Khamis, 4 Jun 2015 | 4:44pm

Pemilihan PAS bermula

HADI mengundi barisan kepimpinan baharu PAS sesi 2015-2017 di Muktamar Tahunan Pas ke- 61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor. - Foto Yazit Razali

KUALA SELANGOR: Proses undian bagi menentukan barisan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) baharu PAS Pusat sempena Muktamar Tahunan Ke-61 bermula sebentar tadi di Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Undian yang bermula jam 4 petang dijadual selesai jam 7 petang ini, sementara keputusan rasmi akan diumum pagi esok.

Bagaimanapun jawatankuasa pemilihan menjangkakan keputusan tidak rasmi boleh diketahui seawalnya jam 10 malam ini.

Seramai 1,189 perwakilan yang mewakili kawasan PAS seluruh negara termasuk sayap pemuda, ulama dan muslimat layak mengundi bagi menentukan barisan AJK PAS Pusat Sesi 2015-2017.

Pada pemilihan kali ini, semua jawatan tertinggi PAS termasuk sayap pemuda dan muslimat menyaksikan pertandingan.

Jawatan Presiden buat pertama kali dicabar sejak 13 tahun apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditentang Ahmad Awang.

Bagi jawatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu selaku penyandang dicabar Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jawatan naib presiden pula, menyaksikan enam pencalonan termasuk dua penyandang, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub serta empat pencabar iaitu Idris Ahmad, Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Mahfuz Omar serta Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pula menyaksikan 55 calon bertanding untuk mengisi 18 kerusi.

Berita Harian X