Khamis, 18 Jun 2015 | 3:44pm
DEWAN Filharmonik PETRONAS (DFP).
DEWAN Filharmonik PETRONAS (DFP).

Persembahan menarik di DFP mulai Ogos

KUALA LUMPUR: Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) akan menampilkan musim konsert ke-18 pada bulan Ogos ini dengan menjanjikan muzik ekstravaganza melalui persembahan karya agung dan variasi genre muzik oleh artis terkemuka.

Masih hangat dengan kejayaan konsert 'tribute' untuk kumpulan Led Zeppelin pada musim yang lalu, MPO kembali dengan sebuah lagi konsert 'tribute' kali ini untuk kumpulan rock dari Britain, Queen, pada Ogos 2015. Ia adalah sebuah kumpulan yang bertahan selama 45 tahun.

Untuk julung kalinya, MPO akan berkongsi pentas dengan National Symphony Orchestra (NSO) juga pada Ogos nanti. Konsert yang bakal dipimpin oleh Mustafa Fuzer Nawi (NSO) dan Ciaran McAuley (MPO) bakal menjanjikan kolaborasi menarik dari dua orkestra terbaik negara.

Antara tarikan utama musim konsert kali ini ialah persembahan spektakular berinspirasikan sarkas oleh MPO yang bertemakan Cirque de la Symphonie.

Pada musim ini, DFP akan bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) bagi mempersembahkan sebuah konsert tradisional bertemakan Selasihku Sayang pada September 2015.

Konsert ini bakal menampilkan artis generasi lama dan baharu dalam genre muzik asli seperti Datuk Andre Goh, Aspalela Abdullah, Asmidar Ahmad dan Dayang Nurfaizah.

Dikenali dengan persembahan yang cukup bertenaga, penyanyi tempatan Faizal Tahir juga bakal menghiburkan peminat dalam sebuah konsert pada November 2015.

Penyanyi dan komposer yang terkenal dengan lagu Sampai Syurga itu salah seorang artis muda yang berjaya. Beliau pernah menggondol banyak anugerah di majlis anugerah berprestij dan mempunyai senarai lagu-lagu hits.

Tidak ketinggalan persembahan artis hebat dan koreografi profesional mengiringi muzik klasikal dan moden.

Seterusnya Festival Balet pada Januari 2016 menampilkan Stars of the Moscow Ballet. Penari hebat ini akan mengiringi karya agung seperti Romeo & Juliet (ciptaan Prokofiev) dan Giselle (ciptaan Adam). Sebelum ini, kumpulan ini pernah mengagumkan khalayak di DFP pada tahun 2013 dengan tarian yang menakjubkan.

Sementara itu, pada Januari 2016 pula akan menyaksikan MPO merayakan ulang tahun muzik Beethoven yang ke-260 tahun melalui kolaborasi dengan Aga Mikolaj (soprano), Jennifer Johnston (mezzo-soprano), Benjamin Hulett (tenor) dan Paulo Szot (baritone). Selain itu, MPO terus menghidangkan variasi konsert inovatif bertemakan 'Pops' sepanjang musim baru ini.

Turut tersenarai ialah konsert dari pemenang Grammy, penyanyi jazz dan pemain piano Diana Krall pada Februari 2016.

Bakat beliau yang unik melangkaui semua genre muzik. Konsert ini merupakan sebahagian dari siri jelajah Wallflower World Tour untuk mempromosikan album terbaharu beliau.

Menyusul selepas itu ialah persembahan runut bunyi mengiringi tayangan penuh filem Disney Pixar's Ratatouille yang pernah memenangi Anugerah Oscar, pada Mac 2016. Sebelum itu, pentas berprestij ini lebih dahulu akan menyajikan konsert bertemakan Star Wars And Beyond pada Disember 2015. Ia semestinya harus ditonton bagi penggemar kartun Disney dan Star Wars.

Tak hanya di situ, MPO bakal meneruskan legasi muzik pop tempatan melalui kolaborasi bersama artis tempatan.

Kali ini bersama penyanyi Zainal Abidin pada Mei 2016. Konsert ini bakal membawa peminat menyusuri perjalanan seni beliau selama 35 tahun melalui lagu popular yang diberi interpretasi baru oleh MPO.

Pemain saksofon superstar Branford Marsalis bakal berkolaborasi sekali lagi dengan MPO dalam konsert akhir musim ini pada Jun 2016. Kali terakhir mereka beraksi bersama ialah pada tahun 2006 yang mendapat pujian ramai.

Musim konsert ini bakal menyaksikan persembahan pertama MPO bersama artis- klasikal tersohor seperti pemain violin Augustin Hadelich, pemain piano Conrad Tao, pemain trumpet Pacho Flores dan konduktor Neeme Järvi, Roberto Abbado, Giancarlo Guerrero dan Federico Cortese.

Dalam pada itu, konduktor muzik ternama seperti Arnie Roth, Kazuyoshi Akiyama, Carlos Kalmar and pemenang anugerah Grammy Fabio Luisi, pemain organ Wayne Marshall, pemain cello Daniel Müller-Schott, pemain piano Beatrica Rana, Tengku Irfan dan Jean-Yves Thibaudet, akan kembali ke pentas DFP untuk mempersonakan penonton dengan bakat seni unggul mereka.

Pada musim konsert ini, pihak DFP turut mengalu-alukan InterContinental Kuala Lumpur dan Wardrobe (Master Craftmanship Tailoring) sebagai rakan penaja kami.

Pelancaran pakej konsert untuk pelanggan tetap DFP/MPO ialah pada Sabtu, 27 Jun depan manakala penjualan tiket 'single' akan bermula pada Sabtu, 11 Julai 2015.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Box Office di talian 03-23317007 atau faks 03-23317077 atau email [email protected]. Sila dapatkan brosur musim konsert terbaru kami di Box Office atau layari laman web www.mpo.com.my untuk memuat-turun brosur.

Berita Harian X