Isnin, 15 Jun 2015 | 12:09am
PINTU masuk ke Masjid Kampung Hulu, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad
NOJA Masjid Kampung Hulu, Abdullah Abdul Kadir menunjukkan kawasan sekitar masjid itu. - Foto Rasul Azli Samad
ORANG ramai menggunakan kemudahan kolam untuk mengambil wuduk di Masjid Kampung Hulu, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

Masjid Kampung Hulu bukan masjid tertua di Malaysia


MELAKA: Masjid Kampung Hulu yang terletak di bumi Hang Tuah disahkan bukan masjid tertua di negara ini seperti didakwa banyak pihak.

Masjid tertua di Malaysia adalah Masjid Kampung Laut di Kelantan, diikuti Masjid Peringgit di Melaka, yang dibina sekitar tahun 1720, seterusnya Masjid Kampung Hulu dan Masjid Tengkera, juga terletak di daerah yang sama di Melaka.


MENARA Masjid Kampung Hulu masih berdiri kukuh walaupun usianya melebihi 100 tahun. - Foto Rasul Azli Samad

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Khamis Abas, berkata fakta itu berdasarkan kajian yang dibuat pengkaji sejarah tinggalan Islam di Tanah Melayu seperti Allahyarham Abdul Halim Nasir.

"Ramai yang beranggapan Masjid Kampung Hulu adalah tertua disebabkan ia paling popular berbanding masjid lama lain. Begitu juga Masjid Tengkera, yang pernah memegang peranan sebagai masjid rasmi ketika zaman itu ditadbir begitu baik sehingga pernah dilabelkan sebagai masjid tercantik dari segi binaan dan ukiran di Melaka.


KEADAAN Masjid Kampung Hulu, Melaka yang masih utuh. - Foto Rasul Azli Samad

"Kedua-dua masjid ini popular disebabkan keunikannya yang tersendiri," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau berkata, sehingga kini, masih ramai yang percaya air kolah di Masjid Kampung Hulu mujarab untuk memulihkan penyakit sehingga bangsa asing juga sanggup mengambil air kolah itu untuk dibawa pulang.

Masjid itu juga, katanya, pernah terkenal dengan kepercayaan bersumpah sebagai penentu keputusan sama ada seseorang itu bercakap benar atau tidak.


RUANG solat di Masjid Kampung Hulu, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

"Ada yang mendakwa, orang yang melanggar sumpah akan menerima akibat. Bagaimanapun, upacara mengangkat sumpah di masjid itu kini sudah tidak lagi wujud selepas mendapat arahan daripada Jabatan Mufti negeri supaya tidak ada sebarang perkara khurafat bagi menjaga kesucian institusi itu.

"Sebagai menjaga warisan, kita sudah menegur berulang kali mengenai perkara ini (mengangkat sumpah). Hal berkaitan agama kita serahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Jabatan Mufti," katanya.


KOLAM mengambil wuduk di Masjid Kampung Hulu, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

Masjid Kampung Hulu dibina sekitar abad ke-17 ketika penjajahan Belanda selepas mengambil alih pemerintahan Portugis pada 1881. Kedatangan Portugis ke Tanah Melayu menerusi perdagangan rempah sebelum itu memusnahkan rumah ibadat milik Islam dan menyebarkan agama Kristian Katolik. Semua masjid di Melaka dimusnahkan, termasuk istana.

Apabila Belanda mengambil alih penjajahan Portugis pada tahun 1881, orang Islam di Melaka diberi ruang membina semula masjid. Pemerintah Belanda ketika itu lebih memberi tumpuan pada perdagangan berbanding konflik agama.


DUA buah meriam menjadi hiasan di Masjid Kampung Hulu, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

Khamis berkata, PERZIM sentiasa berusaha memastikan keunikan dan keistimewaan masjid tertua di negeri ini kekal terpelihara bagi tatapan generasi akan datang.

Perbadanan itu juga tidak menghalang sebarang kerja pembangunan baharu seperti kemudahan dan prasarana selagi ia tidak menenggelamkan tinggalan tamadun Islam dan Melayu yang pernah bertapak awal di Tanah Melayu, sekitar abad ke-15.


NOJA Masjid Kampung Hulu, Abdullah Abdul Kadir menunjukkan beduk berusia lebih 280 tahun yang masih digunakan di masjid itu. - Foto Rasul Azli Samad

"Peninggalan sejarah Islam dan Melayu tidak ada di Melaka, melainkan ia dapat dilihat pada masjid lama. Kita tahu Melaka juga pernah dikenali sebagai 'Serambi Makkah' kerana negeri ini menjadi tumpuan tokoh agama dan ulama bertemu serta menyebarkan syiar Islam menerusi institusi ini.

"Jadi, PERZIM diamanahkan pihak berkuasa negeri supaya mewartakan sebanyak 56 masjid lama dengan harapan ia akan kekal terpelihara," katanya.

Sebelum wujud Jabatan Warisan Negara, kata Khamis, Jabatan Muzium memperuntukkan hampir RM1 juta untuk membaik pulih keseluruhan Masjid Tengkera.

"Ada beberapa bahan binaannya dicuri seperti jubin bumbung yang kebanyakannya sudah hilang, tetapi jika diamati, masjid ini saya akui yang tercantik dan terbersih," katanya.

Di Masjid Kampung Hulu pula, sebahagian seni bina bangunan itu pernah dibaik pulih beberapa kali dan kali terakhir pada tahun lalu, bagi menyelenggara lampu gasolin yang tergantung pada siling masjid itu.

 

INFO

Orang ramai boleh merujuk dua buku kajian masjid lama Tanah Melayu:

- Seni Bina Masjid di Dunia Melayu-Nusantara oleh Abdul Halim Nasir

- Warisan Masjid-masjid Lama di Selangor oleh Mohd Zainudi Abdullah dan Noorhayati Md Yatim

Berita Harian X