Sabtu, 20 Jun 2015 | 8:33am

Puasa bukan alasan malas kerja

Kelmarin, Khamis 18 Jun umat Islam mula puasa. Kunta Kinte ucap selamat berpuasa dan minta izin kepada pengarang kita nak ubah ejaan Ramadan balik jadi Ramadhan. Minta maaflah kalau bunyi remeh, tapi Kunta Kinte rasa Ramadhan lebih tepat dari segi bunyi daripada Ramadan. Dulu kita memang eja Ramadhan. Ini adalah masalah bila kita kongsi istilah dengan Indonesia dan Brunei. Kadang-kadang ejaan dan sebutan yang kita guna turun temurun dan betul diubah pasal nak ikut Indonesia atau Brunei.

Ramadhan daripada bahasa Arab dan dieja guna abjad Arab. Kita guna pakai dan kita kata Jawi. Ikut ejaan Jawi, bunyinya Ramadhan bukan Ramadan. Minta maaflah kalau Kunta Kinte kata, Ramadan bunyi macam sebutan orang Jawa. Syawal betul pula. Nasib baik tak dieja sawal.

Soal bahasa ini pun boleh buat kita pening, bingung dan sasau. Itu belum lagi bahas cadangan setengah orang nak ganti bahasa Melayu dengan Inggeris sebagai bahasa pengantar. Balik kepada puasa Ramadhan, kita di Malaysia ni senang. Waktu kita puasa boleh kata sama pasal panjang malam dan siang tak berubah. Kalau berubah pun dua tiga minit saja. Kunta Kinte ambil contoh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini, Jumaat 19 Jun. Waktu imsak 5.31 pagi dan waktu Maghrib 7.26 petang. Hujung Ramadhan nanti, imsak 5.38 pagi dan buka 7.30 petang. Jadi waktu puasa dalam 14 jam. Itu pun ada yang bersungut. Di Makkah, waktu puasa antara jam 5.38 pagi dan 7.05 petang.

Tempoh puasa berbeza

Sekarang musim bunga di hemisfera utara. Siang panjang, malam pendek. Anak Kunta Kinte di Switzerland bagi tahu, waktu puasa dari 5.30 pagi sampai 9.30 malam, selama 16 jam. Di Norway, kalau musim panas pukul 10 malam baru masuk Maghrib. Pukul 3 pagi dah Subuh. Jadi waktu puasa 20 jam atau lebih. Tapi orang Islam di hemisfera selatan macam di Australia dan New Zealand puasa mereka pendek. Kalau di Sydney, Australia, dari pukul 7 pagi sampai 4.45 petang dan di Wellington, New Zealand dari pukul 7.45 pagi sampai 4.58 petang, dalam sembilan jam. Kalau di kutub pula, ada hari dalam musim panas matahari di langit 24 jam dan pada musim sejuk pula matahari tak terbit langsung.

Sekarang ni ramai orang Islam, termasuklah orang kita, berjalan jauh. Tentulah dengan kapal terbang. Kalau kita terbang dari Timur ke Barat, hari kita jadi panjang sebab kita kejar matahari turun. Tapi kalau kita terbang dari Barat ke Timur, hari kita pendek sebab kita menuju ke arah matahari naik. Waktu datuk dan nenek Kunta Kinte pergi Makkah pada akhir tahun 1940-an, mereka naik kapal laut. Berbulan-bulan di laut pergi balik. Mereka makan biskut yang mereka panggil roti kapal atau dalam loghat Utara, roti kapai.

Waktu itu jarang orang kampung guna jam dan tak ramai ada radio. Jadi kita bergantung pada gendang raya masjid. Bila hujan dan guruh, tak dengar. Jadi kita agak-agak bila masuk Maghrib dan buka puasa. Nenek Kunta Kinte sangat teliti dengan waktu berbuka. Kalau tak dengar gendang raya, dia ikut bunyi burung tukang atau dalam loghat Utara, kita kata burung malas. Selagi burung tukang tak berbunyi, kami tak buka puasa dan bila ayam berkokok sebelah pagi, kita berhenti sahur. Dulu seksa nak siapkan sahur sebab guna dapur kayu. Ambil masa tak macam dapur gas dan elektrik sekarang.

Dalami ilmu agama, sains

Inilah keajaiban alam ciptaan Ilahi dan nostalgia masa lampau yang kadang-kadang kita tak ambil peduli sebab ia tak sentuh kehidupan kita atau kerana kita tak berminat nak dalami ilmu. Kekayaan ciptaan Allah ini akan kita fahami, hargai dan manfaatkan hanyalah dengan kita mendalami ilmu agama dan sains. Tuhan cipta alam semesta dan Tuhan suruh kita kaji supaya kita faham keagungannya.

Satu hal lagi. Puasa bukan bermakna tak payah kerja kuat atau kerja sambil lewa saja. Allah Taala tak suruh macam itu. Letih tu adalah. Tapi Kunta Kinte rasa lebih banyak orang mati kerana terlebih makan daripada kerana letih berpuasa. Kita selalu dengar khatib kata, kerja yang baik dengan niat yang baik adalah sebahagian daripada ibadat. Bila orang Islam taksub dengan cuti hujung minggu atau mana-mana jenis cuti, Kunta Kinte selalu kata, dalam Islam tak ada konsep cuti. Sebaliknya, dalam Islam kita disuruh solat dan cari kejayaan. Konsep cuti atau tak boleh kerja pada hari-hari tertentu bukan konsep Islam. Ia adalah amalan Yahudi yang mereka panggil 'sabbath'.

Jadi kita kenalah faham apa yang kita buat. Kunta Kinte tak kata tak boleh cuti atau tak boleh rehat. Boleh. Tapi kita kena faham bahawa bekerja dengan tekun dan dengan niat yang baik adalah ibadah. Malah Kunta Kinte dapati kerja pada bulan puasa lebih tenang sebab kita tak fikir makan dan benda bukan-bukan.

Satu lagi, mintalah kepada jawatankuasa masjid dan surau. Tolonglah fikir masalah orang tua dan wanita. Kita sembahyang jemaah dan kita buat sunat tarawih macam dulu-dululah. Janganlah berlumba-lumba nak habiskan Quran sampai orang tua tak larat dan orang perempuan susah nak ke masjid dan surau sebab habis lewat sangat. Kita utamakanlah tarawih. Nak khatam Quran boleh, tapi buat masa lain. Berat sikitlah bila guna sembahyang tarawih. Kunta Kinte minta banyak-banyak ampun. Wallahuaklam.

E-mel ke [email protected] untuk berkongsi pendapat anda

Berita Harian X