Sabtu, 13 September 2014 | 6:13pm

Adenan Satem terima anugerah 'Datuk Patinggi'

KUCHING: Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, hari ini menganugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Datuk Patinggi (DP) yang membawa gelaran 'Datuk Patinggi' kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Lapau, Petra Jaya di sini.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran bersempena ulang tahun kelahiran ke-78 Abdul Taib itu turut menyaksikan 11 lagi penerima.

Tokoh perniagaan tempatan, Tan Sri Yaw Teck Seng yang juga Presiden Kumpulan Samling di Miri, menerima anugerah Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) yang membawa gelaran 'Datuk Amar'.

Pengerusi Eksekutif Jurutera Perunding Wahba Sdn Bhd, Datuk Wahab Suhaili, pula dianugerah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Dayang Enterprise Holdings Berhad, Datuk Ling Suk Kiong, menerima anugerah Panglima Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Abdul Taib turut menganugerahkan Darjah Jasa Bintang Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran 'Datu' kepada Pengarah Pertanian Sarawak, Lai Kui Fong; Akauntan Negeri, Jumastapha Lamat; dan Hakim Mahkamah Bumiputera Sarawak, Thomas Akin Jelimin.

Lima lagi menerima darjah kebesaran Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Mereka ialah Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Abdul Nasser Ahmad; Datin Catherine Kelo Isa yang juga isteri Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Sarawak, Datuk Gramong Juna; Dr Sim Soon Liang; Alice Jawan Empaling dan Vincent Yeo Siew Hee.

- BERNAMA

Berita Harian X