Rabu, 17 Jun 2015 | 4:52pm
Vanidah Imran bersama suaminya
Vanidah Imran bersama suaminya

Tuhan masih beri saya peluang untuk hidup - Vanidah Imran

KUALA LUMPUR: "Tuhan masih beri saya peluang untuk hidup dan saya memanjat kesyukuran di atas apa yang terjadi," demikian ulas Vanidah Imran kepada BH Online ekoran nahas jalan raya yang menimpanya awal pagi tadi selepas kereta Mini Cooper yang dipandunya tiba-tiba terbakar, dekat Sungai Besi.

Bagaimanapun, pelakon filem Wanita Melayu Terakhir itu memberitahu dia kini memang dalam keadaan baik.

Menceritakan semula kejadian berkenaan, Vanidah memberitahu dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pandan selepas selesai penggambaran drama Rekah untuk siaran Aidilfitri nanti.

"Ketika kejadian saya cuba untuk tidak panik. Cuma saya tidak menyedari rupa-rupanya ada keluar asap dari bahagian enjin. Hinggalah ada pemandu trak yang memberitahu perkara berkenaan. Apabila saya masuk di kawasan bercahaya baharu nampak apa yang dimaksudkannya dan api mula kelihatan.

"Saya terus memandu kereta ke kiri jalan. Cuma semasa menekan brek tangan, ia seperti tidak berfungsi sepenuhnya. Saya terpaksa merentap brek tangan. Tanpa melengahkan masa, saya capai beg tangan dan cabut telefon daripada pengecaj dan lari ke sisi kereta. "Tapi saya disuruh orang yang menyaksikan kejadian itu untuk lari lebih jauh daripada kereta kerana bimbang akan berlaku letupan," kata Vanidah sambil memberitahu pihak bomba menjelaskan kereta itu tidak akan meletup sebaliknya hanya akan terbakar.

Menurut Vanidah, dia sendiri berasa pelik kenapa kejadian itu boleh terjadi kerana sebelum itu tidak pernah ada petanda menunjukkan kereta dalam keadaan teruk.

"Tapi saya percaya, kalau benda sudah nak jadi, kita tak mampu nak melawannya. Cuma ketika kejadian, saya tak bau langsung asap atau kereta mula menunjukkan isyarat ada kebakaran. Malahan kebocoran pun tak berlaku dan minyak hitam kereta saya juga dalam keadaan baik. Selalunya kalau ada kebocoran minyak hitam, kita pasti akan nampak tompokannya di lantai rumah.

"Punca kejadian memang masih dikenalpasti. Pihak bomba pun belum mengesahkan apa-apa kerana ia masih dalam siasatan pihak forensik. Cuma ada beberapa kemungkinan yang mendorong berlakunya kejadian itu yang berkait rapat soal wayar hingga menyebabkan angin boleh menyemarakkan api yang kecil menjadi besar dan masalah kebocoran minyak hitam," katanya.

Dalam pada itu, Vanidah mahu berterima kasih kepada pihak bomba, polis trafik, PLUS Malaysia Berhad (PMB) dan pengguna jalan raya yang kebetulan berada di tempat kejadian atas kerjasama yang diberikan.

"Paling utama saya nak ucapkan terima kasih dari hati yang tulus kepada pemandu trak yang memaklumkan awal mengenai asap yang keluar dari enjin kereta. Dia lelaki Melayu. Cuma saya tak sempat tanya nama dan berjumpanya untuk ucapkan terima kasih secara berdepan. Terima kasih atas usaha gigihnya untuk patah balik menuju ke kereta saya kerana kami memandu di arah jalan yang bertentangan.

"Tak lupa juga ada penunggang motosikal yang membantu saya membuat panggilan kecemasan kepada pihak bomba," katanya.

Vanidah turut mengucapkan selamat tinggal kepada keretanya yang hangus terbakar.

"Kereta itu banyak berjasa kepada saya. Saya sudah menggunakannya sejak hampir lapan tahun. Sebelum ini memang, ia jarang meragam. Sedih juga tapi bukan rezeki saya. Ini semua harta dunia," katanya.

Kereta itu dimenangi ketika beliau dan suami (Rashidi Ishak) menjuarai pertandingan Sehati Berdansa musim pertama yang disiarkan stesen Astro pada tahun 2007.

Berita Harian X