Khamis, 18 Jun 2015 | 12:01am

Bersengkang mata mengelau

MOHD Saad menunjukkan cara memancing haruan menggunakan kaedah kelau. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MOHD Saad menunjukkan cara memancing haruan menggunakan kaedah kelau. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

PERKATAAN casting sudah tidak asing bagi kaki pancing, namun di sesetengah kawasan seperti daerah Kerian, perkataan 'kelau' lebih popular.

Kelau merujuk pada peralatan pancing yang hanya menggunakan buluh, tangsi dan kail untuk menangkap ikan. Bagaimanapun, kelau hanya digunakan pada waktu malam dan hanya untuk menangkap ikan haruan.

Bagi dua sahabat di Kampung Parit Mat Ali, Kuala Kurau, dekat Parit Buntar, Perak, aktiviti mengelau haruan sering dilakukan selepas selesai musim menuai padi kerana ia waktu kemuncak menangkap spesies ikan air tawar yang agresif ini.

MOHD Saad Saidin, 42. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MOHD Saad Saidin, 42. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Mohd Saad Saidin, 42, berkata beliau bersama Mohd Fadhil Maslan, 28, akan mencari buluh panjang yang lurus untuk dijadikan joran memancing haruan bagi menambah pendapatan selepas musim menuai.

"Walaupun cara pembuatan kelau mudah, kaedah pengendaliannya yang memerlukan kekuatan tangan ditambah pula ia hanya digunakan pada waktu malam menyebabkan tidak ramai yang mahu melakukan aktiviti ini.

MOHD Saad tersenyum ketika berjaya menaikkan ikan haruan. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MOHD Saad tersenyum ketika berjaya menaikkan ikan haruan. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

"Dengan hanya mencangkuk katak sebagai umpan pada mata kail, pemancing perlu menyeretnya sambil berjalan dengan perlahan-lahan di tebing parit tanpa menggunakan sebarang bantuan cahaya lampu bagi mengelak ikan haruan 'terkejut' dan perasan dengan kehadiran manusia.

"Apabila haruan mula memakan umpan, pemancing perlu membiarkannya seketika sebelum menyentapnya," katanya.

MOHD Fadhil Maslan, 28. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MOHD Fadhil Maslan, 28. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Sementara itu, Mohd Fadhil berkata, aktiviti mengelau kebiasaannya dilakukan sekitar jam 9 malam sehingga Subuh.

Beliau mengakui tidak kisah perlu bersengkang mata kerana harga jualan haruan di pasaran mencecah RM20 bagi satu kilogram (kg).

"Jika pancing menjadi, kami mampu memperoleh lebih 20 kg sekali keluar dan harga kami jual kepada pemborong sekitar RM10 hingga RM15 sekilogram," katanya.

MOHD Saad (kiri) dan Mohd Fadhil ketika memasukkan hasil tangkapan ke dalam bekas. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MOHD Saad (kiri) dan Mohd Fadhil ketika memasukkan hasil tangkapan ke dalam bekas. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Beliau mengakui mengelau pada waktu tengah malam dan awal pagi berdepan banyak risiko seperti serangan nyamuk serta sering kali terserempak dengan haiwan berbisa dan bahaya seperti ular dan babi hutan.

"Aspek keselamatan sering diutamakan dan kami akan menyediakan lampu suluh, memakai kasut getah tinggi dan menyelitkan pisau pada pinggang kerana bimbang diserang babi hutan," katanya.

Berita Harian X