Sabtu, 13 Jun 2015 | 8:00pm
MENTERI Dalam Negeri,Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, merakam kenangan bersama penerima Kad Pengenalan di Majlis Program Outreach dan Pelancaran Bas Mobile JPN Sarawak. - Foto Che Rani Che Din

5,129 remaja Sarawak tiada kad pengenalan

KUCHING: Seramai 5,129 remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun yang tinggal di pedalaman Sarawak masih belum ada kad pengenalan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata angka itu agak membimbangkan kerana remaja berkenaan akan menghadapi masalah pada masa depan.

Justeru beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menggandakan usaha untuk mengesan remaja terbabit dan membantu mereka mendapatkan kad pengenalan sah.

"Angka itu kita kesan menerusi pendaftaran sijil kelahiran. Ibu bapa tidak seharusnya membiarkan anak-anak yang sudah mencapai usia 12 tahun tidak memiliki kad pengenalan diri.

"Sebab itu, JPN kini menggerakkan sepenuhnya kemampuan mereka untuk menjelajah hingga ke kawasan yang jauh di pedalaman bagi memberi kemudahan kepada penduduk untuk membuat kad pengenalan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Outreach dan pelancaran pejabat bergerak JPN Sarawak menggunakan bas di Kampung Muara Tebas, di sini, hari ini.

Bas berkenaan yang bernilai RM1.3 juta, dilengkapi semua kemudahan untuk memproses kad pengenalan.

Yang turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah JPN, Datuk Sulaiman Keling dan Pengarah JPN Sarawak, Datuk Abu Bakar Mat.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, selain kad pengenalan, ramai warga negeri ini mengabaikan pendaftaran perkahwinan serta pengambilan anak angkat.

"Mereka anggap perkara itu remeh, terutama perkahwinan lelaki tempatan dengan rakyat asing di negara jiran.

"Kegagalan mereka mendaftar perkahwinan di pejabat Konsulat kita di negara jiran akan menimbulkan masalah kerakyatan terhadap anak mereka dan ini yang banyak berlaku sekarang," katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan keupayaan mendekati kumpulan sasar yang tinggal jauh di pedalaman, pihaknya memohon untuk mendapatkan tambahan aset terutama kenderaan pacuan empat roda dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Kenderaan pacuan empat roda itu akan digerakkan ke kawasan pedalaman yang tidak mampu dilalui pejabat bergerak seperti bas ini," katanya.

Berita Harian X