Selasa, 9 Jun 2015 | 12:08am

Kelebihan seni manipulasi objek


BOLA kristal berputar di hujung jari, kemudian bergolek ke lengan, sebelum beralih ke sisi muka. Bola lut sinar itu, seolah-olah 'hidup' dan terapung-apung serta berpusing dengan sendiri.

Apa yang pasti, pergerakan bola kristal pada jari-jemari dan tubuh, persembahan seni manipulasi objek atau 'flow art' dipaparkan, Aifique Khaikal Ahmad Khairizal, 27, mencuri tumpuan. Malah, terbit juga rasa kagum dengan kecekapan dan kemahirannya mengendalikan permainan itu.

Aifique Khaikal yang juga pengurus dan pengasas kumpulan seni manipulasi objek, Psycusix, berkata persembahan 'flow art' bukan mudah dan memerlukan masa lama untuk mempelajari teknik terbaik bagi memastikan ia dilakukan dengan sempurna.

Katanya, beliau mengambil masa setahun untuk mahir dan menguasai permainan bola kristal berkenaan.

"Kumpulan ini dianggotai lima orang, termasuk saya dan empat lagi rakan iaitu dua daripadanya adalah wanita. Pyscuasix antara kumpulan terawal memperkenalkan flow art di negara ini.

"Saya mula mengenali dan mempelajari seni manipulasi objek menerusi laman Youtube pada tahun 2009. Ketika itu saya cuti sakit kerana patah kaki ketika bermain futsal. Saya luangkan masa dengan menonton Youtube dan dari situlah minat itu timbul dan mahu mempelajari secara mendalam.

"Minat itu juga yang mendorong saya ke Singapura untuk menyaksikan satu acara yang menghimpunkan pemain seni persembahan manipulasi objek. Bermula daripada situlah saya mulai berkenalan dengan pemain flow art," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

KUMPULAN Pyscuasix membuat persembahan gerak badan menggunakan pelbagai jenis peralatan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KUMPULAN Pyscuasix membuat persembahan gerak badan menggunakan pelbagai jenis peralatan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Empat ahli kumpulan Pyscuasix lain ialah Mohammad Izzat Farhan Che Hashim dan Nur Amalina Mohd Faisal, masing-masing 27 tahun serta Razman Noor, 31 dan Nita Saad, 27.

Semua mereka adalah bekas pekerja di Taman Tema Sunway Lagoon. Aifique Khaikal bekas pelatih sukan lasak dan terjun bungy; Mohammad Izzat serta Nur Amalina sebagai penghibur; Razman dan Nita pula meminati sukan lasak seperti papan luncur dan basikal.

Keserasian kelima-lima sahabat memudahkan hasrat mereka untuk menubuhkan Pycuasix.

Psycusix bermaksud, Psychedelic Circus. Kumpulan ini membuat persembahan pelbagai persembahan gerak badan menggunakan pelbagai jenis peralatan termasuk lampu LED atau (light emitting diode), api dan objek manipulasi lain termasuk poi, gelung dan bola.

Dengan kemahiran yang mereka ada, kumpulan terbabit pernah menjadi juara dalam pertandingan Digi Got Talent, dengan menggondol wang tunai RM30,000, pada tahun 2010.

Kemenangan itu turut membuka lembaran baharu kepada kumpulan berkenaan untuk lebih serius dalam bidang berkenaan.

"Kami menubuhkan kumpulan ini dengan harapan memperkenalkan seni ini kepada masyarakat, selain dijadikan kerjaya tetap kami," katanya.

Beliau berkata, persembahan sulung kumpulan itu ialah pada majlis malam anjuran Kafe Gloria Jeans, Sunway Pyramid pada tahun 2011 disifatkan sebagai suatu penghormatan kepada mereka yang baharu saja mencipta nama dalam bidang berkenaan.

  

 AIFIQUE Khaikal Ahmad Khairizal. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
AIFIQUE Khaikal Ahmad Khairizal. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Bapa kepada seorang cahaya mata berusia lima bulan berasal dari Kuantan, Pahang ini, berkata kelebihan manipulasi objek, ialah ia membantu mendisiplinkan mental untuk lebih fokus kepada gerak tubuh.

Katanya, permainan ini juga dianggap ada kelainan kerana pada ketika ini ramai yang lebih berminat bermain gajet.

Aifique berkata, kumpulannya menerima banyak undangan membuat persembahan dan menjadi jemputan sebagai tenaga pengaja di luar negara termasuk Amerika Syarikat dan Eropah.

Antara pengalaman tidak dapat dilupakan ialah apabila berpeluang berjumpa dengan pemain manipulasi objek, Marvin Ong, yang menetap di Amerika Syarikat ketika menghadiri perhimpunan pemain flow art, pada 1913.

"Saya bertukar-tukar fikiran dan pengalaman dengan Ong. Untuk menjadi pemain seni manipulasi objek yang cemerlang dan dapat menguasai persembahan yang baik ialah dengan mengadakan latihan antara lapan hingga 10 jam sehari," katanya.

AHLI kumpulan Psycusix giat berlatih 'flow arts' di dewan latihan Kompleks Rakan Muda, Bukit Kiara. - Foto Nik Hariff Hassan
AHLI kumpulan Psycusix giat berlatih 'flow arts' di dewan latihan Kompleks Rakan Muda, Bukit Kiara. - Foto Nik Hariff Hassan

Beliau berkata, acara paling besar pernah disertai kumpulan berkenaan membuat persembahan Tahun Baharu Cina, di Hong Kong yang disaksikan lebih 100,000 penonton, tiga tahun lalu.

Katanya, bidang ini menjanjikan pekerjaan masa depan yang baik kerana ia mampu menarik tumpuan penonton.

"Bayaran untuk tiga minit persembahan menjangkau ribuan ringgit kerana seni ia tergolong dalam kelas profesional," katanya.

Untuk memperkenalkan seni berkenaan kepada umum, Psycusix turut mewujudkan komuniti flow art dan perjumpaan diadakan, di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, setiap Rabu.

"Pelbagai aktiviti diadakan termasuk mengasah bakat baharu. Hingga kini ia dianggotai lebih 100 orang dan penyertaan percuma. Orang ramai boleh menyaksikan kami dan komuniti flow di sini," katanya. Komuniti itu disertai pelbagai lapisan masyarakat serta usia.

MOHAMMAD Izzat Farhan Che Hashim . - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
MOHAMMAD Izzat Farhan Che Hashim . - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sementara itu, Mohammad Izzat Farhan Che Hashim, 27, berkata beliau mengenali Aifique sejak 10 tahun lalu.

Walaupun memiliki Ijazah dalam bidang kewangan demi minat, beliau terjun dalam dunia seni persembahan berkenaan.

 "Saya pernah kerja makan gaji, tapi saya tidak minat. Saya lebih suka meneroka sesuatu yang lasak dan mencabar dan minat itu membawa saya bekerja dengan taman tema Sunway, sebelum saya bersama Psycusix," katanya.

Bersama seni ini, Izzat berkata otaknya lebih pantas memberi tindak balas membezakan kanan dan kiri.

"Kalau dulu orang sebut kanan, saya pergi ke kiri. Begitulah sebaliknya," katanya.

Mengenai cita-cita beliau dalam bidang berkenaan, Mohammad Izzat berkata, kalau boleh beliau mahu menjadikan seni berkenaan inspirasi kepada semua.

"Antara sebab saya menjadikan ia sebagai kerjaya sepenuh masa kerana seni ini sendiri unik dan kelainannya menyebabkan tidak ramai melakukannya sepenuh masa. Selalunya orang lihat seni pentas membabitkan tarian, nyanyian mahupun lakonan tetapi kurang bagi flow art.

"Menariknya mengenai flow art kerana ia rangkuman semua. Tumpuan, kesabaran dan sedikit suntikan peribadi mewarnai elemen kreatif dalam persembahan," katanya.

Tidak betah duduk diam, Mohammad Izzat berkata, sekiranya keluar bersama rakan-atau ke mana saja, beliau lebih suka bermain dengan alatan dibawa seperti bolakristal atau gelung. Dengan cara secara tidak langsung, beliau memperkenalkan kepada orang ramai mengenai seni berkenaan.

NUR Amalina Mohd Faisal. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
NUR Amalina Mohd Faisal. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sudah tiga tahun Nur Amalina Mohd Faisal, 27, bersama Psycusix. Alatan digemari ialah gelung mini.

Lulusan Ijazah Multimedia ini mengakui, bukan mudah untuk beliau memujuk keluarga 'merelakannya' bergelar pemain flow art.

"Saya mengambil masa juga untuk meyakinkan ibu bapa mengenai seni persembahan ini. Cara yang saya lakukan ialah membawa mereka untuk menyaksikan saya membuat persembahan. Apabila sudah melihat persembahan saya, sedikit demi sedikit mereka faham dan memberikan galakan," katanya.

Anak sulung daripada tiga orang adik beradik ini berkata, untuk setiap peralatan memberikan cabaran berbeza namun ia bukan persoalan besar.

"Setiap satu peralatan, ada cabaran dan risiko. Dalam aksi dengan api, cabaran lebih besar ialah rambut dan anggota tubuh terbakar kecil, tetapi ia bukan suatu masalah besar. Saya selesaikan masalah ini dengan membasahkan rambut dan badan untuk kurangkan risiko dijilat api," katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, seni berkenaan sangat dekat dengan hatinya. Katanya, keseronokan cabaran flow arts ialah waktu proses pembelajaran sesuatu teknik berlangsung.

"Selagi tak boleh buat saya tidak puas hati. Proses pembelajaran ini, banyak mengajar kita erti kesabaran. Seni ini ini turut membawa saya banyak berkelana ke negara orang," katanya yang turut mempunyai kebolehan menari pelbagai jenis tarian.

Sekiranya wanita sebaya memenuhi beg tangan dengan gincu dan bedak, Nur Amalina sebaliknya selesa menggalas beg seberat lebih lima kilogram, dipenuhi peralatan termasuk bola, pelbagai jenis gelung dan sebagainya yang digunakan dalam setiap sesi latihan.

NUR Amalina berlatih 'flow arts' di dewan latihan Kompleks Rakan Muda, Bukit Kiara. - Foto Nik Hariff Hassan
NUR Amalina berlatih 'flow arts' di dewan latihan Kompleks Rakan Muda, Bukit Kiara. - Foto Nik Hariff Hassan

INFO :

Antara acara disertai Psycusix :

  • Flow Festival Filipina 2013, 2014, 2015
  • Festival Api Korea 2014
  • Southern Illinois Flow Festival (USA) 2014
  • Perarakan Tahun Baru Cina Hong Kong 2014
  • Hong Kong Circus Theater 2015
  • Wayang Malaysian Stories Theater 2015
  • Anugerah The Brand Laureate 2015
  • Huawei Icity Roadshow 2015
  • Hari Sukan dan Keluarga UEM 2015
  • Hari Terbuka Proton Open 2014
  • Malam Penghargaan Maxis 2015

Flow Art :

  • Suatu cabang seni membabitkan manipulasi objek dan seni gerakan dengan sentuhan anggota fizikal. Ia satu visual cukup interaktif untuk ditonton.
  • Kelebihan seni ini ia boleh merangsang fokus serta koordinasi mata, gerakan tangan, kaki dan anggota lain, justeru bukan untuk persembahan semata-mata sebaliknya untuk kesihatan mahupun kecerdasan diri.
  • Flow art sebahagian daripada cabang sarkas.
  • Ia bukan seni silap mata di mana mata terlepas pandang sesuatu muslihat.
  • Sebaliknya peralatan digunakan, dimanipulasi dan membentuk sesuatu corak yang indah dan memukau sesiapa yang melihat.
  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X