Ahad, 21 Jun 2015 | 12:11am

Benarkah sekolah pondok kelas ketiga?

INSTITUSI sekolah pondok sering kali dilihat sebagai 'pelan b' atau jalan terakhir bagi segelintir ibu bapa yang berhadapan masalah dan menemui jalan buntu dalam mendidik anak-anak.

Sekolah pondok dianggap tempat paling sesuai untuk membentuk anak yang degil dan bermasalah selain tidak cemerlang dalam akademik. Lebih baik, jika anak yang dihantar ke sini dapat menjadi ustaz atau ustazah pada akhirnya.

Pengetua Pondok Penanti, Mansur Manni, berkata biarpun murid di sekolah pondok dilabelkan sebagai 'kelas ketiga', guru di sekolah itu menerima setiap pelajar dengan hati terbuka.


PENGETUA Pondok Penanti, Mansur Manni. - Foto Amir Irsyad Omar

Mansur berkata, tugas mencurahkan ilmu dilaksana tanpa mendiskriminasi latar belakang dan sejarah silam pelajar, setiap seorang mendapat peluang yang sama dengan yang lain.

"Bagi mereka yang memerlukan perhatian yang lebih, walaupun tumpuan sepenuhnya tidak dapat diberi berikutan kekangan yang timbul disebabkan jumlah kakitangan yang tidak mencukupi, setiap pelajar diajar mengikut kemampuan masing-masing.

"Kebiasaannya, jika seorang pelajar tidak lepas tahap yang ditetapkan, dia terpaksa mengulangi semula pengajiannya sampai lulus," katanya.


SEBAHAGIAN pelajar tahfiz sedang mengikuti kelas hafazan al-Quran. - Foto Amir Irsyad Omar

Antara cabaran yang dihadapi tenaga pengajar di sini ialah masalah disiplin dalam kalangan pelajar yang sukar mendengar kata, namun ia adalah lumrah di setiap sekolah berasrama. Malah, katanya, ada pelajar yang dihantar ke sekolah pondok itu terdiri daripada pelajar lembam. Pelajar ini hanya mampu mengingat satu huruf sehari dan lupa pada keesokan harinya, namun itu sama sekali tidak mematahkan semangat pengajar untuk mencurahkan ilmu.

"Kebiasaannya pelajar yang agak susah menerima pelajaran yang diajar adalah mereka yang dipaksa keluarga untuk belajar di sini. Pelajar mempunyai niat yang ikhlas untuk mendalami ilmu agama, kebiasaannya walaupun dilabel pelajar 'kelas ketiga' mereka tetap berjaya dengan cemerlang di sekolah pondok ini.

"Sebagai ustaz, kita hanya berusaha dan selebihnya adalah kehendak Allah. Jadi, jika mereka sentiasa mempunyai niat yang ikhlas untuk mendalami agama, insya-Allah urusan mereka dipermudahkan. Orang yang hatinya ikhlas dan mempunyai kehendak untuk membaca al-Quran akan lebih mudah untuk menghafaz ayat suci," katanya.


RAKAN turut membantu menyemak bacaan hafazan. - Foto Amir Irsyad Omar

Beliau berkata, ulama juga mengakui perkara itu dan menjelaskan perkara pertama yang perlu dilakukan oleh mereka yang mahu menghafal al-Quran adalah niatnya.

"Saya sudah menjadi tenaga pengajar di madrasah ini selama 26 tahun dan sepanjang pengalaman saya sebagai ustaz di sekolah pondok ini, saya selalu menasihatkan murid dan pelajar supaya ikhlas membaca ayat suci kerana ia kunci untuk menjadi seorang ahli tahfiz.  

 

"Selalunya, saya dapat menilai murid dan pelajar yang datang secara suka rela ke sekolah ini atau dipaksa untuk belajar di sini dengan melihat pada prestasi mereka membaca al-Quran. Bagi mereka yang benar-benar mahu belajar mereka akan lebih mudah 'dapat' walaupun pada awalnya hanya mengenal huruf alif, ba dan ta.

"Saya akui pemakanan juga penting untuk seorang tahfiz, namun disebabkan kita tidak berkeupayaan untuk menyediakan pemakanan seperti disarankan, kita berbalik kepada ajaran Islam iaitu makan makanan yang halal dan baik. Selebihnya adalah usaha dan bertawakal kepada Allah," katanya.

Menceritakan mengenai pengajian tahfiz di pondok itu, Mansur berkata setiap pelajar melalui rutin pembelajaran yang ditetapkan bagi memastikan mereka lebih berdisiplin dan mudah menghafaz al-Quran.

"Rutin mereka adalah bangun tidur seawal jam 5 pagi sebelum menyiapkan diri dan berhimpun di surau untuk solat Subuh berjemaah. Selepas solat, mereka akan mengaji al-Quran sehingga jam 8 pagi sebelum berhenti makan sehingga 9 pagi.

"Kemudian mereka akan kembali ke kelas untuk menghafaz al-Quran selain belajar ilmu tauhid, fekah, khat dan jawi sehingga jam 11 pagi. Mereka akan tidur sebentar dari jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari. Rutin tidur selama satu jam ini adalah wajib kerana kita mahu mereka berehat supaya dapat beri tumpuan selepas waktu Zuhur," katanya.


ASRAMA pelajar tahfiz yang berusia 16 hingga 50 tahun. - Foto Amir Irsyad Omar

Pengajian diteruskan sehingga jam 4 sebelum berhenti solat Asar dan disambung semula selepas Maghrib sehingga jam 10 malam. Semua pelajar perlu tidur pada jam 11 malam.

 

Pada peringkat awal, pelajar menghafaz satu juzuk untuk sehari, sebelum dinaikkan kepada dua juzuk dan seterusnya. Kebiasaannya, seorang pelajar mampu menghafaz seluruh al-Quran selepas empat tahun mengaji di sekolah pondok itu, namun ada pelajar yang cemerlang mampu melakukannya dalam tempoh dua tahun.

"Keupayaan pelajar ini bergantung kepada kehendaknya dan kemampuannya. Apabila sudah mampu menghafaz 30 juzuk mereka perlu mengambil ujian, yang mana setiap pelajar tahfiz tidak boleh melakukan lebih daripada 12 kesalahan dalam 30 juzuk bacaannya," katanya sambil menambah pelajar yang melakukan lebih daripada 12 kesalahan dianggap gagal dan perlu mengulangi semula proses hafazan. 

Mansur yang juga bekas pelajar tahfiz di sekolah pondok itu berkata, anaknya juga dihantar ke pusat tahfiz berkenaan ketika berusia enam tahun dan menjelaskan semua anaknya mampu membaca al-Quran sejak berusia empat tahun.

 

"Selepas menjadi ahli tahfiz, mereka perlu kerap membaca al-Quran kerana sekiranya lama ditinggalkan mereka akan lupa dan kerana itu, al-Quran dan seorang ahli tahfiz tidak boleh berpisah," katanya.

Sehingga kini, walaupun ada yang berpandangan pelajar sekolah pondok 'tidak ke mana', ternyata andaian itu salah kerana kebanyakan pelajar lepasan pondok berjaya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi hingga ke universiti tertua dunia iaitu Al-Azhar di Mesir.

 


MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. - Foto Shakrul Faiz Shabani

Pondok Penanti turut menyumbang dan melahirkan ramai tokoh ilmuwan agama, antaranya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria Khamis dan penceramah bebas, Ustaz Datuk Mohd Najmuddin Elias.

"Ketika ini, kami cuba untuk mengumpulkan semula bekas pelajar yang pernah menuntut di Pondok Penanti bagi memperkukuhkan lagi institut ini. Sumbangan alumni mampu menambah baik sistem pendidikan di Pondok Penanti dan setakat ini, kita mempunyai seramai 300 ahli alumni berdaftar," katanya.

Berita Harian X