Selasa, 23 Jun 2015 | 12:06am
ABIL berpeluang untuk bekerja dan bercuti bagi menjayakan program Awak Kat Mana. - Foto Aziah Azmee
PROGRAM Awak Kat Mana membolehkan Abil menjadi diri sendiri kerana dialog yang digunakan adalah secara spontan. - Foto Aziah Azmee

Nabila Huda seronok jadi pengacara pula


NABILA Huda Suhaimi sudah lama menyimpan minat untuk menceburi bidang pengacaraan. Aktres yang mesra dengan sapaan Abil itu sudah lama menantikan tawaran untuk mengacarakan program yang sebati dengan karakter dan jiwanya yang sempoi.

Bakat dalam bidang lakonan anak kepada penyanyi rock terkenal, Amy Search itu tidak dapat disangkal lagi. Namun, beliau mengakui bidang lakonan dan pengacaraan adalah dua cabang yang begitu berbeza sekali.

"Sudah lama sebenarnya saya menantikan peluang sebegini. Saya pun pelik kenapa tiada pihak yang ingin menawarkan kepada saya menjadi pengacara untuk program mereka.

AKTRES, Nabila Huda Suhaimi atau Abil. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Ada juga saya dijemput untuk menjadi pengacara undangan untuk program Melodi. Tetapi kali ini saya dipilih menjadi pengacara bagi sebuah program di sebuah stesen televisyen tempatan. Ibarat bulan jatuh ke riba.

"Saya amat teruja menantikan program yang bakal bersiaran Ogos ini nanti kerana buat pertama kalinya, saya bergelar pengacara. Program ini juga sesuai dengan jiwa saya, saya mengacara dan dapat mengembara pada masa yang sama," kata Abil kepada BH PLUS.

ABIL teruja menantikan program yang bakal bersiaran Ogos ini kerana buat pertama kalinya beliau bergelar pengacara. - Foto Zunnur Al Shafiq

Abil berkongsi, beliau hadir ke sesi uji bakat program berjudul Awak Kat Mana itu sekadar ingin mencuba nasib. Beliau kurang pasti bentuk program yang diterbitkan oleh produksi luar itu.

"Saya sebenarnya tak tahu yang itu sebenarnya sesi uji bakat. Jadi dah alang-alang di situ, saya teruskan saja dengan menjadi diri saya sendiri. Saya tidak tahu menahu program apa sebenarnya Awak Kat Mana tu.

"Pada mulanya pihak produksi kata akan memberikan kata putus selepas seminggu, tak sangka selepas satu jam mereka sudah menelefon saya. Namun, saya tidak boleh bercerita terlalu banyak mengenai program ini atas permintaan pihak produksi," katanya.

ABIL bersama anaknya, Keisha Laila. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kata Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH 2012 itu, program Awak Kat Mana terbitan Libero Production itu menjelajah 13 buah negara merentasi benua Eropah.

Pasangan selebriti tempatan yang diundang diterbangkan ke lokasi yang dipilih tanpa pengetahuan mereka. Menariknya, Abil dan kru bergerak dari setiap lokasi dengan menaiki kereta.

"Saya berpeluang untuk bekerja dan bercuti bagi menjayakan program ini. Lebih kurang sebulan setengah juga saya mengelilingi Eropah untuk program Awak Kat Mana ini.

"Program ini juga membolehkan saya untuk menjadi diri sendiri kerana dialog dilontarkan secara spontan. Saya hanya mengikut skrip apabila ingin memperkenalkan negara saja," ujar Abil mengakhiri perbualan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X