Ahad, 14 September 2014 | 10:17pm
PENUNGGANG MotoGP Yamaha, Valentino Rossi meraikan kejayaannya menjuarai Grand Prix San Marino di Litar Misano, Itali, hari ini.

MotoGP: Rossi rakam kemenangan di Misano

MISANO: Jaguh Itali, Valentino Rossi mengetuai penguasaan Yamaha di Grand Prix San Marino, Itali hari ini sekali gus merangkul kemenangan pertamanya dalam saingan MotoGP musim ini.

Juara dunia sembilan kali dalam semua kategori di Kejuaraan Dunia itu menamatkan perlumbaan 28 pusingan di Litar Misano itu di depan rakan sepasukannya, Jorge Lorenzo di tempat kedua.

Dan melengkapkan senarai podium ialah penunggang Honda, Dani Pedrosa.

Begitupun, malang buat pendahulu kejuaraan, Marc Marquez apabila berdepan insiden di awal perlumbaan yang memaksanya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15.

Insiden yang dihadapi Marquez itu dimanfaat sepenuhnya Rossi yang melakukan tunggangan terbaiknya sekaligus merakam kemenangan di depan ribuan penyokong sendiri dan meneruskan pemburuan gelaran ke-10 kejuaraan dunia miliknya.

"Saya amat gembira. Ia perlumbaan yang hebat," kata Rossi kepada Sky Sport. "Jelas insiden yang berlaku kepada Marquez tidak datang dengan selalu.

"Namun hari ini kami tahu kami mempunyai peluang yang hebat untuk memenangi perlumbaan. Saya amat menikmati perlumbaan hari ini, ramai penonton dan ramai peminat. Ia hari yang baik."

Kemenangan di Misano adalah yang ke-81 buat Rossi dalam kelas elit MotoGP dan membolehkan penunggang berusia 35 tahun itu muncul pelumba pertama mengumpul 5,000 mata sepanjang kerjayanya.

Berbaki lima pusingan perlumbaan, Marquez masih kekal sebagai pendahulu kejuaraan dengan mengumpul 289 mata diikuti rakan sepasukannya, Pedrosa (215) dan Rossi (214). - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X