Khamis, 25 Jun 2015 | 5:14pm

Mahkamah Persekutuan arah anak hadir semasa keputusan hak penjagaan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini memerintahkan ibu dan bapa yang terbabit dalam pertikaian hak penjagaan, membawa dua anak mereka ke mahkamah pada hari mahkamah menyampaikan keputusannya berhubung hak penjagaan kanak-kanak berkenaan.

Anak perempuan pasangan itu yang berumur 10 tahun tinggal bersama ibu S.Deepa, penganut Hindu, manakala anak lelaki mereka berumur tujuh tahun tinggal bersama bapa, Izwan Abdullah, yang telah memeluk Islam.

"Kami mahu dua kanak-kanak ini hadir semasa kami menyampaikan keputusan kami," kata Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel hakim lima anggota.

"Beritahu mereka (ibu bapa) untuk membawa kanak-kanak berkenaan," katanya selepas peguam mewakili Izwan, Mohamed Haniff Katri Abdulla memaklumkan kepada panel itu tentang kehadiran anak guamnya (Izwan) di mahkamah.

Deepa, 32, dan Izwan, 31, yang dahulunya penganut Hindu bernama N.Viran, hadir di mahkamah hari ini tetapi dua anak mereka tidak hadir. - BERNAMA

Berita Harian X