X
Rabu, 24 Jun 2015 | 9:18pm

NCER raih pelaburan RM7.8 bilion separuh pertama 2015

PUTRAJAYA: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meraih pelaburan swasta sebanyak RM7.8 bilion pada separuh pertama tahun ini.

Dalam kenyataan, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyatakan tarikan utama pelabur ke NCER terus dipacu oleh sektor pengeluaran.

Menurutnya, ini berdasarkan struktur sokongan yang menarik, kemudahan dan perkhidmatan yang dibangunkan sebagai asas untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran.

Sejajar dengan matlamat NCIA untuk meningkatkan penglibatan sektor swasta seperti yang dinyatakan dalam fasa kedua pelaksanaannya, empat projek berteknologi tinggi, satu bagi setiap empat negeri NCER, diumumkan hari ini pada majlis pertukaran dokumen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan majlis itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis NCIA Ke-14 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Menteri Besar Perlis, Azlan Man dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy.

Pertukaran dokumen itu adalah antara NCIA dan Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd, BHIC Marine Technology Academy Sdn Bhd, Gading Kencana Sdn Bhd dan QDOS Holdings Bhd.

Di bawah perjanjian itu, syarikat akan mewujudkan inisiatif dan kemudahan baharu dalam wilayah itu yang akan menghasilkan kesan limpahan yang besar seperti mewujudkan dan membangunkan tenaga kerja khusus dan berkemahiran tinggi, peningkatan logistik serta peluang pembangunan perniagaan dan pengeluaran kontrak.

Sementara itu, Datuk Redza Rafiq berkata NCIA telah mencapai kemajuan dalam pencapaiannya setakat ini dan akan bekerja keras untuk mencapai, sekalipun tidak mengatasi Indeks Prestasi Utamanya (KPI).

"Majlis pada hari ini menjadi bukti bahawa tidak mustahil untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui inisiatif teknologi tinggi, terutamanya berdasarkan potensi besar yang ditawarkan oleh NCER dan kami optimis bahawa aliran meningkat ini akan berterusan," katanya.

Beliau berkata, NCIA mengharapkan penyertaan yang lebih besar daripada sektor swasta untuk meningkatkan ekosistem, selain meluaskan dan mengekalkan asas tenaga kerja berkaitan industri.

"Ini sejajar dengan visi kami untuk mewujudkan kesan kolektif melalui penjanaan pertumbuhan ekonomi, selain mewujudkan faedah limpahan yang positif untuk rakyat," katanya.

NCIA telah mencapai lebih separuh daripada sasaran 30 peratus bagi penyertaan sektor swasta tempatan, enam inisiatif berimpak tinggi melalui inisiatif pembangunan industri, tiga inisiatif pembangunan PKS/keusahawanan dan sokongan, serta tujuh program masyarakat sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan sosio ekonomi.

Pada akhir tahun, NCIA dijangka menarik pelaburan sebanyak RM10 bilion daripada pelabur swasta.

Pada majlis itu, NCIA turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia bagi kerjasama yang menumpukan kepada bidang seperti pembangunan dan penyelidikan usaha sama, pengkomersialan inisiatif pembangunan dan penyelidikan, program sosial dan masyarakat bersama, mewujudkan institusi pengajian tinggi baharu di NCER, pemindahan maklumat dan latihan bersama.

- BERNAMA

Berita Harian X