Isnin, 15 September 2014 | 7:25pm

PRK Pengkalan Kubor: PAS jadikan projek tebatan banjir bahan kempen

TUMPAT : PAS kini membangkitkan isu projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand sebagai bahan kempen untuk menyerang Barisan Nasional (BN) bagi meraih sokongan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Tindakan itu susulan isu royalti minyak dan gelaran 'ustaz' calon BN, Mat Razi Mat Ail, yang dimainkan sebelum ini gagal memberi kesan.

Sejak malam kelmarin lagi, ceramah PAS yang bertumpu di sekitar Kampung Simpangan dan Pengkalan Kubor hanya berkisar soal projek tebatan banjir itu yang didakwa gagal menyelesaikan masalah rakyat.

Bercakap kepada media di Markas Besar PAS di sini, Pengarah Pilihan Raya PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, mendakwa projek bernilai RM3 juta itu gagal menyelesaikan masalah di kawasan terbabit.

"Kita akan bangkitkan isu tebatan banjir itu," katanya.

Projek tebatan banjir sepanjang Jalan Kasban di Sungai Golok itu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir di daerah Tumpat namun menghadapi masalah teknikal berikutan tanah di sebelah Thailand lebih tinggi daripada tebatan itu.

Projek yang dimulakan Januari 2006 itu siap pada Disember 2010.

Calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim, sebelum ini dilaporkan cuba memperlekehkan Mat Razi dengan menuduh bekas pegawai kerajaan itu sebagai ustaz yang kurang wibawa.

Serangan peribadi itu dikritik beberapa pimpinan UMNO yang menyifatkan ia langsung tidak menunjukkan kematangan calon PAS itu.

Mat Razi sendiri menjelaskan gelaran itu diberikan masyarakat kerana usahanya menubuhkan sebuah sekolah pondok.

Selepas isu itu reda, PAS mula membangkitkan isu royalti minyak, namun ia seakan hilang apabila cabaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mereka menubuhkan satu jawatankuasa sendiri bagi memperjelaskan soal itu masih tidak disambut.

Berita Harian X