Rabu, 17 Jun 2015 | 2:26pm

Orang luar dalang kemelut Hyper Act - Ronnie

KUALA LUMPUR: Bekas vokalis kumpulan Hyper Act, Ronnie Hussein menjelaskan berkata kemelut yang melanda antara ahli kumpulan Hyper Act berpunca daripada campur tangan orang luar.

Ronnie atau nama sebenarnya Shahron Hussien, 34, berkata dia masih berhubung dengan ahli kumpulan itu dan enggan memanjangkan isu itu lagi. Fokus utama Ronnie adalah kerjayanya sebagai penyanyi solo.

"Apa yang boleh saya katakan, perselisihan faham antara kami ini timbul kerana orang luar. Namun, tidak perlulah saya memanjangkan lagi perkara ini kerana semuanya sudah selesai.

"Anggap saja rezeki saya untuk terus bergerak bersama kumpulan Hyper Act sampai situ saja. Tidaklah sampai kami bermasam muka pula.

"Walaupun cara saya dibuang bukanlah dengan cara yang terhormat, namun tiada gunanya memandang kisah lalu dan bermasam muka. Isu ini harus ditangani secara profesional," jelas Ronnie.

Ronnie ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya bertajuk 'Dikoyak Waktu', di Restoran Chuckles, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.

Dia mengakui agak kekok tampil sebagai penyanyi solo namun mengatur langkah menerusi single terbaharunya ciptaan Aepul Drama Band.

"Memang saya sudah biasa menyanyi secara berkumpulan tapi perlahan-lahan saya mengorak langkah sebagai penyanyi solo.

"Lagu ini 'Dikoyak Waktu' mengisahkan percintaan yang dipendamkan seseorang dan bukan cinta kepada kekasih semata-mata sebaliknya boleh ditujukan kepada keluarga," kata Ronnie.

Berita Harian X