Selasa, 16 Jun 2015 | 3:53pm

Bantuan berterusan kepada mangsa gempa - Najib

NAJIB tiba di Dewan Serbaguna Taman Mawar, dekat sini bagi merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata bantuan akan terus disalurkan kepada penduduk di Ranau dan kawasan sekitarnya bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara berikutan gempa bumi dan banjir yang berlaku.

Perdana Menteri berkata, bantuan itu juga termasuk membaik pulih infrastruktur yang mengalami kerosakan akibat bencana berkenaan.

"Pagi tadi, saya menerima laporan bahawa keadaan banjir di Ranau, Sabah semakin buruk. Maka, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengaktifkan gerakan bantuan dan operasi memindahkan penduduk yang terjejas," katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Gempa bumi sederhana 5.9 magnitud berlaku di Ranau pada 5 Jun lalu meragut 18 nyawa, selain gempa bumi 5.1 magnitud pada Sabtu (13 Jun) serta beberapa gempa bumi susulan.

Semalam, penduduk di Kampung Mesilau, di Kundasang turut berdepan banjir lumpur susulan kejadian tanah runtuh kesan daripada gempa bumi itu.

Berikutan keadaan itu, semua agensi kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia akan memantau keadaan di Sabah secara berterusan dalam tempoh beberapa bulan ini, terutama di Ranau dan kawasan sekitarnya.

"Bersama-sama kita berusaha dan berdoa untuk keselamatan saudara-saudara kita di Sabah," kata Perdana Menteri. - BERNAMA

Berita Harian X