Ahad, 14 Jun 2015 | 11:23pm

Aaliyah rangkul pingat emas cara wanita keseluruhan

AALIYAH meneruskan aksi cemerlang apabila meraih pingat emas kedua bagi dirinya dalam acara wanita keseluruhan pada Sukan SEA ke-28 di Empangan Bedok. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SINGAPURA: Aaliyah Yoong Hanifah meneruskan aksi cemerlang apabila meraih pingat emas kedua bagi dirinya dalam acara wanita keseluruhan pada Sukan SEA ke-28 di Empangan Bedok di sini hari ini.

Atlet cilik berusia 11 tahun itu menampilkan kehebatan dengan mengumpul 2155.56 mata selepas menamatkan saingan dalam ketiga-tiga rutin - trick, slalom dan jump.

Peserta Indonesia Nor Alimah Prambodo meraih perak selepas mengutip 1553.58 mata, mengatasi atlet Singapura Kalya Marissa Kee yang menduduki tempat ketiga dengan 1408.38 mata.

"Saya berasa gembira kerana dapat menampilkan prestasi terbaik dalam rutin jump dan slalom. Saya juga mencapai sasaran memenangi dua pingat emas.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya...ibu bapa, pasukan dan rakan-rakan. Saya berharap pada Sukan SEA akan datang di Malaysia saya akan merangkul tiga emas," kata Aaliyah yang turut meraih emas dalam acara trick wanita dan pingat perak dalam acara jump wanita.

Sementara itu, abang tirinya Alex Yoong terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas hanya 19 mata di belakang atlet Indonesia Febrianto Kadir, yang mengutip 2217.69 mata dalam acara lelaki keseluruhan.

Seorang lagi atlet Indonesia Hermana Ade meraih pingat gangsa selepas mengumpul 2073.21 mata.

Alex berkata beliau hanya mempunyai masa dua minggu untuk membuat persiapan sebelum menyertai acara jump berikutan mengalami kecederaan di lutut kiri.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati tetapi saya terlepas sasaran yang saya mahu capai. Mudah-mudahan keadaan kesihatan saya dalam keadaan baik untuk beraksi pada Sukan SEA akan datang di Malaysia," kata Alex yang meraih dua pingat gangsa dalam acara jump dan slalom lelaki. - BERNAMA

Berita Harian X