Ahad, 14 Jun 2015 | 12:05am
MOHD Jidin (kiri) melihat bekas tapak penempatan, yang ditenggelami air bagi memberi laluan kepada pembangunan Tasik Kenyir. - Foto ASWADI ALIAS

Kampung 'ditelan' Tasik Kenyir


DI sebalik keindahan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, sebagai antara lokasi tarikan pelancong, pasti ramai yang tidak tahu dasar tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu dahulunya merangkumi sembilan kampung yang menjadi kawasan penempatan penduduk terawal.

   Siapa sangka, ketika anda asyik menaiki bot menyelusuri tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara seluas 2,600 kilometer persegi itu, sebahagian dasar tasik indah itu menyimpan kenangan buat hampir 100 keluarga, yang kemudiannya terpaksa dipindahkan bagi memberi laluan kepada pembangunan Tasik Kenyir.

   Umum mengetahui tasik ini merangkumi 340 gugusan pulau kecil dan ia sebenarnya adalah kawasan pergunungan serta hutan belantara yang berada di atas paras air, selepas kawasan seluas 38,000 hektar di Tasik Kenyir ditenggelami air.

   Siap sepenuhnya pada 1984, Tasik Kenyir dibina untuk menjana kuasa elektrik bagi penduduk Terengganu khususnya dan negara amnya.

   Malah, ia juga menjadi aset serampang dua mata Terengganu apabila ia kini semakin tersohor sebagai lokasi pelancongan popular, terutama bagi kaki pancing dari dalam dan luar negara.


LOKASI bekas tapak penempatan Kampung Berching, Kampung Kelituk dan Kampung Melur, yang ditenggelami air bagi memberi laluan kepada pembangunan Tasik Kenyir sebagai empangan serta lokasi pelancongan. - Foto ASWADI ALIAS

   Peluang menjejak sejarah asal usul Tasik Kenyir dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan kerajaan negeri juga menemukan BH dengan penduduk asal kampung di dasar tasik ini satu masa dulu.

   Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafiee, berkata, dasar tasik itu dulunya menempatkan sembilan kampung dikenali sebagai Kampung Melur, Kelitok, Berching, Petang, Mentong, Melaka, Kuala Terenggan, Kerbak dan Belimbing.

   Namun, sembilan kampung berkenaan kemudian mengecil menjadi tiga kampung utama iaitu Kampung Melur, Kelitok dan Berching, dengan jumlah penduduk di ketiga-tiga penempatan itu sekitar 100 keluarga.

   Secara asasnya, permukaan Tasik Kenyir adalah dari Hulu Terengganu iaitu penghujung Sungai Terengganu. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 dan serangan gajah liar di Hulu Terengganu menyebabkan ramai penduduk berhijrah ke kampung di Tasik Kenyir.

   "Kampung ini dihubungkan dengan sungai dan perahu atau rakit sebagai pengangkutan utama. Pada masa itu, terdapat kira-kira 30 keluarga menetap di setiap kampung atau purata empat orang bagi sebuah keluarga," katanya.

   Hampir semua penduduk bergantung kepada aktiviti pertanian padi bukit sebagai aktiviti utama. Kawasan kampung yang indah dan pasir sungai yang memutih pada ketika itu menggambarkan suasana kehidupan yang sungguh nyaman dan sangat menenangkan.

   Namun, penduduk di kampung ini diibaratkan hidup terpisah daripada penempatan lain berikutan kedudukannya yang agak jauh di tengah belantara dan terpencil daripada pembangunan.

   Penempatan ini juga pernah dilawati Almarhum Sultan Ismail. Susulan lawatan itu, baginda mengesyorkan supaya semua penduduk di kampung di sekitar Tasik Kenyir berpindah ke kawasan yang berdekatan dengan Kuala Berang. 

   Ini kerana baginda berasakan Tasik Kenyir terlalu jauh dengan pembangunan dan menyukarkan penduduk untuk berulang-alik. 

   Malah, untuk ke pekan (kini bandar) Kuala Berang ketika itu, penduduk terpaksa menaiki perahu atau mendayung rakit yang mengambil masa dua hari perjalanan, sebelum terpaksa berjalan kaki hampir setengah hari untuk sampai ke pekan.

   Mohd Jidin berkata, dalam masa sama, pada 1950-an, kerajaan negeri membuat keputusan untuk membangunkan Tasik Kenyir sebagai kawasan tadahan air atau empangan, bagi menjana tenaga elektrik, selain menjadikan kawasan itu tarikan pelancongan baharu.

   Berikutan itu, penduduk di tiga kampung di dasar tasik itu diminta berpindah. Bagaimanapun, mereka tidak diarahkan berpindah begitu saja, sebaliknya kebajikan mereka tetap dibela dengan diberi pampasan sewajarnya.


SECARA asasnya, permukaan Tasik Kenyir adalah dari Hulu Terengganu iaitu penghujung Sungai Terengganu. - Foto ASWADI ALIAS

   "Kehidupan penduduk di kampung ini dulunya hanya bergantung kepada sumber alam untuk hidup. Malah, mereka hidup dalam kelompok sendiri yang jauh daripada penempatan lain. Ada juga sebahagian besar mereka yang menghuni dasar tasik ini kerana lari daripada buruan komunis.

   "Bagi memastikan pembangunan dirancang berjalan lancar, penduduk diminta berpindah dan kita membantu mereka berpindah ke kawasan penempatan baharu di Kampung Dura, Kuala Berang.

   "Kerajaan tidak membiarkan mereka begitu saja, sebaliknya mereka diberi pampasan berupa 4.1 hektar tapak rumah, 0.8 hektar tanah sawah dan 2.4 hektar tanah kebun untuk mereka usahakan sebagai sumber pendapatan," katanya kepada BH.

   Beliau berkata, walaupun pada mulanya penduduk sedikit kurang senang dengan pemindahan itu kerana sayangkan tanah kebun dan sawah yang luas, mereka akhirnya gembira kerana pemberian pampasan itu membantu mengubah corak hidup mereka serta menginjak sumber ekonomi ke tahap lebih baik.

   "Pemberian dan pemindahan ini menjadi satu transformasi hidup kepada mereka. Memang penempatan yang menjadi tempat kelahiran dan membesar mereka kini sudah lenyap ditenggelami air, semuanya tinggal sejarah.

   "Tetapi, sejarah dan kenangan ini satu pengorbanan daripada mereka yang menjadikan Tasik Kenyir ini sebagai satu punca sumber dan pusat pelancongan, rekreasi serta tempat pertumbuhan ekonomi baharu," katanya.


MOHD Jidin Shafee. - Foto Rozainah Zakaria

   Justeru, Mohd Jidin berkata, usaha kerajaan itu memang mendatangkan manfaat besar kepada penduduk berkenaan, terutama dalam membangunkan ekonomi penduduk khususnya dan negeri amnya.

   "Kalau hendak dibandingkan dulu dengan sekarang, kini pendapatan mereka jauh lebih baik. Dulu, mereka hanya berharap pada tanaman padi untuk mereka makan. Sekarang ini, mereka dapat rumah yang baik. Dulu sekolah pun atap dan kayu saja, manakala rumah atap dengan daun. Sekarang mereka duduk di rumah dan sekolah batu.

   "Ekonomi pun jauh berbeza. Walaupun pada masa itu nilai mata wangnya lebih kecil, sekarang mereka dan generasi mereka sudah menikmati pembangunan ekonomi yang baik serta dibantu oleh kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan taraf hidup, setaraf dengan generasi lain yang berkembang di dunia," katanya.

   Kini, Tasik Kenyir sudah bertukar wajah. Lautan air serta pulau yang satu ketika dulu puncak bukit, pesat dibangunkan dengan pelbagai produk pelancongan seperti Taman Burung, Taman Herba, Taman Tropika dan Pulau Bebas Cukai di Pulau Bayas.

 

KENANGAN MENGHUNI KAMPUNG MELUR, SATU DARI TIGA KAMPUNG DI DASAR TASIK KENYIR YANG KINI DITENGGELAMI AIR, TIDAK MUNGKIN DAPAT DILUPAKAN PENDUDUK. IKUTI PENGALAMAN PENDUDUK, ESOK.

Berita Harian X