Sabtu, 6 Jun 2015 | 8:42am

Kena akui realiti ekonomi

BUKANLAH tujuan Kunta Kinte nak takutkan sesiapa. Tapi dalam kehidupan, kita kena hadapi hakikat walaupun pahit. Mula-mula memanglah kita rasa takut atau marah, tapi lama-kelamaan kita tahu kita kena sesuaikan diri dengan keadaan.

Kunta Kinte sudah cerita kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta kejatuhan nilai ringgit ke atas harga barang, kos sara hidup dan inflasi.

Kunta Kinte pun dah sebut berkenaan syarikat kecil dan besar hentikan kakitangan atau gulung tikar. Kunta Kinte kata, kalau majikan raksasa macam kumpulan perbankan CIMB pun buat skim persaraan sukarela (VSS/MSS) untuk kurangkan bilangan pekerja, apatah lagi majikan sederhana dan kecil. CIMB bukan calang-calang syarikat. Ia bank nombor dua di Malaysia lepas Maybank dengan 40,000 kakitangan dan harta RM367 bilion.

Ramai graduan menganggur

Pada 12 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wajib Omar kata, ada 400,000 orang yang sedang cari kerja. Daripada jumlah itu, 161,000 adalah lepasan universiti yang dah tamat pengajian enam bulan atau lebih. Beberapa hari lalu kita baca berita kata, secara teknikal Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dah muflis. Kesemua 20,000 pekerja dah diberi kertas opsyen berhenti kerja. Tak kira apa pilihan mereka, seramai 6,000 orang tetap kena berhenti.

Kalau MAS yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad pun muflis, kena buang kakitangan dan kecilkan operasi, fikirkanlah perniagaan kecil dan sederhana. Sebenarnya banyak lagi masalah ekonomi, percukaian dan mata wang yang saling kait-mengait hingga makin banyak syarikat kena kurangkan kakitangan dan buat penjimatan. Ambil contoh syarikat besar yang diniagakan di Bursa Malaysia. Dah 16 suku tahun berturut-turut perniagaan mereka tak berkembang.

Perniagaan tak berkembang

Syarikat korporat kena lapor hasil perniagaan mereka tiap tiga bulan sekali atau empat kali setahun. Bagi suku pertama tahun ini (Januari-Mac), 30 syarikat paling besar di Bursa Malaysia catat kejatuhan hasil 6.2 peratus. Ambil contoh Telekom Malaysia. Bagi tahun 2014, keuntungan jatuh 17.8 peratus kepada RM831.8 juta walaupun jualan naik 5.7 peratus kepada RM11.2 bilion. Kemudian kita tengok pula harga saham FELDA Global Ventures Berhad yang merudum daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM4.55 pada tahun 2012 kepada kurang daripada RM2.00 sekarang.

Masalah defisit keyakinan

Ahli ekonomi dan penganalisis kata, negara kita sedang hadapi masalah 'defisit keyakinan' iaitu pelabur, khususnya pelabur kecil, kurang yakin untuk tambah modal, manakala pengguna pula tak berapa yakin nak berbelanja. Kadang-kadang bila Kunta Kinte fikir-fikir, hidup orang asing, kucing dan anjing lebih baik daripada nasib sesetengah orang kita. Lagi-lagilah yang kerja sendiri. Tak kiralah berniaga atau bercucuk tanam. Tanggungan dan risiko orang yang kerja sendiri lebih tinggi daripada yang makan gaji. Yang berniaga atau bercucuk-tanam belum tentu dapat hasil, tapi orang yang bekerja dengan kita dah tentu dapat upah.

Banyak-banyak ampunlah kalau Kunta Kunte kata, rasa-rasalah nasib anjing dan kucing pun lebih baik. Kita baca dalam surat khabar orang ambil anjing dan kucing yang tak bertuan untuk dibela. Pencinta haiwan pula minta kerajaan cepatkan buat undang-undang cegah kekejaman terhadap binatang. Sekarang kerana bantahan orang ramai, pihak berkuasa tempatan tak tembak anjing liar lagi. Kena guna perangkap dan jerut yang tak begitu berkesan. Ramai kakitangan pihak berkuasa tempatan yang jaga hal Melayu. Orang Melayu tak mahu sentuh anjing. Bila tak boleh tembak, mereka buat ala kadar saja.

Masalah pendatang asing

Tapi jangan susah hati. Bila penyakit anjing gila dah jangkiti manusia, Kunta Kinte yakin tunggang-langganglah kerajaan bertindak dan buat janji. Itulah penyakit kita. Lebih teruk daripada penyakit anjing gila. Sebab itu macam-macam penyakit yang kita hapuskan 40 atau 50 tahun lalu, macam polio dan malaria, dah merebak balik dibawa oleh pendatang asing. Nak selesai masalah anjing liar ni, kita kena buat transformasi. Kita kena ambil orang Vietnam atau Myanmar jadi penangkap anjing. Maaf cakaplah, silap hari bulan anjing pun kena makan. Bagus tu. Boleh kurangkan import makanan yang makin mahal pasal nilai duit kita jatuh. Akhir kata, suka tak suka, kita kena ambil tahu hal ekonomi dan perniagaan sebab hidup kita bergantung kepada pasang surut ekonomi dan perniagaan. Kita janganlah berpolitik dan berpolemik sampai abaikan ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan awam.

Wallahualam.

Berita Harian X