Jumaat, 12 Jun 2015 | 12:06am

Biar berparut Erra tetap sayang motosikal


KUALA LUMPUR : Demi minat mendalam terhadap bidang permotoran, primadona filem Melayu, Erra Fazira tidak pernah menjadikan kemalangan dan kecederaan yang menimpanya sebagai batu penghalang bagi meneruskan pembabitannya.

Bagi figura jelita itu, detik cemas dialami apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas hingga masuk ke bawah lori ternyata memberikan kekuatan dalaman bagi meneruskan minat terhadap bidang berkenaan.

Erra berkata, minat mendalamnya dalam bidang permotoran terdorong daripada sifat berdikari yang dipupuk oleh ibunya sejak kecil lagi.


PRIMADONA filem Melayu, Erra Fazira. - Foto Salhani Ibrahim

"Kemalangan dan parut bukanlah perkara baharu lagi untuk saya, tetapi ia tidaklah membuatkan saya serik terus untuk menunggang motosikal sebaliknya menjadikan saya lebih berhati-hati.

"Saya rasa ini mungkin disebabkan saya anak tunggal. Saya ada sisi manja, feminin, lasak dan macam-macam lagi. Sayalah anak perempuan, saya jugalah lelaki dalam keluarga, malah berdikari demi membantu keluarga.

"Jadi, boleh dikatakan 'balance' hormon lelaki dan wanita saya itu," kata Erra kepada BH PLUS.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 41, berkata keluarga dan kenalan rapat mengenali beliau dengan karakter lasak, namun mempunyai sisi feminin yang dilihat di mata orang ramai.


ERRA gemar menunggang motosikal. - Foto NSTP

Menunggang motosikal juga banyak memberi pengalaman manis dan pahit buat pelakon filem Hingga Hujung Nyawa itu.

Beliau berkata, penunggang motosikal lelaki bersikap lebih terbuka dan menggalakkan golongan wanita untuk turut aktif dalam bidang permotoran.

"Saya rasa agak 'klise' untuk golongan lelaki memandang serong penunggang wanita kerana mereka juga turut memberikan galakan dan sokongan moral untuk turut sama berkonvoi.

"Malah kini banyak persatuan motosikal berkuasa tinggi yang membabitkan wanita, maka ianya kini bukan lagi menjadi isu," kata Erra.


ERRA Fazira pernah bergelar Ratu Cantik Malaysia 1992. - Foto Salhani Ibrahim

Bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu berkata, aktiviti konvoi bermula dengan agak kerap tidak kira sama ada jauh atau dekat.

Erra menjelaskan beliau dan rakan-rakannya berkonvoi mengikut kelapangan masa dan kadang kala berlaku secara spontan.

"Kadang-kala kami konvoi hanya untuk menikmati makanan laut di satu tempat itu dan pulang semula ke Kuala Lumpur sejurus selepas itu. Ianya mengikut kelapangan masa kami dan ada juga idea itu tercetus secara spontan.

"Setakat ini minat saya dalam bidang motosikal berkuasa tinggi masih kuat dan parut di badan juga sudah sebati dengan diri saya," ujarnya.

Antara selebriti wanita yang turut meminati aktiviti motosikal berkuasa tinggi selain Erra adalah Fauziah Latiff, Linda Onn, Maznah Zolkefli, dan yang terbaru, Datuk Siti Nurhaliza.


ERRA dikenali oleh keluarga dan kenalan rapat dengan karakter lasak. - Foto Salhani Ibrahim

Ibu kepada Engku Aleesya turut berkongsi bahawa anak perempuannya itu mewarisi sifat yang dimiliki olehnya. Ini yang mana Aleesya berminat dengan kecantikan namun mempunyai sisi lasaknya.

"Saya rasa Aleesya lebih dekat dengan saya kerana beliau suka benda cantik namun tidak perlu didandan sangat seperti budak perempuan lain," katanya mengakhiri wawancara.

Berita Harian X