Khamis, 18 Jun 2015 | 3:10pm

Bicara kes saman Marina terhadap Zizan 10 Ogos

GAMBAR fail, Zizan bersama bekas pengurus peribadinya, Marina Juki.
GAMBAR fail, Zizan bersama bekas pengurus peribadinya, Marina Juki.

KUALA LUMPUR: Kes saman terhadap pelawak dan pelakon, Zizan Razak yang difailkan bekas pengurus peribadinya, Marina Juki berhubung pelanggaran kontrak perjanjian akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Sivil di sini bermula 10 Ogos ini.

Peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman, yang mewakili Marina ketika ditemui pemberita hari ini berkata Hakim Hassan Abdul Ghani menetapkan 10, 11 dan 13 Ogos untuk perbicaraan, ketika kes berkenaan disebut di hadapannya pada 26 Mei lepas.

Peguam itu berkata, mahkamah juga menetapkan 3 Ogos untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman itu memfailkan pernyataan saksi.

Pada 5 November tahun lepas, Marina, 31, selaku plaintif memfailkan saman terhadap Zizan, 31, atau nama sebenarnya Mohd Razizan Ab Razak atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian yang ditandatangani antara pelawak itu, syarikat Wire Fame dan plaintif (Marina) pada 3 Mei 2011.

Dalam pernyataan tuntutannya, Marina berkata Zizan telah melantiknya (Marina) sebagai pengurus peribadi dan melalui perjanjian itu juga, Marina mendakwa beliau berhak mendapat 15 peratus daripada jumlah pendapatan Zizan selama empat tahun yang akan berakhir pada 2 Mei 2015.

Bagaimanapun, Marina berkata pada Mei 2014, pihak Astro telah mengesahkan Zizan kini berada di bawah pengurusan Astro dengan kontrak bernilai RM2,000,000 tanpa persetujuan syarikat Wire Fame dan plaintif.

Wanita itu mendakwa Zizan telah melanggar perjanjian kerana perpindahannya ke Astro dilakukan sebelum tamat tempoh kontrak dengan plaintif dan syarikat Wire Fame.

Marina mendakwa akibat pelanggaran perjanjian itu, beliau menanggung kerugian teruk, oleh itu beliau memohon ganti rugi khas sebanyak RM535,500, ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

- BERNAMA

Berita Harian X