Selasa, 2 Jun 2015 | 5:54pm

Gangsa pingat pertama negara di Sukan SEA 2015

HO Ying (kanan) dan Lee Rou You ketika bertemu dengan pasangan Singapura, Feng Tian Wei dan Yu Mengyu pada separuh akhir acara beregu di Stadium Tertutup Singapura hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

SINGAPURA: Hanya pingat gangsa berjaya menjadi milik beregu ping pong wanita negara, Ho Ying dan Lee Rou You apabila tersingkir di separuh akhir Sukan SEA 2015 Singapura, hari ini.

Ia menjadi pingat utama negara pada edisi ke-28 temasya serantau itu yang menyaksikan gandingan negara tewas kepada pasangan pemain naturalisasi Singapura, Feng Tianwei dan Yu Mengyu dengan keputusan 11-9, 11-7, 11-8 dan 11-4.

Pada aksi di Stadium Tertutup Singapura itu, Rou You berkata kelemahan ketara yang masih perlu diperbaiki ialah aspek kawalan bola serta kelincahan ketika beraksi.

"Memang tidak berpuas hati sebab kami kalah straight set 4-0. Kami banyak melakukan kesilapan, beregu Singapura mengawal bola dengan baik dan standard permainan mereka adalah tinggi.

"Kelemahan saya ialah ketika menerima bola dari pihak lawan. Kami sudah membuat persiapan selama tiga minggu di China sebelum ke Sukan SEA.

"Selepas ini saya akan mengambil bahagian dalam acara perseorangan dan beregu campuran," kata Rou You yang mempunyai pengalaman selama 12 tahun dalam sukan itu.

Selain Malaysia, Thailand turut meraih pingat gangsa.

Penentuan final menyaksikan Feng Tianwei-Yu Mengyu menentang rakan senegara, Lin Ye/Zhou Yihan yang menewaskan Komwong Narthana/Sawettabut Sutha 7-11,9-11, 11-3, 11-5, 10-12, 11-6, 11-8 dalam satu lagi saingan separuh akhir. - Bernama

Berita Harian X