Jumaat, 12 Jun 2015 | 7:44pm

Wings bersilat di Konsert Takkan Melayu Hilang Di Dunia

AWIE (kanan) bersilat pada Konsert Takkan Melayu Hilang Di Dunia yang berlangsung di Istana Budaya. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock tanah air, Wings menggunakan muzik dan lagu sebagai senjata untuk menawan khalayak sambil melaungkan semangat perjuangan di Konsert Takkan Melayu Hilang Di Dunia yang sedang berlangsung di Istana Budaya, di sini.

Digarap sebagai sebuah konsert berkonsepkan semi teaterikal yang mengangkat nilai estetika, budaya dan perjuangan anak bangsa mewakili Melayu, konsert Wings kali ini dipersembahkan lebih daripada sebuah kumpulan rock lagenda.

Kombinasi muzik rock dan instrumen tradisional daripada gamelan, nobat, serunai dan gambus berjaya mengasyikkan peminat yang hadir ke konsert unik Wings itu.

PERSEMBAHAN Wings di Istana Budaya. - Foto Shiraz Ali

Selain menggabungkan irama muzik moden dan tradisional, kumpulan rock otai ini turut menyelitkan lakon pentas berupa aksi silat, monolog dan bacaan puisi penuh emosi bertemakan perjuangan juga menjadi kelainan konsert ini.

Konsert Wings yang diterbitkan Awie Entertainment Sdn Bhd itu terbahagi kepada empat segmen iaitu agama, bangsa, tanah air dan keluarga.

Awie turut kelihatan sebak dan menitiskan airmata ketika mendendangkan lagu berjudul Ibu dengan diiringi dengan alunan gemersik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

Malah adik beradik beliau kelihatan sebak ketika Awie menyanyikan lagu itu. Antara lagu yang turut dipersembahkan adalah Hukum Karma, Bazooka Penaka, Sayap Ilusi, Sembunyi, Ranggi Metropolis, Tanjung Puteri, Inspirasi Taming Sari, Asmaul Husna, Anugerah, Selawat dan Dari Tuhan.

Segmen agama berjaya menyentuh hati penonton yang hadir yang mana empat sekawan itu menyampaikan lagu ketuhanan mengenakan kostum klasik lengkap memakai tengkolok seperti laksamana Melayu zaman dahulu kala sepanjang konsert berlangsung, sekali gus menampilkan sisi berbeza kumpulan rock yang dikenali dengan imej ganas dan lagu rock namun mereka menghiburkan peminat dengan persembahan berbeza.

Manakala lagu medley iaitu Opera Hidup dan Sejati mendapat sambutan hangat dari peminat yang turut sama menyanyi bersama mereka.

Digandingkan penuh harmoni antara rock dan tradisional, empat panglima Wings, Awie, Joe, Black dan Eddie bakal menghunus senjata masing-masing, berpencak dengan lagu dan muzik di Panggung Sari, Istana Budaya sejak 10 hingga 16 Jun ini.

Tiket dijual pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245, RM305, dan RM450.

Berita Harian X