Khamis, 18 Jun 2015 | 12:10am

Tengkorak musuh bukti kegagahan Pahlawan Monsopiad

EMPAT puluh dua tengkorak tersusun rapi dalam rumah di Kampung Budaya Monsopiad, di Penampang, di sini, menyimpan misteri tersendiri yang pasti mengundang perasaan ingin tahu pengunjung pusat pelancongan itu.

Dianggarkan berusia lebih 300 tahun, tengkorak tergantung di siling rumah itu dikaitkan dengan kisah pahlawan Kadazan dikenali Monsopiad, yang disifatkan sebagai seorang yang amat gagah, selain digeruni dengan keberanian memenggal kepala musuh.

TENGKORAK yang dianggarkan berusia lebih 300 tahun tergantung di siling rumah di Kampung Budaya Monsopiad. - Foto Edmund Samunting

Terletak di Kampung Kuai Kandazon, kira-kira enam kilometer dari pekan Donggongon atau 15 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, ia menjadi bukti kewujudan amalan memburu kepala oleh masyarakat pribumi Sabah, termasuk kaum Kadazan suatu ketika dulu.

Sebanyak 42 tengkorak yang disimpan dalam rumah khas dipanggil pondok tengkorak di kampung budaya itu dikatakan adalah hasil 'buah tangan' diperoleh Monsopiad ketika memerangi musuh dan penceroboh kampungnya, termasuk orang yang datang untuk mencabarnya.

EMPAT puluh dua tengkorak yang disimpan dalam pondok tengkorak di Kampung Budaya Monsopiad dikatakan hasil `buah tangan' diperoleh Monsopiad ketika memerangi musuh. - Foto Edmund Samunting

Jumlah tengkorak dimiliki Monsopiad dikatakan paling banyak berbanding beberapa pemburu kepala lain di daerah ini, termasuk pencabar terdekatnya dikenali sebagai Gantang dari Kampung Minintod.

Gantang dikatakan turut memiliki sejumlah tengkorak tetapi dia sendiri tumpas di tangan Monsopiad dan kepalanya adalah antara koleksi disimpan Monsopiad sebelum diambil waris keluarga Gantang dan diserahkan kepada muzium negeri.

Selain sebagai koleksi bagi menunjukkan kehandalan dan kepahlawanan, tengkorak terbabit dikatakan menyimpan 'semangat' yang memberi kesaktian atau kekuatan luar biasa kepada pemiliknya, selain pelindung keluarga serta keturunan.

Sehingga kini, meskipun berusia ratusan tahun, semangat itu dipercayai masih wujud dan sesiapa yang ingin melihat tengkorak terbabit perlu mematuhi pantang larang bagi mengelak kemarahan semangatnya.

LEANECIUS menunjukkan 42 tengkorak yang membuktikan kehandalan dan kepahlawanan Monsopiad. - Foto Edmund Samunting

Kakitangan Kampung Budaya Monsopiad, Leanecius Imin, berkata langkah pertama perlu dilakukan sebelum memasuki rumah menyimpan tengkorak terbabit ialah menyebut ungkapan bahasa Kadazan, 'siou do mohoing', yang bermaksud meminta maaf kepada nenek moyang.

"Sebelum masuk, pengunjung dinasihatkan tidak menyimpan niat jahat kerana bimbang semangat tengkorak marah dan berlaku perkara tidak diingini seperti dirasuk. Malah, kakitangan di sini tidak berani masuk sesuka hati. Waktu malam tempat ini memang menyeramkan dan tiada sesiapa berani memasukinya. Ada yang pernah ternampak kelibat lembaga menyerupai manusia turun dari rumah ini, dipercayai semangat yang tersimpan di sini," katanya.

Di dalam rumah itu, selain tengkorak, beberapa barangan lama seperti tempayan, pedang dan aksesori bobohizan atau bomoh wanita Kadazandusun, gambar dan artikel berkaitan ritual penjagaan tengkorak turut dipamerkan sebagai maklumat tambahan buat pengunjung.

Tengkorak yang disimpan di rumah itu dikatakan dijaga rapi sebagai warisan keluarga Monsopiad dan menjalani proses ritual penjagaan dikendalikan Bobohizan sejak lebih 300 tahun, namun ia dihentikan sejak kira-kira 10 tahun lalu berikutan ketiadaan Bobohizan.

Kini, kisah Monsopiad menjadi produk tarikan pelancong, termasuk pengkaji budaya dan sejarah etnik tempatan Sabah, khususnya yang berminat menyusuri lebih lanjut amalan pemburu kepala dalam kalangan masyarakat Kadazan di Penampang. Kampung Budaya Monsopiad yang terletak berhampiran tebing Sungai Moyog dikatakan tapak asal kediaman Monsopiad, yang kini diwarisi keturunan pahlawan berkenaan.

Pengarah Urusan Kampung Budaya Monsopiad, Nadia Aima Holland, berkata tapak berkenaan menyimpan memori zaman silam yang penting kepada keturunan Monsopiad, selain menjadi bukti sejarah kewujudan pemburu kepala di Sabah.

Jumlah tengkorak dimiliki Monsopiad dikatakan paling banyak berbanding beberapa pemburu kepala lain. - Foto Edmund Samunting

Tapak peninggalan Monsopiad turut dianggap keramat kerana menempatkan sebiji batu monolit besar, dianggarkan seberat dua tan dan berketinggian empat meter dikenali sebagai `Gintutun Do Mohoing'. Ia dipercayai menjadi `penjaga' tempat berkenaan.

Di keliling batu itu, terpacak beberapa batang buluh yang hujungnya berbentuk seperti sarang ayam bertelur dipanggil `bangkahak', dipercayai tempat Monsopiad mengeringkan kepala musuh yang dipenggalnya.

Nadia yang juga antara waris keturunan Monsopiad berkata, walaupun disanjung sebagai pahlawan, Monsopiad dilihat menjadi ancaman kepada keselamatan penduduk kampung kerana `kegilaannya' memburu kepala walaupun tiada lagi musuh menceroboh.

"Ketika berada di kemuncaknya apabila menjadi orang yang digeruni pada masa itu, penduduk bimbang dia tidak dapat mengawal keinginannya untuk memenggal lebih banyak kepala apabila mula mencabar orang di sekeliling berlawan.

"Berikutan itu, penduduk kampung merancang membunuhnya dan pada satu ketika mendapat kesempatan tetapi Monsopiad hanya mengalami kecederaan kerana terkena buluh. Bagaimanapun, dia akhirnya mati apabila kecederaan itu gagal disembuhkan," katanya.

Sejak itu, kisah Monsopiad sebagai pemburu kepala paling digeruni di Penampang terus menjadi bualan penduduk dan diwarisi hingga ke hari ini.

 

INFO: Monsopiad Pahlawan Kadazan

  • Pemburu kepala digeruni di Penampang lebih tiga abad lalu.
  • Memenggal 42 kepala dan tengkorak kepala yang dipenggal itu masih disimpan hingga ke hari ini.
  • Dipercayai memiliki kekuatan luar biasa yang membolehkannya menewaskan ramai musuh dan memenggal kepala mereka.
  • Menjadikan kepala manusia sebagai `trofi' atau bukti kejayaan ketika menggempur musuh.
  • Kepalanya turut menjadi perhatian pemburu kepala lain dalam persaingan menjadi pahlawan terkenal.
  • Kampung Budaya Monsopiad yang dibuka sejak 1996 di Kuai Kandazon dibina bagi memperingati Monsopiad.
Berita Harian X