiliti dan integriti penting dan perlu dihayati dan dijadikan amalan setiap orang. Sekiranya prinsip ini tidak dititikberatkan dalam pengurusan, program dan kewangan, maka penyelewengan, salah laku, penipuan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan mudah berlaku.

Prinsip akauntabiliti dan integriti memainkan peranan utama dan menyumbang ke arah keyakinan orang ramai, kebolehpercayaan tahap tinggi, kualiti dan imej sesuatu agensi kerajaan atau swasta.

Penulis percaya ia juga menjadi pra syarat bagi mendapatkan keyakinan orang ramai ke atas apa jua perkhidmatan yang dilaksanakan seperti peperiksaan nasional UPSR ini.

Penulis ialah Penganalisis Sosio Media-Politik dan Penyelidik kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X