Jumaat, 5 Jun 2015 | 8:12pm

PM lulus RM100j tingkat sosio-ekonomi India pendapatan rendah

NAJIB meluluskan dana bernilai RM100 juta bagi SEDIC untuk meningkatkan sosio-ekonomi golongan India berpendapatan rendah. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meluluskan dana bernilai RM100 juta bagi Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) untuk meningkatkan sosio-ekonomi golongan India berpendapatan rendah.

Pengarah SEDIC, Prof Datuk Dr N.S.Rajendran, berkata unit khas yang ditubuhkan Mei lalu, adalah satu lagi usaha murni kerajaan untuk mewujudkan peluang bagi meningkatkan taraf hidup 40 peratus daripada kira-kira 2.6 juta kaum India.

Beliau berkata, dana itu akan disalurkan melalui badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi latihan kemahiran yang dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan, dan bukannya kepada individu atau mana-mana parti politik.

SEDIC mengenal pasti 11 skop cadangan program membabitkan keperluan utama masyarakat India, antaranya isu sekolah Tamil, dokumentasi, kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi, belia berisiko tinggi serta penyertaan kaum India dalam sektor awam.

"SEDIC akan memastikan dana yang disediakan ditadbir urus dengan efisien, telus dan teratur supaya golongan sasaran yang sangat memerlukan intervensi tidak ketinggalan dan menerima manfaat positif daripada usaha kerajaan," katanya di sini hari ini.

Rajendran menjelaskan lebih 600,000 masyarakat keturunan India di negara ini berada pada tahap paras bawah 40 peratus (B40) dalam 38 daerah di sembilan buah negeri, berpendapatan kurang daripada RM2,537 sebulan. - BERNAMA

Berita Harian X