Selasa, 2 Jun 2015 | 12:03am

Gaya anggun si pengapit mempelai

KEHADIRAN pengapit menambahkan keceriaan pada majlis perkahwinan.

HARI ini, kemeriahan sambutan majlis perkahwinan tidak lagi memberikan fokus semata-mata kepada persiapan untuk pasangan mempelai, tetapi merangkumi ahli keluarga dan insan terdekat yang turut membantu menjayakan hari bahagia itu.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya debaran dan kehangatan majlis itu turut dirasai oleh mereka yang terbabit secara langsung untuk memeriahkan lagi acara dinanti-nantikan itu. Antara individu paling berasa gementar, pastinya pengapit kerana kehadiran mereka bukan saja sebagai pembantu peribadi tetapi menambahkan keceriaan suasana pada hari istimewa itu. Penampilan mereka bukan saja perlu memenuhi tema majlis, bahkan perlu sentiasa anggun tanpa mengetepikan kesediaan berkhidmat untuk raja sehari, pada hari bersejarah mereka.

ANTARA rekaan-rekaan dari butik dalam talian, Poplook.

Tampil menyelesaikan kebuntuan dalam mencari kesesuaian busana pengapit, butik dalam talian, Poplook, melancarkan Koleksi Perkahwinan dan Keraian Empat bagi membantu bakal pengantin yang masih tercari-cari persalinan untuk gadis pembawa dulang atau pengapit pada hari perkahwinan mereka.

Direka khusus untuk kesesuaian penampilan pengapit pengantin perempuan dan keraian majlis, koleksi terdiri daripada 12 rekaan klasik itu sememangnya menyerlahkan keanggunan wanita. Hadir sebagai busana penyeri majlis, rekaan diketengahkan turut menekankan 10 mainan warna lembut dan gelap mengikut kesesuaian tema dipilih.

Untuk koleksi tahun ini, sentuhan koleksi rekaan diketengahkan masih mengekalkan potongan anggun. Menariknya, menggunakan fabrik sifon, setiap helaian koleksi memberikan pemakaian selesa sepanjang acara majlis berlangsung. Selain itu, penampilan pengapit juga tampak lebih berseri dengan tambahan fabrik renda yang berkualiti dan cantik dipadankan dengan busana berpotongan moden.

REKAAN yang dihasilkan bersesuaian dengan semua jenis tema majlis tanpa mengira peringkat umur.

Memperlihatkan gaya mewah tetapi menekankan konsep Muslimah, sopan dan mudah padan, jalinan rekaan membolehkan koleksi itu dipakai untuk semua jenis tema majlis serta peringkat usia pengapit.

Lebih istimewa, koleksi berpotongan moden klasik ini boleh disuai padan bersama mana-mana tudung, baju dan skirt mengikut kebebasan, cita rasa serta kreativiti fesyen masing-masing.

Bahkan, rekaan koleksi ini juga boleh dipadankan oleh tetamu yang ingin bertandang ke majlis dan keramaian serta keluarga terdekat ingin mengenakan busana sedondon sepanjang majlis berlangsung.

Pilihan fabrik berkualiti untuk himpunan ini juga sesuai dipadankan oleh ibu dan anak serta didatangkan daripada saiz XS hingga 4XL.

KOLEKSI ini memberikan keyakinan dan keselesaan buat wanita yang ingin kelihatan menarik.

Paling penting, koleksi ini memberikan keyakinan dan keselesaan buat wanita yang ingin kelihatan menarik, lebih-lebih lagi menjelang hari bahagia insan yang mereka sayangi serta raikan.

Koleksi untuk kanak-kanak bermula dari usia satu tahun hingga lapan tahun turut disediakan. Harga koleksi bermula daripada RM66 hingga RM149 bergantung kepada rekaan koleksi.

Berita Harian X