Selasa, 16 Jun 2015 | 8:24am

58,500 pekerja asing gagal ujian saringan kesihatan


PEMANTAUAN berterusan pihak berkuasa mampu membendung kebanjiran pendatang asing ke negara ini. - Foto hiasan

KIRA-kira tiga peratus daripada 1.95 juta pekerja asing yang masuk untuk bekerja di Malaysia didapati gagal ketika menjalani saringan kesihatan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) antara tahun 2009 hingga tahun lalu.

Antaranya ialah penyakit yang sebelum ini berjaya dikawal dan dikatakan berjaya dihapuskan oleh kerajaan seperti wabak tuberculosis (tibi) dan kusta. Bahkan, ada pekerja asing berkenaan didapati menghidap hepatitis B, siflis, HIV/AIDS, malaria, epilepsi, untut, barah, mengandung dan dadah.

Kegagalan saringan kesihatan dikatakan sebahagiannya akibat tindakan pekerja asing terbabit melakukan penipuan sijil kesihatan untuk membolehkan mereka masuk bekerja di negara ini.

Mereka yang sepatutnya dihantar pulang ke negara asal dengan kebanyakannya sudah bergolok-bergadai untuk masuk ke negara ini akan bertindak menghilangkan diri dan memasuki pasaran pekerjaan secara gelap. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kemasukan pendatang asing tanpa izin yang datang melalui pintu yang tidak sah selain kehadiran pelancong dari negara dunia ketiga ke negara ini.

Tindakan majikan yang tidak bertanggungjawab menggaji pekerja asing, terutama yang menghidap penyakit berjangkit akan membahayakan kesihatan orang lain.

Bayangkan, risiko yang dihadapi rakyat negara ini jika pekerja asing yang berpenyakit berjangkit itu diambil bekerja di restoran, pusat cuci kenderaan atau pusat asuhan kanak-kanak.

Sistem urus pekerja asing

Sehubungan itu, keputusan Jabatan Imigresen melaksanakan sepenuhnya modul BioMedical dan permohonan secara elektronik Visa Dengan Rujukan (eVDR) menggunakan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat (FWCMS) terhadap semua pekerja asing mulai hari ini adalah langkah tepat.

Mulai tarikh itu, semua bakal pekerja asing perlu melalui pemeriksaan kesihatan di klinik di negara asal yang mempunyai kemudahan BioMedical.

Langkah itu membolehkan verifikasi biometrik dilakukan terhadap bakal pekerja asing bagi tapisan keselamatan dan mengesahkan pekerja terbabit adalah subjek sebenar yang memohon sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan.

Penggunaan modul eVDR diwajibkan, termasuk pembelian insurans untuk pekerja asing bagi permohonan surat kelulusan Visa Dengan Rujukan (VDR) secara dalam talian bagi memudahkan urusan majikan tanpa perlu menunggu di kaunter imigresen.

Elak berurusan dengan ejen

Pengarah Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen Malaysia, Farah Adura Hamidi, berkata penggunaan FWCMS membantu mengurangkan beban kerja di kaunter imigresen kerana kemasukan data dilakukan sendiri oleh majikan atau pekerja.

Beliau berkata, penggunaan sistem dalam talian juga dapat mengelakkan majikan daripada berurusan dengan bantuan ejen selain melakukan urusan tunai di kaunter yang boleh menimbulkan tohmahan terhadap pegawai imigresen.

"Jika semua prosedur dipatuhi dan dokumen yang diperlukan lengkap, tempoh kelulusan untuk pekerja asing mendapatkan eVDR boleh dikurangkan daripada satu atau dua minggu kepada tiga atau empat hari sahaja," katanya.

Kita percaya majikan tulen sudah pasti menyokong penggunaan sistem yang sepatutnya sudah lama dilakukan oleh kerajaan kerana ia menyenangkan majikan kerana mereka tidak perlu berurusan di kaunter, boleh melakukan secara dalam talian, mudah, menjimatkan masa dan wang serta lebih telus.

Penipuan pekerja asing yang mempunyai masalah kesihatan dapat ditangani kerana modul Biomedical dikendalikan klinik kesihatan di negara sumber yang mempunyai akreditasi dengan FWCMS dan mematuhi spesifikasi ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Sebanyak 16 penyakit berjangkit dan kronik akan disaring dengan pekerja yang gagal pada peringkat awal tidak dibenarkan masuk ke negara ini sekali gus menjimatkan pekerja asing daripada kerugian jika terpaksa dihantar pulang.

Bagaimanapun, keputusan kerajaan ini sudah pasti tidak disenangi segelintir agensi pembekal pekerjaan yang tidak bertanggungjawab kerana mereka tidak dapat lagi memeras wang bakal pekerja asing.

Sebelum ini, ada segelintir agensi memanipulasi pekerja asing dengan menghantar mereka yang tidak layak untuk bekerja di negara ini bagi memperoleh keuntungan.

Ini menyebabkan pekerja asing yang gagal melepasi ujian FOMEMA bertindak menghilangkan diri serta memasuki pasaran pekerjaan gelap kerana sudah menghabiskan banyak wang untuk masuk ke negara ini.

Selain itu, Farah Adura berkata, pihaknya cuba menyedarkan majikan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar ketika membawa masuk pekerja asing ke negara ini.

Beliau berkata, sekiranya majikan tiada tanggungjawab untuk memastikan pekerja asing yang dibawa masuk adalah sihat dan tiada penyakit berjangkit, ia akan menimbulkan masalah besar kepada negara.

"Oleh itu, ada kontrak antara majikan dan pekerja, termasuk majikan dengan kerajaan. Kita ingin majikan baca apa yang diletakkan dalam kontrak supaya ia dipatuhi.

"Sepatutnya, apabila majikan mengenal pasti pekerja asing yang tidak layak, mereka bertanggungjawab untuk menghantar pekerja terbabit pulang ke negara asal," katanya.

Insurans pekerja asing

Sementara itu, Ketua Pegawai Pengagihan Overseas Assurance Corporation (OAC) Bhd, Kevin Coong, berkata pihaknya mengalu-alukan penggunaan FWCMS kerana ia dapat memastikan pekerja asing memiliki ketiga-tiga skim insurans iaitu Insurans Jaminan Pekerja Asing (IG), Insurans Pampasan Pekerja Asing (FWCS) dan Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA).

"Sebelum ini, ada majikan yang tidak mengambil FWCS dan SPIKPA walaupun disyaratkan ke atas pekerja asing.

"Kini ia dapat dielakkan kerana memiliki ketiga-tiga insurans menjadi keperluan untuk pekerja asing mendapatkan eVDR. Melalui FWCMS, majikan bebas memilih syarikat insurans yang mereka ingin berurusan.

"Keputusan kerajaan ini baik kepada perkembangan industri insurans selain dapat mengurangkan risiko kerajaan terpaksa menanggung kos perubatan pekerja asing di hospital," katanya.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan pada tahun 2011, seramai 348,716 warga asing menggunakan hospital dan klinik kerajaan dan angka itu meningkat 20.6 peratus kepada 420,722 orang pada tahun 2012.

Pertambahan pesakit warga asing itu sudah tentu menyumbang kepada peningkatan kos perubatan kerajaan. Walaupun dikenakan kadar caj rawatan yang rendah, warga asing masih berhutang RM104 juta dengan hospital dan klinik kerajaan untuk tempoh tahun 2007 hingga Julai 2013.

Berita Harian X