Jumaat, 5 Jun 2015 | 7:20pm

Politeknik lahir graduan penuhi keperluan industri

PELAJAR program Diploma Geomatik didedahkan dengan kerja lapangan yang menggunakan peralatan berteknologi tinggi, bagi meningkatkan kemahiran pelajar.

LEPASAN sekolah yang berminat dalam bidang kemahiran dan teknikal, tetapi tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti, mereka masih boleh meneruskan cita-cita dengan mengikuti pelbagai pengajian yang ditawarkan di politeknik.

Terdapat 33 politeknik di seluruh negara yang menawarkan pelbagai kursus menarik sesuai dengan evolusi teknologi apatah lagi keperluan tenaga mahir semasa menjadikan politeknik antara tumpuan lepasan persekolahan kini.

Malah, lulusan politeknik mempunyai peluang yang cerah untuk mendapatkan pekerjaan sama ada dengan sektor industri, jabatan kerajaan, swasta dan agensi berkaitan selain boleh memohon untuk bertugas di luar negara dengan gaji yang lebih lumayan.

Pengarah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Semambu, Kuantan, Pahang, Norlida Abd Razak berkata, beliau bangga dengan pencapaian penuntut institusi itu yang tidak perlu menunggu lama selepas bergraduat untuk menceburi alam pekerjaan kerana mereka memiliki kemahiran yang diperlukan oleh industri.

Norlida berkata, komitmen pensyarah dan kesungguhan pelajar yang diperlihatkan menerusi akademik dan kokurikulum terbukti dengan pelbagai kejayaan dalam pertandingan dan kejohanan sukan.

Sehubungan itu, beliau amat mengalu-alukan ibu bapa untuk menghantar anak mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan politeknik dan tidak hanya fokus kepada melanjutkan pengajian di universiti sahaja," katanya.

POLISAS yang ditubuhkan pada tahun 1976 adalah politeknik kedua tertua di Malaysia dan melahirkan ramai tenaga kerja separa profesional untuk memenuhi pasaran kerja terlatih di dalam dan luar negara.

Sejak ditubuhkan, POLISAS berjaya mengharungi pelbagai cabaran dalam memenuhi misinya menghasilkan modal insan berketrampilan melalui pendidikan dan latihan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja global.

Menawarkan tiga bidang utama iaitu kejuruteraan, perdagangan dan teknologi makanan menerusi 14 program, ia menjadi tumpuan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian.

Selain itu, pelbagai usaha dibuat bagi memastikan kursus ditawarkan memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan, antaranya melakukan penjenamaan semula program.

Perluas skop

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA), POLISAS, Mohd Fikri Ismail, berkata penjenamaan semula Diploma Ukur Tanah kepada Diploma Geomatik sejak satu setengah tahun lalu di Politeknik Malaysia seperti POLISAS Semambu, Kuantan bersesuaian dengan keperluan industri hari ini.

Beliau berkata, pelajar yang mengikuti program ini bukan sahaja menumpukan kepada kerja pengukuran hakmilik dan ukur kejuruteraan, sebaliknya skopnya diperluaskan dengan membabitkan penggunaan Sistem Maklumat Geografi, Penderian Jauh dan Unmanned Aerial Vehicle (UAV) yang memberi fokus kepada pengumpulan dan penyimpanan data secara digital, dapatan kembali data, olahan dan menganalisis data bagi mendapatkan maklumat baharu yang relevan dalam membuat sesuatu keputusan terhadap kajian dilakukan," katanya.

Kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat mengikuti program ini, perlu menepati syarat minimum iaitu memperoleh tiga kepujian dalam mata pelajaran matematik atau matematik tambahan; subjek berkaitan sains, teknologi atau vokasional dan mata pelajaran lain termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Sejarah.

"Kursus membabitkan teori akan berlangsung di bilik kuliah manakala membabitkan praktikal akan diadakan sama ada di makmal atau lapangan.

Peralatan berteknologi tinggi

"Pelajar pasti teruja mengikuti program ini kerana ia membabitkan kerja padang yang menggunakan peralatan berteknologi tinggi seolah-olah pelajar sedang menjalankan tugas sebenar di lapangan," katanya.

Katanya, pelajar pernah menjalankan kerja ukur kejuruteraan di Rompin dan Gambang serta ukur hidrografi di muara Sungai Kuantan sebagai pendedahan awal dalam bidang geomatik sebelum memasuki pasaran kerja yang lebih mencabar.

"Pelajar program ini turut menyertai pertandingan inovasi geomatik geoinformatik kebangsaan (NGGSIC) yang turut disertai institusi pengajian tinggi (IPT) lain yang memberi peluang kepada mereka mengetengahkan hasil ciptaan yang tersendiri dalam bidang berkaitan.

Tingkat kemampuan pelajar Pelajar juga turut terbabit dalam kerja-kerja ukur hidrografi sebuah syarikat perlombongan emas mendapatkan data profil kedalaman tasik bagi memastikan sejauh mana kemampuan tasik berkenaan menampung sisa pelombongan.

"Seharusnya, ibu bapa dan pelajar lepasan SPM manfaatkan program ini kerana ia sentiasa berkembang seiring dengan perkembangan teknologi dunia hari ini yang sentiasa 'membekalkan' pelbagai peralatan untuk meneroka sesuatu bidang," katanya.

Beri komitmen penuh

Sementara itu, Dr Mohamad Abdul Rahman yang juga pensyarah JKA berkata, Diploma Geomatik diberi pengiktirafan oleh Lembaga Juruukur Tanah (LJT) dan secara automatik diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia ( MQA).

Berdasarkan statistik 1Pensyarah5Graduan (1L5G), dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, lebih 75 peratus pelajar mendapat pekerjaan malah ada di kalangan mereka yang sedang menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi dalam bidang geomatik.

"Ini adalah satu kejayaan besar bagi POLISAS tambahan pula ia semakin dikenali dengan nama baru Diploma Geomatik dengan jumlah 499 pelajar ketika ini dibimbing 30 pensyarah yang berpengalaman dalam bidang kejuruteraan awan dan pengkhususan masing-masing.

"Justeru, pihak industri, jabatan kerajaan atau swasta serta agensi berkaitan tidak perlu bimbang untuk menerima lepasan Politeknik Malaysia seperti POLISAS dalam bidang geomatik kerana mereka sudah diberikan ilmu pengetahuan dan latihan di lapangan dengan secukupnya sepanjang mengikuti pengajian di sini.

"Saya optimis mereka dapat memberi komitmen yang sepenuhnya jika diberi peluang bekerja dalam industri berkaitan," katanya.

Beliau berkata, lepasan Diploma Geomatik boleh mohon bertugas di sektor awam seperti JUPEM, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bekalan Air (JBA) Pusat Remote Sensing Negara (MACRES), Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan juga sebagai pensyarah di IPT.

Di sektor swasta pula, lepasan graduan boleh bekerja di firma juruukur berlesen, firma pembinaan, syarikat tenaga dan utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (Juruukur), Telekom dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

"Graduan juga boleh memohon bertugas di luar negara dalam bidang minyak dan gas (O&G) serta hidrografi seperti di Dubai di mana ada pelajar kita yang memiliki kerjaya di sana," katanya.

INFO

Politeknik menawarkan 66 program diploma meliputi 13 bidang

  • Kejuruteraan Awam
  • Kejuruteraan Elektrik & Elektronik
  • Kejuruteraan Mekanikal
  • Kejuruteraan Petrokimia
  • Kejuruteraan Perkapalan
  • Kejuruteraan Penyenggaraan Pesawat
  • Teknologi Maklumat & Komunikasi
  • Perdagangan
  • Pelancongan& Hospitaliti
  • Reka Bentuk & Komunikasi Visual
  • Agroteknologi & Bio Industri
  • Teknologi Makanan
  • Kemahiran Khas Politeknik
Berita Harian X