Sabtu, 13 Jun 2015 | 3:35pm

Sukan SEA: Pesilat negara dapat kemenangan percuma ke final

ATLET silat negara, Mohd Faizul Nasir diusung oleh pasukan paramedik selepas cedera di bahagian mata ketika menentang pesilat Duy Phuong Vo. - Foto BERNAMA

SINGAPURA: Pesilat negara, Muhammad Faizul M.Nasir yang beraksi dalam acara Putra B (Kategori berat badan 50-56kg) mendapat kemenangan percuma dan layak ke final.

Wasit perlawanan membatalkan serangan pesilat Vietnam, Duy Phuong Vo kerana melakukan serangan ke bahagian mata kiri Muhammad Faizul yang menyebabkannya terpaksa diusung keluar dari gelanggang kejohanan yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapura hari ini.

Pada aksi final esok, pemenang pingat emas pada edisi ke-19 Kejohanan Pencak Silat Terbuka Belgium 2014 itu dijadual bertemu Nanthachai Khansakon dari Thailand bagi merebut pingat emas bagi acara itu.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, beliau berharap Muhammad Faizul tidak mengalami kecederaan serius dan dapat meneruskan aksi esok.

"Kita menghormati keputusan wasit apabila pesilat Vietnam secara jelas melakukan serangan pada mata kiri Muhammad Faizul.

"Saya doakan moga beliau tidak mengalami kecederaan serius dan mampu meneruskan pemburuan pingat untuk negara," katanya.

Muhammad Faizul kini dirawat oleh pasukan perubatan kontinjen negara dan akan dirujuk ke hospital pakar berdekatan sekiranya perlu.

BERNAMA

Berita Harian X