Selasa, 16 September 2014 | 10:48am

Pengisian ilmu sambil melancong

PESERTA solat berjemaah di atas dek kapal dalam pelayaran StarCruise Libra.
PESERTA solat berjemaah di atas dek kapal dalam pelayaran StarCruise Libra.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada." (Surah al- Hajj, ayat 46)

Melancong sebenarnya bukan sekadar berhibur, sebaliknya apabila dilakukan berlandaskan syariat agama, kelak memperoleh manfaat dan berkat Allah SWT sekali gus dianggap jihad kecil.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya keluar daripada kepompong mastautin dan bermusafir ke lokasi lain bagi menyelami 'permata tersembunyi' di tempat orang sambil menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT.

IntraTama Travel Consultant & Tours dengan kerjasama Pusat Pendidikan al Barakah buat julung kalinya menganjurkan pelancongan halal Pelayaran UKE 1.0 di atas kapal persiaran mewah StarCruise Libra bersama ikon dakwah, Ustaz Kazim Elias .

Pengisian tazkirah

didik jiwa peserta Pengisian utama program berkenaan iaitu sesi tazkirah bertujuan mendidik jiwa peserta kembali ke jalan diredai Allah SWT dan membimbing menuntut ilmu, perkongsian ibadat mengerjakan solat jamak (himpun) dan qasar (pendekkan) ketika melancong mengikut syariat agama berjaya mencapai matlamatnya.

Ustaz Kazim yang juga pengasas Pusat Pendidikan al Barakah berkata, melancong turut dikelaskan sebagai mencari ilmu dan melancong menerusi kapal mewah yang pertama kali seumpamanya dianjurkan mampu mendidik peserta memahami erti jihad serta menguruskan diri ketika melancong mengikut syariat agama.

"Islam menuntut umatnya mengembara bagi mengagumi kebesaran pencipta. Saya gembira kerana pelancongan halal mendapat sambutan ramai, bahkan ramai yang merungut tidak dapat mengikuti pelayaran berikutan tempat yang terhad.

"Dalam pelayaran ini contohnya, kebanyakan peserta sudah pandai menggunakan kompas menentukan arah kiblat. Keraguan utama pelancong Muslim membabitkan makanan halal ketika mengembara selesai apabila pengurusan kapal dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang menjalankan aktiviti samak satu kapal," katanya mengharapkan kerjasama sedemikian turut dipraktikkan ejen pelancongan lain yang menawarkan pelancongan halal.

Menurut Ustaz Kazim, peluang melancong dalam kelompok ramai iaitu kira-kira 768 peserta termasuk pelancong negara jiran Singapura, membuktikan masyarakat Islam sebenarnya menggemari pelancongan halal, namun, kekurangan sumber.

Katanya, pelancongan halal bermaksud ejen pelancongan menyediakan pakej pelancongan diyakini dalam aspek makanan, kemudahan bersolat, lokasi dilawati serta manfaat pelancongan mendidik jiwa pelancong. Buat pertama kalinya, dek terbuka kapal persiaran mewah, StarCruise Libra dibanjiri lautan manusia mendirikan solat pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak diiringi azan berkumandang membelah keheningan lautan.

Pengalaman menyertai tazkirah dan solat atas dek beramai-ramai, antara pengisian yang berjaya dicapai sepanjang pelayaran apabila peserta bukan saja menimba ilmu di tengah lautan bahkan, mengamati remang senja yang terbaik di tengah lautan samudera.

Aktiviti kekeluargaan

Di samping laungan azan membelah keheningan senja yang berupaya menggamit individu lain menyertai kembara sedemikian, aktiviti kekeluargaan seperti acara suami isteri, makan dalam talam besar dan makan bersama.

Apatah pula, penganjuran programberkenaan sebagai rentetan membuka mata masyarakat lain supaya Islam dipandang mulia dan tinggi darjatnya sekali gus memenuhi matlamat konsep Islam secara meluas.

Episod Pelayaran UKE 1.0 akan disiarkan di Astro Oasis sebanyak empat episod bermula 3 Oktober depan. Pelayaran seterusnya, UKE 2.0 bakal dianjurkan pada 25 hingga 28 Januari, depan. Penyertaan dibuka bermula pertengahan September dengan sasaran 1,000 peserta membabitkan pelayaran kapal mewah yang mengutamakan syariat 100 peratus halal bermula dari Pulau Pinang, diikuti Krabi dan Phuket, Thailand.

Ustaz yang popular dengan program Kalau Dah Jodoh di Astro Oasis itu berkata, beliau berharap pihak pengurusan menyediakan surau khas yang boleh memuatkan jemaah terutama ketika berlaku perubahan cuaca seperti hujan kerana ruang terbuka dek tidak mampu mengatasi masalah berkenaan.

Dakwah boleh

pelbagai cara Pencetus Ummah (PU) , Muhammad Fakhrul Islam Md Zarin, berpendapat penganjuran kembara ilmu adalah peluang keemasan membuka minda masyarakat, iaitu dakwah boleh dilakukan dalam pelbagai cara, tidak bergantung pada kaedah konvensional

saja.

Jelas Ikon Belia Negeri Melaka itu, setiap pendakwah memiliki kelebihan tersendiri seperti pendekatan Ustaz Kazim lebih lembut, santai dan menjurus kepada golongan berusia, manakala cara dakwah beliau adalah menawan orang muda.

Katanya, kaedah menawan orang muda mengikuti program keagamaan adalah menyelami kegiatan anak muda seperti melepak, melancong, meraih kepercayaan generasi Y dengan memakai persalinan moden sealiran zaman serta kemas bagi mengelakkan berlakunya jurang sosial.

"Perlukan masa membawa golongan sebegini ke pangkal jalan, gunakan cara lebih agresif seperti mereka. Ambil berat cara berkawan dengan mereka, ajak melakukan kebaikan secara halus dan jangan pernah mencari salah golongan sebegini, sebaliknya guna pendekatan menasihat. "Dalam pelayaran ini, saya juga masih menuntut ilmu dakwah daripada Ustaz Kazim, belajar pembentukan disiplin, pengisian melancong ke sesuatu tempat dan peluang memberi tazkirah," katanya.

Fokus utama berdakwah dalam kalangan generasi muda adalah mendekati ketua kumpulan orang muda, adakan program santai atau menyediakan bajet bagi golongan berkenaan menuntut ilmu agama. Kebanyakan golongan muda cenderung terikut akan tindakan dilakukan ketua kumpulan mereka, justeru pendakwah perlu terlebih dulu mengubah perangai serta persepsi ketua mereka terhadap Islam.

Salah seorang peserta program yang juga Pengerusi Sidma College, Prof Dr Morni Kambri, berkata lawatan ke satu-satunya sekolah agama di Phuket yang menempatkan kira-kira 2,000 murid sekolah rendah, menengah dan tinggi dalam satu kawasan nyata mengagumkan. "Sambutan pelajar dan pengurusan Muslim Wittaya School di luar jangkaan terhadap kehadiran rombongan peserta program ini.

Apabila ada peserta turut menderma, ia membuka mata dan keyakinan bahawa rezeki milik Allah boleh datang bila-bila masa, di mana saja. "Saya bercadang akan membawa lagi ahli keluarga termasuk isteri, anak, mentua dan ipar duai menyertai pelayaran UKE 2.0, Januari depan. Bahkan, kami lega perjalanan berjalan lancar," katanya bercadang mengadakan madrasah berkonsep seakan pusat pendidikan Al Barakah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X