Isnin, 8 Jun 2015 | 7:54am
PASANGAN Hanis Zalikha dan Hairul Azreen. - Foto ihsan Wsvs.co, Clicker Studio, Molkhan dan Zameer
BAPA Hanis, Imam Kedua Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Ustaz Mohd Syuhud Razali. - Foto ihsan Wsvs.co, Clicker Studio, Molkhan dan Zameer
HAIRUL Azreen. - Foto ihsan Wsvs.co, Clicker Studio, Molkhan dan Zameer

Takdir terindah Hairul Azreen-Hanis Zalikha akhirnya disatukan


PASANGAN Hanis Zalikha dan Hairul Azreen. - Foto ihsan Wsvs.co, Clicker Studio, Molkhan dan Zameer

PERNAH bertemu dan berpisah, akhirnya jodoh kuat menyebelahi Hairul Azreen menyunting Hanis Zalikha sebagai permaisuri hatinya petang Jumaat lalu di kediaman keluarga Hanis di Bukit Jelutong.


HAIRUL Azreen dan Hanis Zalikha bergelar suami isteri sekitar jam 3.50 petang dan dinikah bapa Hanis sendiri iaitu Imam Kedua Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Ustaz Mohd Syuhud Razali. - Foto ihsan Wsvs.co, Clicker Studio, Molkhan dan Zameer

Pasangan ini sah bergelar suami isteri sekitar jam 3.50 petang dan dinikah bapa Hanis sendiri iaitu Imam Kedua Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Ustaz Mohd Syuhud Razali.

Menyingkap kembali perkenalan mereka ketika laman sosial Myspace menjadi kegilaan, Hairul yang ketika itu berusia 16 tahun mengakui hatinya pantas mahu memiliki Hanis sejak dahulu lagi.

Cuma ketika itu Juara Fear Factor Selebriti Malaysia musim pertama di samping Dazrin itu duduk berjauhan di Serdang, manakala Hanis di ibu kota. Faktor jarak dan masih di bangku sekolah membataskan pergaulan mereka.

"Sejak dahulu memang dialah wanita idaman saya. Selepas beberapa tahun terpisah, kami bertemu kembali selepas saya menang Fear Factor pada 2013. Melalui Dazrin juga yang membintangi drama Jodoh dengan dia, saya berhubung menerusi telefon bimbitnya. Daripada situ hubungan kami bertaut kembali dan saya cuba memenangi hatinya semula.

"Dalam tempoh kami terpisah itu, saya akui ada menjejakinya. Dia ada menang beberapa pertandingan tapi mungkin dia tak pandang saya lagi. Tapi siapa sangka, semuanya bagai takdir indah buat kami berdua. Sebab itu saya berani lamar dia kerana yakin dialah pilihan tepat saya untuk sehidup semati.

"Cuma tak dinafikan ketika gimik lamaran Januari lalu diperkatakan ketika berlangsungnya pertandingan akhir GegarVaganza, kami dikecam. Malah ada yang anggap saya hanya main-main ketika itu. Tapi Alhamdulillah saya sebenarnya ikhlas mencintai dia dan membuktikan apa yang saya lakukan ini menjadi realiti," katanya kepada BH Online.

Mengenai lokasi bulan madu, Hairul memberitahu dia sudah membeli tiket penerbangan dan penginapan ke sebuah lokasi. Bagaimanapun lokasi itu tidak didedahkan Hairul dan disifatkan kejutan istimewa untuk isterinya tersayang.

"Insya-Allah selepas raya nanti kami akan berbulan madu. Lokasinya memang Hanis tak tahu dan ia antara tempat yang saya mahu jejak bersamanya untuk 15 hari," kata pelakon Misiku Kuza dan Setia Hujung Nyawa itu.

Mengenai anak, baik Hairul dan Hanis tidak merancang dan bersedia menerimanya pada bila masa-masa.

"Ikut rezeki, ada... adalah," katanya ringkas.

Ditanya mengenai kerjaya seni mereka selepas ini, Hairul masih belum mampu memberi kata putus.

"Kami akan berbincang soal ini selepas majlis perkahwinan kami selesai. Tapi itu bukan bererti kami akan meninggalkan kerjaya seni. Cuma sebagai jaminan kami juga sudah merencana perniagaan untuk masa hadapan. Masih ada, cuma Hanis sendiri sedar ruang dia sebagai isteri kepada saya, jadi dalam apa-apa tawaran mendatang... kami akan bawa berbincang," katanya.

Sementara itu, Hanis turut menjawab mengenai alasan mengapa hanya menjemput pihak media tertentu sahaja untuk menyaksikan hari bersejarahnya bersama Hairul.

"Memang sejak awal lagi, saya mengimpikan majlis pernikahan di rumah keluarga dan ia jadi kenyataan. Saya mahukan majlis yang ringkas dan intim. Pada masa yang sama permintaan keluarga juga untuk melakukan acara ini pada skala sederhana kerana ruang rumah kami tidak besar. Cuma saya menjemput teman media yang saya rapat sahaja.

"Masa bertunang dahulu pun, saya tak jemput media tapi gambar dan segala butiran akan disediakan pihak perancang perkahwinan iaitu Qarmasutra Weddings & Events. Saya yakin rakan media yang lain dapat faham situasi ini dan saya juga bersedia menjawab telefon jika ada yang mahu bertanyakan majlis kahwin ini,"katanya.

Mengenai kesediaannya bergelar isteri, Hanis sebenarnya sudah lama mendambakan tanggung jawab mulia itu.

"Sejak usia saya 20 tahun lagi... saya sudah bersedia berkahwin. Cuma belum dapat dan bertemu lelaki idaman kalbu. Alhamdulillah saya bahagia dan gembira saya berkahwin dengan dia (Hairul) kerana dialah lelaki yang saya cintai. Saya nampak usaha dia untuk memenangi hati saya. Cuma dalam tempoh kami terpisah, saya akui tidak menjejakinya seperti apa yang dia lakukan.

"Beberapa tahun lalu pernah juga nampak wajah dia di majalah dan surat khabar tetapi saya buat biasa sahaja. Sampailah dia menghubungi saya dengan menggunakan telefon bimbit milik Dazrin. Boleh ketika itu kami bergayut dengan telefon orang. Ketika itu juga saya berkata dalam diri kenapa tidak memberi peluang untuk jatuh cinta lagi dengannya," kata Hanis yang bermula sebagai penulis blog, www.inibelogsaya.blogspot.com.

Dalam pada itu paling mengujakan Hanis ialah untuk menyambut Ramadan dan Syawal buat pertama kali sebagai isteri.

"Dia pernah cakap tahun lalu yang dia akan beraya kali terakhir sebagai orang bujang dan Alhamdulillah dia benar-benar mengotakan kata-katanya. Sebab itu juga saya teruja kerana Ramadan dan Syawal kali ini pastinya memberi dimensi berbeza buat kami. Saya nampak kematangan dia dalam banyak perkara termasuklah hal yang membabitkan perkahwinan kami," katanya yang cantik ditatarias Tiar Zainal dan anggun mengenakan busana kelabu rekaan Zery Zamry

Sehari selepas majlis nikah, pasangan ini turut diraikan di kediaman keluarga Hanis bagi meraikan tetamu di kalangan saudara mara serta teman ibu bapanya. Majlis resepsi mereka akan dilangsungkan pada 14 Jun ini di Hotel Majestic. Ketika majlis pernikahan berlangsung, teman artis yang hadir seperti Yasmin Hani, Sariyanti, Diana Danielle, Datin Nina Juren, Dafi, Zoey, Mat Redho, Alam Wakaka.dan Hafizul Kamal.

FAKTA NOMBOR

  • Hairul menyerahkan wang hantaran berjumlah RM91,019.90 kepada Hanis. Istimewanya angka wang hantaran itu merupakan simbolik kepada tarikh lahir Hanis yang jatuh pada 9 Oktober 1990
  • Hairul turut menyerahkan mas kahwin bernilai RM300
  • Pengantin masing-masing berbalas 11 dulang hantaran
  • Mula kenal sebagai kawan sejak 2004
  • Intim semula pada 2013
  • Hairul melamar Hanis pada Januari lalu
  • Bertunang pada 21 Mac lalu
  • Kesemua majlis Hanis dan Hairul akan disiarkan di Astro Ria 104 dan Astro Ria HD 123 secara ekslusif. Episod Pertama: Love Story akan disiarkan pada 10 Jun, episod tunang dan nikah akan disiarkan pada 17 Jun dan episod resepsi dan bertandang yang akan disiarkan pada 24 Jun

Foto Ihsan: Wsvs.co, Clicker Studio, Molkhan dan Zameer

Berita Harian X