Jumaat, 5 Jun 2015 | 12:04am
AMAR Baharin dan Amyra Rosli menafikan mereka menjalin hubungan cinta. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
AMAR Baharin dan Amyra Rosli menafikan mereka menjalin hubungan cinta. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
KEAKRABAN Amar dan Amyra membuatkan mereka digosipkan sedang hangat bercinta dan akan bernikah November depan.
KEAKRABAN Amar dan Amyra membuatkan mereka digosipkan sedang hangat bercinta dan akan bernikah November depan.

Amar, Amyra bukan kekasih


SEJAK minggu lalu, heboh diperkatakan kononnya pelakon popular, Amar Baharin dan Amyra Rosli bakal bernikah, November depan.

Sering digosip menjalin hubungan intim, Amar dan Amyra yang kerap digandingkan dalam produksi drama televisyen (TV), tampil memberi penjelasan kepada BH Plus.

Tidak tahu menahu bagaimana kisah mereka akan mendirikan rumah tangga timbul, Amar dan Amyra masing-masing menafikannya.

Amar berkata, beliau tidak menyangka gosip kononnya beliau menjalin cinta dengan Amyra berlarutan hingga dikatakan bakal menikahi gadis itu.

AMAR dan Amyra tampil sedondon pada program Salam Ramadan Al Mubarak Kosong Kosong ASTRO. - Foto Saifullizan Tamadi
AMAR dan Amyra tampil sedondon pada program Salam Ramadan Al Mubarak Kosong Kosong ASTRO. - Foto Saifullizan Tamadi

"Saya terkejut dengan cerita tiba-tiba nak kami berkahwin, sedangkan kami tak pernah memberi apa-apa kenyataan. Kisah kononnya kami mahu berkahwin itu tidak betul dan saya tak tahu datang dari mulut siapa. Apabila ada yang bercakap kami mahu kahwin pada November ini, lagilah kami terkejut.

"Perkara ini tidak pernah keluar dari mulut kami. Kepada peminat, dengarlah apa yang keluar dari mulut kami saja, janganlah percaya yang bukan-bukan," katanya.

Amar menjelaskan, beliau dan Amyra sekadar teman biasa.

"Mungkin kerana kami kerap digandingkan dalam drama, dari situ nampak seperti kami menjalinkan hubungan istimewa. Apabila kami selalu bekerjasama, kami jadi rapat sebab hari-hari jumpa. Tapi itu tidak bermakna kami bercinta.

"Setakat ini, kami sudah digandingkan dalam lima hingga enam drama. Ini juga adalah permintaan daripada stesen TV. Jadi, kami berlakon saja mengikut amanah. Ia hanyalah kebetulan dan kami sama sekali tidak merancang untuk tampil bersama," katanya.

AMYRA dan Amar berganding dalam telefilem popular, Suamiku Encik Sotong.
AMYRA dan Amar berganding dalam telefilem popular, Suamiku Encik Sotong.

Tambah Amar, soal berkahwin bukanlah sesuatu yang boleh dipandang mudah. Malah, akuinya, beliau perlu bersedia sebelum menikahi gadis pilihan hati.

Mendekati Amyra, gadis ini mengaku tidak suka digosip bakal bernikah dengan Amar. Baginya, perkahwinan bukanlah 'mainan' yang boleh direka sesuka hati.

"Berkahwin itu bukanlah perkara main-main, ia perkara baik. Nanti, apabila saya nak kahwin, sambutannya mesti tidak sehebat mana sebab orang sudah sibuk memperkatakannya sekarang," katanya.

Amyra berkata, beliau juga tidak mudah menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki.

"Bagi saya, kalau saya nak serius dalam hubungan, saya mahu berkawan betul-betul. Tapi apabila orang menyampaikan gosip begini, saya ambil sebagai angin lalu saja dan tak ambil serius," katanya yang tampil sedondon bersama Amar pada majlis petang itu.

AMYRA bersama ibu yang juga pengurusnya.
AMYRA bersama ibu yang juga pengurusnya.

Sementara itu, ibu Amyra yang juga pengurusnya, Noor Zaridah Ahmad, berkata sebagai ibu dan individu yang sering berada di sisi anaknya, beliau pasti tahu andai Amyra menjalin hubungan dengan mana-mana jejaka.

"Saya minta orang ramai usah percaya gosip itu kerana tiada hubungan istimewa antara anak saya dan Amar," katanya yang juga menguruskan karier Amar.

Sementara itu, Amyra dan Amar sekali lagi digandingkan bersama dalam drama Cik Bunga Encik Sombong, tidak lama lagi.

Berita Harian X