Ahad, 14 Jun 2015 | 11:53am

Fahmi Esmail dari pramugara kini penyanyi

MOHD Zulfahmi Esmail

KUALA LUMPUR: Pertandingan Mentor Legend yang bersiaran di TV3 baru-baru ini landasan terbaik buat Mohd Zulfahmi Esmail atau nama komersialnya, Fahmi Esmail untuk mewarnai persada seni. Langkah beraninya ke uji bakat pertandingan berkenaan dan seterusnya menjadi protege kepada penyanyi dan komposer Ajai membuka lembaran baharu buatnya.

Maka dari situ bermulalah kembara seni Fahmi. Dalam usia 26 tahun, dia tidak pernah termimpi untuk beraksi di pentas yang besar ertinya itu untuk permulaan karier barunya. Tidak pernah memasuki mana-mana pertandingan nyanyian kerana di awal usia 20-an, Fahmi sebelum ini pernah bertugas sebagai pramugara AirAsia.

Ketika pertandingan Mentor Legend bermula, dia terpaksa memohon cuti tanpa gaji, demi ingin mencuba nasib. Ternyata pertaruhan Fahmi dalam bidang seni, tidak terhenti selepas pertandingan berakhir. Fahmi yang terkenal dengan nada tinggi nyaringnya, dilamar syarikat rakaman Wake The Baby Records di bawah tanggungjawab dan pemantauan Ajai.

FAHMI pada pelancaran 'single' Halang.

Selesai tugas sebagai mentor, Ajai kini bertindak selaku penerbit album Fahmi yang bakal menyusul di pasaran. Untuk tanda pengenalan dan juga terima kasih kepada semua peminat yang bersusah-payah menyokongnya, dia kini tampil dengan single yang berjudul Halang hasil nukilan sepenuhnya oleh Ajai.

Fahmi apabila diaju soalan, pandangannya terhadap single berkenaan berkata Halang bukan lagu demo pertama yang diberikan Ajai. Sebelum ini dia terlebih dahulu diperdengarkan dengan beberapa buah lagu.

"Saya pulang ke rumah untuk berlatih membiasakan pilihan lagu yang diberikan. Dua hari sebelum rakaman, seperti biasa saya ke studio untuk latihan dan kemudian Ajai memainkan kepada saya sebuah lagu lain iaitu Halang. Kata Ajai, dia mahu membuat keputusan untuk mempertaruhkan lagu Halang.

"Proses rakaman dilakukan semalaman dan saya cuma ada beberapa hari untuk berlatih lagu baru itu (Halang). Tapi alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar. Hasil tunjuk ajar Ajai menyenangkan lagi proses rakaman lagu dan kini saya sangat bersyukur, impian melahirkan single sudah termakbul," katanya.

Lagu Halang dilihat bersesuaian dengan nada suara Fahmi. Liriknya pula mengisahkan percintaan yang tidak kesampaian. Fenomena ini sememangnya lumrah pada insan yang bercinta. Ada yang sukses dan ada yang terkandas kerana faktor keluarga, agama dan banyak lagi.

Berita Harian X