Khamis, 11 Jun 2015 | 12:02am

Pesta ikan Paya Cempaka

PESERTA menggunakan jala pada pesta menangkap ikan di Estet Ikan Paya Cempaka. - Foto Mohd Rafi Mamat
PESERTA menggunakan jala pada pesta menangkap ikan di Estet Ikan Paya Cempaka. - Foto Mohd Rafi Mamat

TEMERLOH: Pelbagai spesies ikan yang terdapat di Estet Ikan Paya Cempaka, Lanchang menjadi tarikan utama kepada lebih 2,000 peserta tempatan dan luar untuk menyertai pesta menangkap ikan di kawasan yang pernah menjadi sawah.

Dengan yuran RM30 seorang, peserta diberi peluang sepuas-puasnya menangkap ikan menggunakan jala dan serkap dalam kawasan paya seluas 16 hektar.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Adnan Hussain berkata, pada tahun 2012, pihaknya membekalkan kira-kira 200,000 benih pelbagai jenis ikan kepada jawatankuasa pengurusan Estet Ikan Paya Cempaka.

Pelbagai spesies

PELBAGAI spesies ikan ditangkap menggunakan jala dan serkap. - Foto Mohd Rafi Mamat
PELBAGAI spesies ikan ditangkap menggunakan jala dan serkap. - Foto Mohd Rafi Mamat

Spesies ikan yang dilepaskan ialah kap kepala besar, kap rumput dan rohu, lee koh dan lampam jawa. Ikan seperti haruan, sepat siam, puyu dan terbun sudah sedia ada dalam paya berkenaan.

"Estet Ikan Paya Cempaka yang dimajukan pada tahun 1988 melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya mengadakan pesta menangkap ikan setiap dua atau tiga tahun, selain pertandingan memancing.

"Saya menganggarkan 15 tan ikan pelbagai spesies dan saiz berjaya ditangkap oleh peserta dalam tempoh lebih 10 jam bermula jam 8 pagi," katanya yang berpuas hati dengan sambutan terhadap program berkenaan.

Adnan berkata, kini ada lima estet ikan di daerah Temerloh membabitkan keluasan lebih 151 hektar yang diusahakan oleh 112 peserta terdiri daripada pemilik tanah berkenaan.

PESERTA bersama pelbagai jenis ikan yang ditangkap di Estet Ikan Paya Cempaka. - Foto Mohd Rafi Mamat
PESERTA bersama pelbagai jenis ikan yang ditangkap di Estet Ikan Paya Cempaka. - Foto Mohd Rafi Mamat

Kawasan Paya Cempaka mempunyai keluasan 69 hektar, diikuti Paya Lubuk Kawah (31 hektar), Paya Lana (25 hektar), Paya Cempaka (16 hektar) dan Paya Rantau Panjang (10 hektar).

Pengerusi projek Estet Ikan Paya Cempaka, Ishak Mohamad, 46, berkata, sambutan terhadap pesta kali ini begitu menggalakkan berbanding pada tahun 2012 yang hanya disertai kira-kira 600 peserta.

Katanya, kebanyakan peserta yang ditemui berpendapat, mereka berpuas hati apabila berjaya menangkap banyak ikan hanya dalam tempoh beberapa jam turun ke paya.

"Setiap peserta meraih antara lima hingga 100 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan. Saya difahamkan terdapat beberapa peserta berjaya membawa pulang lebih 150kg," katanya.

Dua hari tangkap ikan

PESERTA bersama hasil tangkapan di Estet Ikan Paya Cempaka. - Foto Mohd Rafi Mamat
PESERTA bersama hasil tangkapan di Estet Ikan Paya Cempaka. - Foto Mohd Rafi Mamat

Beliau berkata, peserta diberi peluang selama dua hari untuk menangkap ikan dalam kawasan paya sebelum keseluruhan air dilepaskan untuk tujuan membaik pulih dan mendalamkan paya.

Selepas air dikeringkan sepenuhnya, peserta termasuk penduduk kampung berpeluang mencari dan menangkap ikan yang terperangkap di bawah rumput dan tumbuhan air.

Abd Rahman Din, 47, dari Kelana Jaya, Selangor berkata, kali pertama menyertai pesta ini memberi satu kepuasan apabila berjaya menangkap lebih 10kg ikan pelbagai jenis.

Katanya, hobi menangkap ikan sebelum ini dapat dilakukan dalam suasana yang ceria dan meriah bersama peserta lain dengan satu matlamat iaitu meraih hasil memuaskan.

Nikmati kepuasan

SEBAHAGIAN ikan yang ditangkap pada pesta menangkap ikan di Estet Ikan Paya Cempaka. - Foto Mohd Rafi Mamat
SEBAHAGIAN ikan yang ditangkap pada pesta menangkap ikan di Estet Ikan Paya Cempaka. - Foto Mohd Rafi Mamat

"Saya bersama tiga rakan datang dari jauh semata-mata untuk merasai sendiri keseronokan menangkap ikan dalam kawasan paya, walaupun terpaksa bermandi lumpur, tetapi kepuasannya memang sangat dirasai.

"Saya menggunakan jala, tetapi pengalaman yang tak seberapa mungkin membuatkan saya dan rakan-rakan gagal meraih hasil memuaskan berbanding peserta lain," katanya.

Bagi Besah Bakar, 55, setiap kali diadakan pesta menangkap ikan di Estet Ikan Paya Cempaka, beliau dan ahli keluarga tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertainya.

Kepuasan berada dalam paya yang berlumpur akan lebih bermakna apabila berjaya menangkap ikan bersaiz besar dan peluang seperti itu tidak selalu dapat dirasai walaupun menetap di daerah ini.

"Saya berbangga dapat menangkap seekor ikan rohu lebih empat kg termasuk beberapa ikan kap rumput, sepat siam dan lee koh," katanya yang tinggal di FELDA Bukit Damar, Temerloh.

Katanya, beliau berbangga dapat bersaing bersama-sama peserta lelaki untuk menangkap ikan menggunakan jala.

"Banyak atau sedikit hasil yang kita dapat bukan jadi keutamaan, yang penting dapat kepuasan," katanya.

PESERTA menangkap ikan menggunakan jala dan serkap pada pesta menangkap ikan di Estet Ikan Paya Cempaka. - Foto Mohd Rafi Mamat
PESERTA menangkap ikan menggunakan jala dan serkap pada pesta menangkap ikan di Estet Ikan Paya Cempaka. - Foto Mohd Rafi Mamat

Berita Harian X