Khamis, 25 Jun 2015 | 12:02am
POTENSI warga emas boleh diperkukuh bagi pembangunan negara melalui strategi penuaan aktif dan produktif. - Foto Maya Sarina Mahat

Malaysia jadi negara tua 2030


KAJIAN dalam kalangan warga tua mendapati ramai mereka yang kehabisan wang simpanan hari tua kerana memberikan wang berkenaan kepada anak sebaik saja mengeluarkan caruman dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Tengku Aizan Hamid, berkata keadaan itu amat menyedihkan kerana ramai warga emas hidup melarat, sedangkan wang yang sepatutnya menjadi bekalan di masa tua sudah dihabiskan dengan memberinya kepada anak.

"Ibu bapa perlu memikirkan diri sendiri terutama untuk masa tua. Tidak dinafikan, sebagai ibu bapa tentu tidak mahu menghampakan permintaan anak yang mahukan wang tetapi jangan sampai mengabaikan keperluan sendiri kerana anak mampu berusaha berikutan masih muda dan bertenaga," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.


JURULATIH Qigong, Da Zirong memberi penerangan kepada warga emas di MyAgeing Universiti Putra Malaysia, Serdang. - Foto Maya Sarina Mahat

Mengikut ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), individu yang berusia 60 tahun dan ke atas dikategorikan sebagai warga tua. Keputusan yang dibuat di Vienna, Austria pada tahun 1982 itu turut diterima pakai oleh semua negara ASEAN, termasuk Malaysia.

Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia akan merasai penuaan penduduknya dalam masa terdekat, malah pencapaian status negara 'tua' ini lebih cepat berbanding negara maju.

Warga tua di Malaysia akan berganda daripada tujuh peratus kepada 14 peratus dalam masa 28 tahun saja berbanding Sweden yang terpaksa mengambil masa selama 112 tahun untuk mencapai status 'tua' ini.

Mengikut unjuran PBB, Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berusia 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk. Jika mengikut program pembangunan kebangsaan, Malaysia akan menjadi negara tua menjelang Rancangan Malaysia Ke-14!

Antara faktor yang menyumbang ke arah negara tua adalah penurunan kadar kesuburan dan jangka hayat penduduk yang lebih panjang dengan purata umur bagi wanita adalah 77 tahun dan lelaki pula 72 tahun. Malah, di negara ini, penggandaan penduduk yang berusia 65 tahun dan ke atas meningkat tujuh peratus hingga 14 peratus dalam tempoh 23 tahun berbanding 50 hingga 100 tahun bagi negara maju.


PROF Dr Tengku Aizan Hamid. - Foto Maya Sarina Mahat

Prof Tengku Aizan berkata, sesebuah negara itu dikategorikan sebagai tua apabila peratusan jumlah warga emas meningkat saban tahun berbanding jumlah penduduk.

"Berbeza dengan negara maju, penuaan penduduk di negara membangun berlaku dengan begitu pesat. Di Perancis misalnya, negara itu mengambil masa 115 tahun untuk menggandakan peratusan kadar penuaan di negara itu, begitu juga Amerika selama 80 tahun dan Jepun selama 26 tahun. Justeru, negara berkenaan mempunyai masa secukupnya untuk menyediakan kemudahan, termasuk kesihatan dan pusat penjagaan untuk golongan warga emas itu," katanya.

Keadaan sebaliknya di negara membangun, penuaan penduduk berlaku selari dengan pembangunan. Justeru, perlu ada persediaan untuk ke arah itu supaya golongan warga emas ini terbela. Komuniti memainkan peranan penting dalam usaha membantu memberikan perkhidmatan kepada warga tua.

"Memandangkan Malaysia bakal menjadi negara penduduk tua sebelum menjadi negara kaya, semua pihak perlu bersiap-sedia dan merancang sebaiknya untuk menangani impak penuaan penduduk yang pesat," katanya.


MYAGEING berupaya membentuk persekitaran yang menyokong warga emas menerusi pembangunan kemudahan fizikal. - Foto Maya Sarina Mahat

Tanpa menganggap warga tua sebagai bebanan, semua pihak perlu mencari jalan dan melaksanakan perancangan yang lebih komprehensif bagi menangani cabaran penuaan penduduk.

Ini kerana, ketika ini, pendekatan berorientasikan kebajikan hanya menyentuh keperluan sebahagian kecil warga emas. Dengan kadar peningkatan warga emas yang pesat, potensi warga emas boleh diperkukuh bagi pembangunan negara melalui strategi penuaan aktif dan produktif.

Menyedari cabaran besar dalam menghadapi negara tua ini, MyAgeing yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Gerontologi melaksanakan pelbagai bidang penyelidikan, latihan dan sokongan bagi kumpulan sasar ini. Institut ini bertanggungjawab ke atas koordinasi dan pemantauan agenda penuaan penduduk sebagaimana yang bakal digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11).

Ia berfungsi sebagai pusat penyelidikan kebangsaan dalam gerontologi, geriatrik dan geronteknologi serta memacu inovasi bagi menangani cabaran usia emas dan penuaan pelbagai dimensi di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara.


WARGA emas menyertai aktiviti dikendalikan Da Zirong di MyAgeing Universiti Putra Malaysia, Serdang. - Foto Maya Sarina Mahat

Hasil penyelidikan institut penyelidikan ini disalurkan kepada pihak kerajaan, industri dan komuniti untuk pembentukan dasar berasaskan bukti, program untuk meningkatkan pembangunan modal insan, penilaian impak program, inovasi produk dan perkhidmatan berkaitan penuaan.

Prof Tengku Aizan berkata, MyAgeing berhasrat membentuk persekitaran yang menyokong warga emas menerusi pembangunan kemudahan fizikal mesra usia emas, guna tenaga terlatih dalam bidang geriatrik dan gerontologi serta pembangunan teknologi membantu untuk warga emas.

Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti dan mengetengahkan keperluan warga emas, keluarga dan ahli masyarakat serta menangani impak negatif penuaan penduduk.

Berita Harian X