Selasa, 2 Jun 2015 | 1:52pm

Kim Swee buat perubahan hadapi Vietnam

KETUA Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee (kiri) dan Saiful Ridzuwan Selamat pada Sesi latihan skuad Harimau Muda di Kompleks Sukan Bukit Gombak sempena Temasya Sukan Sea 2015 Singapura. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dikejutkan Timor-Leste pada aksi pembukaan Sukan SEA 2015 di Singapura, Sabtu lepas, pertembungan menentang Vietnam, malam ini seharusnya membuka mata skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.

Sekalipun dicanang mampu menang mudah bertemu jiran baharu serantau Asia Tenggara itu, hanya satu gol berjaya membolosi gawang Timor-Leste.

Malah, skuad negara turut dikejutkan dengan insiden 'tidak profesional' ditampilkan pemain tengah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

Ia jelas memberi pengajaran buat skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu lebih-lebih lagi, Vietnam boleh dianggap pencabar utama dengan keampuhan mereka diakui sendiri jurulatih berusia 44 tahun itu.

"Vietnam kuat di sebelah kiri dan untuk perlawanan ini kita akan membuat perubahan," kata Kim Swee.

"Sudah pasti kita mahukan tiga mata penuh tetapi lebih penting adalah tidak melepaskan gol."

Apa yang pasti, tugas sukar menanti skuad negara dengan Vietnam sudah pun mempamerkan belangnya ketika membelasah Brunei 6-0 pada perlawanan pertama.

Sekalipun ia bukanlah rekod yang harus digeruni, namun Kim Swee berharap ia menjadi peringatan kepada pemainnya.

"Saya sudah lihat video perlawanan membabitkan Vietnam. Apa yang mustahak kita mengenal pasti pasukan lawan dan individu (pemain negara) yang mampu melaksanakan strategi untuk perlawanan ini.

Dibimbing jurulatih kelahiran Jepun, Toshiya Miura, Vietnam dua tahun lalu pada temasya sama di Myanmar turut mencatat kemenangan besar pada perlawanan pembukaan dengan membelasah Brunei, 7-0.

Begitupun pada aksi terakhir peringkat kumpulan, mereka dikecewakan Malaysia dengan kekalahan 2-1 sekali gus gagal mara ke separuh akhir.

Berita Harian X