Rabu, 17 Jun 2015 | 12:14am
ERRA dan Shahir.

Shahir jawab hubungan dengan Erra

KUALA LUMPUR: Di saat Erra Fazira mengakui sedang mengenali seseorang selepas bergelar ibu tunggal Februari tahun lalu, pelbagai gosip bertebaran mengaitkannya golongan VIP, orang kenamaan dan ahli politik. Erra membuat pengakuan itu sekitar November tahun lalu.

Malah gambaran Erra bahawa jejaka itu masih bujang dan jarang berjumpa mula menimbulkan teka-teki siapa identiti jejaka yang menambat hatinya itu.

Shahir Zawawi antara yang menjadi sebutan, malah beberapa siri cerita yang bertebaran mula menguatkan bahawa bagaikan ada sesuatu antara Erra dan Shahir.

"Ya, kami rapat," demikian kata Shahir ringkas dan enggan mengulas lanjut cerita selebihnya sekali gus cuba mengalih tumpuan untuk penulis terus mengorek status sebenar hubungan mereka.

Jawapan itu biarpun pendek kepada BH Plus, ia sedikit sebanyak menjelaskan bagai ada kebenaran mengenai cerita yang pernah bertebaran selama ini cuma masing-masing memilih untuk tidak terburu-buru atau menggembar-gemburkan hubungan baik yang terjalin.

Ironinya sejak Mei tahun lalu lagi, sudah kedengaran cerita mereka kerap berhubungan di telefon bimbit dan ada yang pernah nampak mereka sedang makan pizza bersama.

Namun cerita itu lenyap seketika apabila Erra pernah menyatakan mereka hanya kawan sesama artis.

Shahir sendiri pula tak menafikan yang mereka pernah bertemu tetapi pertemuan itu semua atas urusan kerja.

Ketika keputusan Erra bertudung baru-baru ini juga, timbul cerita yang Shahir juga antara yang mendorong beliau membulatkan keputusan penghijrahan itu.

SHAHIR atau Ahmad Shahir Zawawi, 23. - Foto Khairunisah Lokman

Mengukuhkan lagi andaian bahawa lelaki yang dimaksudkan ibu kepada Engku Aleesya itu ialah Shahir apabila Erra pernah menyebut lelaki berkenaan mempunyai ciri lelaki idamannya kerana memiliki ilmu pengetahuan yang mampu membimbingnya di dunia dan akhirat.

Shahir memang dilihat mempunyai ciri yang dimaksudkan itu.

Ketika Erra lebih banyak menjadi buruan dan tumpuan untuk terus diasak mengenai siapakah sebenarnya lelaki yang dimaksudkan, Shahir pula lebih banyak berdiam diri kerana berada di kampung halamannya di Perak.

Bagaimanapun selepas sekian lama 'menghilang', usaha menjejaki Shahir berjaya dilakukan BH Plus pagi semalam.

Lama menyepi dari dunia seni malahan dilihat kerjaya seninya yang tenggelam timbul di ibu kota dek memberi tumpuan perniagaan di kampung halaman di Perak, bintang kelahiran Akademi Fantasia itu akhirnya membuka mulut memberikan sedikit pencerahan mengenai hubungannya dengan Erra.

Terlanjur berkomunikasi dengannya di aplikasi WeChat, Shahir turut ditanya mengenai penghijrahan Erra dengan membuat keputusan untuk bertudung yang dikaitkan dengan dirinya.

Akui Shahir, dia mengakui ada mendengar mengenai hal terbabit.

ERRA Fazira ketika mengayakan busana Rizman Ruzaini. - Foto Ihsan Rizam Ruzaini

"Eh, tak adalah. Dia bertudung bukan sebab pengaruh saya. Dia sudah lama pasang niat. Itu keputusan mutlaknya dan saya gembira dengan apa yang dilakukannya itu. Alhamdulillah, perubahan itu bagus untuknya," kata Shahir.

Mengenai kerjaya seni, Shahir sebenarnya memasang niat untuk kembali memeriahkan persada seni.

"Siapa tahu mungkin selepas raya nanti saya akan buat 'come back'. Tapi semuanya masih dalam perancangan. Cuma pada masa yang sama saya terikat dengan komitmen perniagaan di kampung. Jadi saya tak mahu yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran," katanya.

Sempat diaju persoalan perniagaan apa yang diusahakan, Shahir masih terus berahsia.

"Adalah perniagaan kecil kecilan yang saya usahakan," kata penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu.

Erra Fazira mula bertudung sejak malam nisfu Syaaban lalu. Erra sebelum ini pernah dua kali berkahwin. Hanya perkahwinan keduanya dengan Engku Emran dikurniakan anak bernama Engku Aleesya. Erra berpisah dengan Emran pada Februari tahun lalu. Mereka berkahwin pada 25 Oktober 2007.

SHAHIR dan Zizan ketika di Terengganu.

Trivia Shahir

  • Mengimbau kembali rentetan perjalanan kerjaya seni Shahir, dia mula menyerlah selepas memenangi pertandingan Akademi Fantasia musim kelapan. Selain menyanyi, Shahir juga pernah berjinak-jinak dengan dunia lakonan. Malah dia pernah dinobatkan sebagai Artis Baharu Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2011.
  • Pernah membintangi filem Karak di samping pelakon Kilafairy dan Shera Aiyob dan telefilem Cerciter Cinta di samping pelakon Rozita Che Wan.
  • Kerjaya seninya dilihat tenggelam timbul biarpun diakui mempunyai pakej lengkap bergelar anak seni.
  • Pernah menghilangkan diri selama setahun lebih di arena seni hiburan tempatan, Shahir membuat kemunculan semula di acara Ceria Futsal Mangga/Masgenuine 2013 berlangsung di Sports Planet Ampang pada 5 Oktober 2013.
  • Sepanjang tempoh `kehilangan' itu, Shahir mengakui berat badannya pernah mencecah 79 kilogram. Tidak hairan jika perkara itu terjadi kerana kebarangkalian dia bertambah berat badan boleh berlaku kerana memilih untuk tinggal di kampung halamannya di Kampar, Perak.
  • Tetapi selepas aktif bersukan dan mengawal pemakanan, Shahir berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 11 kilogram dalam tempoh seminggu.

  • Ironinya, pelbagai spekulasi timbul dia menghilangkan diri dari dunia seni kira-kira setahun setengah yang lalu. Kebanyakannya berkisar kepada rajuk penyanyi lelaki ini apabila pelbagai kontroversi dikaitkan dengan dirinya. Daripada cerita kononnya dia tidak lagi diberikan perhatian oleh syarikat pengurusan, sikap Shahir sendiri yang kurang berdisiplin, dirinya terkena buatan orang, membabitkan diri dengan kumpulan keagamaan sehingga cerita dia membawa diri kerana kecewa apabila cintanya dengan pelakon, Rozita Che Wan, tidak kesampaian, semua tersebar apabila dia menghilangkan diri daripada dunia glamor.
  • Tapi Shahir menjawab, dia memilih untuk mengutamakan keluarga pada waktu berkenaan, selain menjalankan perniagaan di kampung halamannya, Perak. Begitupun, jejaka ini enggan mendedahkan jenis perniagaan diusahakannya.
  • Selepas membuat kemunculan kembali, Shahir hilang pula lagi sekali selepas juara Akademi Fantasia 2013 (AF 2013), Faizul Sany mengambil alih tempatnya untuk mendendangkan lagu Dia Yang Kau Pilih pada separuh akhir Muzik-Muzik 2014.
Berita Harian X