Rabu, 3 Jun 2015 | 12:06am

Cikgu Aishah perjelas surat cinta bapa murid


PASTI ramai pernah melihat gambar seorang cikgu cantik, yang mencipta viral di laman sosial beberapa bulan lalu.

Dikenali dengan nama Cikgu Aishah, gambar cikgu yang cantik, bertudung dan berkebaya itu menarik perhatian ramai, malah ramai yang membuat kenyataan 'kalau begini rupa cikgu, pasti tak malas pergi sekolah'...dan pastinya, kenyataan ini datang daripada kalangan dewasa.

Tambah menghangatkan keadaan apabila, seutus surat juga dimuatkan bersama gambar Cikgu Aishah, kononnya surat daripada seorang bapa murid yang ingin berkenalan dengan Cikgu Aishah.


PUTERI Aishah sempat berselfie di dalam kelas. - Foto Instagram

Rentetan itu Cikgu Aishah menjadi popular sekelip mata dan lebih menarik, Cikgu Aishah benar-benar wujud.

Cikgu Aishah yang diperkatakan itu turut menyertai pertandingan Dewi Remaja edisi 2014/2015, yang dimenangi Raysha Rizrose baru-baru ini. Cuma rezeki dan tuah tidak menyebelahi Cikgu Aishah atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman untuk memenangi gelaran itu atau mendapat tempat dalam kedudukan lima teratas.


PUTERI Aishah (empat dari kiri) bersama finalis Dewi Remaja edisi 2014/2015. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Gadis berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu akan genap 21 tahun pada 6 Jun ini.

"Saya sendiri tak menyangka perkara ini berlaku...ia berlaku sekelip mata. Ketika itu, saya bertugas sebagai cikgu praktikal di sebuah sekolah. Seingat saya, semua ini terjadi Mac lalu. Saya memuat naik gambar saya bertudung di sekolah dengan keterangan gambar, 'hari pertama saya di sekolah' di laman sosial.

"Tahu-tahu, gambar itu disebarkan di laman Twitter selepas ada yang melakukan paparan skrin daripada gambar yang saya muat naik.

"Ada orang yang mungkin terlebih kreatif menggabungkan gambar saya dengan seutus surat cinta, kononnya daripada seorang bapa yang menaruh hati kepada cikgu yang mengajar anaknya. Saya melihat semua itu sekadar usikan dan ia tidak keterlaluan. Lucu juga apabila saya melayari internet dan menaip Cikgu Aishah di laman enjin carian, banyak juga carian berkaitan yang keluar," katanya membuka bicara.


SEUTUS surat yang kononnya daripada seorang bapa murid yang ingin berkenalan dengan Cikgu Aishah.

Bagi Puteri Aishah, dia tidak terkesan atau rasa popular pun selepas gambar berkenaan menjadi viral dan diperkatakan.

"Saya tak rasa ia akan buat saya mendabik dada. Saya rasa macam biasa sahaja. Tambahan pula ketika itu saya sibuk dengan praktikal dan pertandingan Dewi Remaja. Jadi saya tak terlalu fikirkan pun," katanya.

Gambar Cikgu Aishah semakin diperkatakan apabila banyak gambar lain pula memaparkan `Cikgu Aishah' tidak bertudung.

Menjelaskan perkara itu, Puteri Aishah berkata, beliau sememangnya tidak bertudung, justeru soal memakai serta membuka tudung sebenarnya tidak timbul.


PUTERI Aishah mengambil pengajian dalam jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di sebuah kolej. - Foto Instagram

"Saya belum bertudung. Cuma ketika bergelar cikgu praktikal di sebuah sekolah rendah di ibu kota, saya diminta oleh pihak kolej (tempat beliau melanjutkan pengajian) untuk mengenakan tudung. Itu sahaja," kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Ditanya mengenai penyertaaannya dalam pertandingan Dewi Remaja, gadis berdarah campuran Bugis dan Melayu itu menyifatkan ia sebagai platform atau batu loncatan untuknya mengejar cita-cita sebagai pelakon.

"Saya mula ikuti perkembangan pertandingan ini selepas Scha Alyahya memenanginya. Saya yakin ramai wanita di luar sana memang teringin hendak menyertai pertandingan ini. Saya tak terkecuali. Saya juga optimis untuk mewarnai persada seni tempatan. Kalau ada peluang menjadi teraju utama semestinya saya teruja.

"Buat masa ini, saya menghadiri sebarang uji bakat lakonan yang dianjurkan. Selepas sibuk sejak lima bulan lalu dengan jadual pertandingan Dewi Remaja, saya rasa hendak berehat tetapi sekarang ini pun sudah mula sibuk dengan penggambaran drama Kahwin Muda di samping pelakon Fadlan Hazim untuk siaran TV3," katanya.

Bagi memastikan kerjaya seninya berjalan lancar, Puteri Aishah berhasrat menyertai syarikat Alfie Management, yang turut menguruskan kerjaya seni Anzalna, Fathia Latiff dan Izara Aishah.

Sebagai artis baharu, beliau akur perlukan bimbingan.

"Kalau bergerak sendiri, saya takut jadi tunggang langgang kerana masih mentah," katanya yang mengambil pengajian dalam jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di sebuah kolej.


PUTERI Aishah bersama juara Dewi Remaja edisi 2014/2015, Raysha Rizrose (kiri). - Foto Instagram

Baru berjinak-jinak dalam dunia lakonan, Puteri Aishah juga sedar beliau

perlu memperkuatkan diri dari aspek mental dan fizikal.

"Bidang ini mungkin orang nampak senang dan glamor sahaja tapi hakikatnya ia tak semudah yang disangka. Saya kena bersiap sedia dengan apa sahaja kemungkinan. Kalau ada peluang saya nak juga asah bakat lakonan ini dengan menyertai bengkel atau kursus lakonan. Saya masih di peringkat belajar dan semuanya masih baharu bagi saya.

"Saya mahu mencuba apa sahaja watak yang mencabar diri. Kalau boleh saya nak pegang watak antagonis. Watak protagonis pun okay juga," katanya.

Di akhir perbualan, Puteri Aishah menitipkan hasrat mengikuti jejak langkah dua idolanya, Angelina Jolie dan Scha Alyahya.

"Angelina Jolie handal di gelanggang lakonan. Dia juga seorang ikon kemanusiaan. Scha Alyahya pula bagi saya, seorang wanita yang sangat sofistikated...saya meminatinya sejak dia memenangi Dewi Remaja," katanya.


PUTERI Aishah menitipkan hasrat mengikuti jejak langkah dua idolanya, Angelina Jolie dan Scha Alyahya. - Foto Instagram

INFO
Nama penuh: Puteri Aishah Sulaiman
Tarikh lahir: 6 Jun 1994
Adik-beradik: Anak kedua daripada empat beradik
Asal: Port Dickson, Negeri Sembilan

Berita Harian X