Rabu, 24 Jun 2015 | 3:26pm

Wanita maut melintas jalan dirempuh dua kereta

SOO Yi Jing, 24, mati ditempat kejadian. - Foto Arifin Salleh

JOHOR BAHRU: Seorang wanita pejalan kaki maut selepas dirempuh dua kereta ketika melintas jalan di Kilometer 31.5 Jalan Kluang-Ayer Hitam, berhampiran Taman UPC, Ayer Hitam, dekat Batu Pahat, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata dalam kemalangan 6.50 pagi itu, mangsa, Soo Yi Jing, 24, dari Taman UPC, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di paha, badan dan kepala.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila Soo yang sedang melintas jalan dilanggar sebuah kereta dari arah Batu Pahat yang menyebabkannya tercampak ke laluan bertentangan.

"Soo seterusnya dilanggar pula sebuah Proton Saga dan diseret ke tepi jalan," kata Din.

Beliau berkata, kereta pertama yang melanggar Soo masih gagal dikesan dan tiada saksi ketika kejadian berlaku.

Katanya, mayat Soo kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk bedah siasat.

- BERNAMA

Berita Harian X