Isnin, 15 Jun 2015 | 11:19am

Diskaun 30% tiket Konsert Wings malam ini dan esok

KONSERT Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia berlangsung sejak 10 Jun lalu. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Berlangsung sejak 10 Jun lalu, Konsert Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia itu masih berbaki dua persembahan iaitu pada malam ini dan esok.

Malah sejak dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya itu, konsert kali ketiga di pentas berprestij itu mendapat maklum balas dan ulasan yang cukup positif di kalangan rakan media dan mereka yang sudah pergi menontonnya.

Istimewanya juga atas kepekaan terhadap peminat Wings, tiket dua konsert berbaki dua malam ini akan mendapat diskaun 30 peratus.

Bererti tiket dijual pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245, RM305, dan RM450 akan dijual pada harga yang lebih murah.

Perkara itu dimaklumkan pihak penganjur konsert sendiri, Awie Entertainment Sdn Bhd kepada BH Online.

Awie berkata, pembeli awal yang sudah pun membeli tiket untuk menonton konsert malam ini dan esok turut akan menikmati keistimewaan dengan apabila tempat duduk asal mereka dinaik taraf ke tempat duduk yang lebih baik.

TIKET dua Konsert Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia di Istana Budaya berbaki dua malam ini akan mendapat diskaun 30 peratus. - Foto Shiraz Ali

"Kami menawarkan diskaun ini sebagai menghargai sokongan peminat Wings yang terus utuh menyokong sedari dahulu sekalipun konsert di Istana Budaya ini bukan yang pertama menyaksikan kami beraksi.

"Saya sedar menerusi pemantauan memang ada peminat tegar Wings yang belum datang menonton dan ditambah pula konsert ini berlangsung pada pertengahan bulan selain keadaan ekonomi semasa yang diketahui ramai.

"Lalu, kami berharap promosi dan diskaun yang diberikan ini akan memberi peluang kepada mereka untuk datang menonton," kata Awie.

Konsert ini disifatkan sebagai sebuah konsert berkonsepkan semi teaterikal yang mengangkat nilai estetika, budaya dan perjuangan anak bangsa mewakili Melayu dan dipersembahkan lebih daripada sebuah kumpulan rock legenda.

AWIE bersilat pada Konsert Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia di Istana Budaya. - Foto Shiraz Ali

Kombinasi muzik rock dan instrumen tradisional daripada gamelan, nobat, serunai dan gambus berjaya mengasyikkan peminat yang hadir ke konsert unik Wings itu.

Wings sebelum ini pernah menjejaki panggung berprestij itu menerusi Konsert Wings Rockestra bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pada 2013 dan Opera Hidup Wings & Superfriends (2011).

Awie Entertainment sebelum ini pernah menganjurkan Konsert Teaterikal Suara Kita pada Mac 2014, manakala kedua-dua konsert Wings sebelum ini diterbitkan oleh Anggerik Events Sdn. Bhd.

Untuk pembelian tiket boleh hubungi 03- 4162 1136 atau 019-293 2436

Berita Harian X