Selasa, 9 Jun 2015 | 8:05am
SOLAT jemaah salah satu cara menyatupadukan silaturahim sesama Mukmin. - Foto hiasan

Mendamaikan dua pihak bertelagah tutup pintu fitnah

MANUSIA sejak mula diciptakan sehinggalah hari ini sentiasa berada dalam percanggahan dan perpecahan sama ada dalam konteks keluarga, politik, kenegaraan ataupun masyarakat seluruhnya.

Walaupun adat resam, pakaian dan budaya mempunyai persamaan, hakikatnya pertikaian tidak pernah lekang daripada kehidupan mereka.

Begitu juga ketika zaman jahiliah sehingga Allah SWT mendatangkan Islam kepada mereka serta menyeru ke arah penyatuan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan yang menyatukan hati mereka yang beriman. Jika sekiranya kamu membelanjakan semua harta kekayaan yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka. Akan tetapi Allah SWT yang menyatukan hati mereka." (Surah al-Anfal, ayat 63)

Tiada seorangpun daripada manusia merasa senang dengan perpecahan apatah lagi apabila ia berlaku dalam sebuah keluarga di mana kesannya akan ditanggung oleh anak. Begitu juga dalam konteks negara dan golongan atasan yang mengakibatkan tekanan kepada rakyat jelata.

Lebih dahsyat lagi apabila ia berlaku dalam kalangan ahli agama. Sahabat mempunyai sejarah hitam di mana mereka saling berbunuhan pada era jahiliah, bersatu selepas datang panji Islam yang diturunkan oleh Allah SWT. Rahmat kedatangan Islam, manusia dapat memupuk persaudaraan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan ingatlah akan nikmat Allah padamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah menyatukan hati-hati kamu lantaran nikmat daripada Allah SWT." (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Usaha ke arah perdamaian sesama manusia adalah sesuatu yang amat disukai oleh Allah SWT kerana mendamaikan dua pihak yang bertelagah diumpamakan menyatukan dua hati yang berpecah seterusnya menutup pintu fitnah yang bakal dicetuskan oleh kedua-dua pihak.

Sejarah membuktikan Baginda SAW amat prihatin terhadap hubungan antara sahabat di mana apabila penduduk Quba' berselisih, Baginda SAW berkunjung ke sana setiap hari Sabtu bagi menyelesaikan masalah mereka.

Selepas perbalahan sampai kepada kemuncaknya, Baginda sendiri yang meleraikan mereka serta menyeru kepada Bilal: "Wahai Bilal, aku akan pergi menyelesaikan masalah penduduk Quba'. Jika masuk waktu solat, pergilah azan untuk jemaah masjid ini dan mintalah kepada Abu Bakar untuk menjadi imam di sini."

Menunjukkan kesanggupan Baginda SAW meninggalkan masjidnya sendiri demi menyatukan hubungan antara penduduk Quba'. Usaha Baginda terhadap penyatuan ini adalah sesuatu yang bernilai di sisi Allah SWT.

Utama kesatuan ummah

Jika tidak, masakan Baginda SAW bersusah payah meninggalkan sahabat demi kesatuan penduduk Quba'. Benarlah firman Alah SWT yang bermaksud: "Tidak ada kebaikan pada sebarang usaha melainkan usaha untuk menganjurkan sedekah, berbuat kebaikan dan meleraikan permusuhan antara dua manusia. Maka sesiapa yang berbuat demikian kerana menuntut keredaan Allah SWT, akan mendapat ganjaran yang besar." (Surah an-Nisa', ayat 114)

Penjelasan daripada Allah SWT mengenai usaha mereka yang inginkan penyatuan antara dua pihak yang berselisih. Perlu diingatkan bahawa keikhlasan adalah asas kepada ganjaran daripada Allah SWT dan usaha mendamaikan juga dianggap suatu sedekah yang bermakna dalam kehidupan.

Mereka yang banyak berusaha ke arah ini telah menambahkan aset sedekah pada catatan amalannya pada hari kiamat. Malah ia juga dianggap projek besar yang disediakan Allah SWT kepada hamba-Nya.

Berkata Imam Auzai': "Tiada langkah yang lebih baik dan disukai Allah SWT selain daripada usaha menyatukan antara dua pihak. Mereka akan ditulis sebagai calon yang terselamat daripada api neraka."

Nampaknya kita sering terlepas pandang projek besar yang ditawarkan ini, malah kita pula menjadi api untuk menambahkan permusuhan itu. Amat malang bagi kita jika kita sia-siakan projek ini dan menjadi batu api kepada merebaknya permusuhan antara manusia.

Sabda Baginda SAW: "Pintu syurga dibuka pada hari Isnin dan Khamis. Maka diampunkan segala dosa mereka yang tidak pernah syirik melainkan dua manusia yang berselisih faham lalu dikatakan kepada mereka: Lihatlah kepada dua insan ini dan tangguhkan keampunan terhadap mereka sehingga mereka berdamai." (Riwayat Muslim)

Menunjukkan betapa bahaya kedudukan mereka yang bergaduh dan berselisih sehingga Allah SWT menangguhkan keampunan terhadap mereka. Begitu juga mereka yang ingin meraih rahmat dan kasih daripada Allah SWT kerana anugerah ini hanya disediakan buat mereka yang mendamaikan antara manusia.

Dugaan akhir zaman

Keperluan terhadap penghapusan dosa pada hari ini amat meruncing dalam kehidupan kita. Maka, suatu usaha bagi menghapuskan dosa amat bermakna lantaran banyaknya dugaan akhir zaman sehingga setiap hari kita sentiasa dikunjungi dosa.

Maka dengan cara menyatukan manusia akan dapat meringankan beban dosa yang sedia ada pada diri kita. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Barang siapa yang khuatir akan ketidakadilan terhadap wasiat, lalu ia mendamaikan manusia, maka keampunan adalah miliknya." (Surah al-Baqarah, ayat 182)

Keperluan kehidupan juga terisi apabila kita sentiasa mendapat keampunan dan Allah SWT akan sentiasa melihat kita dengan pandangan rahmat-Nya sehingga doa kita mendapat perkenan daripada-Nya. Kekuatan umat dapat dilihat kepada kadar permusuhan umat itu.

Kesimpulannya, manusia yang baik dan hampir dengan Allah SWT adalah mereka yang sentiasa mengelakkan permusuhan dan berusaha meleraikan permusuhan antara dua pihak. Usaha yang terbaik di sisi Allah SWT adalah mendamaikan manusia.

Pengorbanan Baginda SAW dalam usaha menyatukan manusia amat besar dan penting kerana permusuhan akan menghancurkan masa depan umat. Justeru, umat Islam kini mestilah kembali bersatu hati jika inginkan sesuatu yang baik daripada Allah SWT.

Berita Harian X