Jumaat, 26 Jun 2015 | 12:11am
ONG Kim Swee (dua dari kiri) ketika Malaysia menentang Vietnam pada perlawanan Kumpulan B Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan, Singapura. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
ONG Kim Swee (dua dari kiri) ketika Malaysia menentang Vietnam pada perlawanan Kumpulan B Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan, Singapura. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Saya tak mampu lakukan keajaiban - Kim Swee

ONG Kim Swee (kanan) ketika perlawanan menentang Thailand dalam kumpulan B Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan, Singapura. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
ONG Kim Swee (kanan) ketika perlawanan menentang Thailand dalam kumpulan B Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan, Singapura. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KEGAGALAN skuad B-23 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee di temasya Sukan SEA Singapura menimbulkan banyak persoalan. Antaranya pengendali yang pernah dianggap antara jurulatih muda terbaik negara itu sudah hilang sentuhan emasnya dan ke mana hala tujunya selepas ini.

Wartawan BH, Syed Riduan Ahmad menemubual Kim Swee selepas skuad kendaliannya gagal ke separuh akhir apabila sekadar menduduki tempat ketiga Kumpulan B yang diterajui Vietnam dan Thailand.

ONG Kim Swee (dua, kanan) bersama pemain Malaysia ketika bertemu Thailand dalam kumpulan B Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan, Singapura. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
ONG Kim Swee (dua, kanan) bersama pemain Malaysia ketika bertemu Thailand dalam kumpulan B Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan, Singapura. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Soalan (S): Harapan diletakkan kepada skuad B-23 negara kali ini cukup tinggi - untuk merampas kembali emas yang diraih pada 2009 dan 2011 - tetapi kita tersingkir di peringkat kumpulan. Di manakah silapnya?

Jawapan (J): Sebagai ketua jurulatih skuad ini, sudah tentu saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan ini. Saya boleh memberikan seribu alasan tetapi sebagai individu yang diberikan kepercayaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membimbing pasukan, saya perlu menanggung kegagalan ini.

Untuk mencari di mana silapnya sehingga kita gagal ke separuh akhir tidak sukar. Lihat sendiri prestasi permainan kita berbanding Vietnam dan Thailand. Itu sudah cukup membayangkan sejauh mana kita ketinggalan.

Pada edisi 2011, saya mempunyai keyakinan cukup tinggi terhadap skuad kendalian saya kerana tahap kecergasan, mentaliti dan persediaan kita begitu tinggi dan rapi.

Kemudian pada edisi 2013, sepatutnya saya mempunyai skuad terbaik dengan pemain muda kita berada di kemuncak prestasi, tetapi sayangnya 12 pemain tonggak mengalami kecederaan dan kita terkandas di separuh akhir selepas tewas penentuan penalti.

Untuk edisi kali ini, saya mempersiapkan pasukan seperti dilakukan Dollah Salleh bagi pasukan kebangsaan, yang mana saya perlu memanggil pemain muda dari kelab dan negeri.

Cuma perbezaannya, tidak ramai pemain muda yang beraksi secara kerap dalam liga dan saya masih terpaksa mengharapkan pemain Harimau Muda dan beberapa bekas pemain kendalian saya yang masih layak beraksi. Jika kita lihat Vietnam dan Thailand, majoriti pemainnya adalah tonggak utama di kelab masing-masing manakala skuad negara hanya mempunyai seorang pemain yang beraksi penuh 90 minit pada setiap perlawanan liga, iaitu Matthew Davies yang bersama Pahang.

Jadi saya rasa dengan gambaran yang saya berikan ini umum boleh menilai sendiri sejauh mana kemampuan kita di rantau ini. Mungkin jurulatih lain mampu melakukan keajaiban dalam situasi sebegini, tetapi bagi saya pendedahan dan kecergasan perlawanan faktor penentu dalam kejohanan sebegini.

ONG Kim Swee. - Foto Rosli Rahmat
ONG Kim Swee. - Foto Rosli Rahmat

S: Pada aksi pertama menentang Timor-Leste, skuad negara kehilangan perancang utama, Nazmi Faiz Mansor yang kemudian digantung enam perlawanan. Apakah ketiadaan Nazmi mengganggu perancangan anda di kejohanan ini?

J: Sudah tentu. Saya membawa Nazmi pada edisi 2011 ketika usianya 17 tahun dan pada edisi kali ini sudah pasti saya mengharapkan Nazmi sebagai tonggak utama pasukan.

Memang ada perbezaan apabila Nazmi tidak beraksi. Gandingannya dengan Gary Steven Robbat di bahagian tengah menjadi nadi kepada taktikal permainan kali ini, jadi apabila dia digantung, saya terpaksa mengubah strategi.

Tetapi dalam bola sepak kita perlu menerima situasi seperti ini walaupun sepatutnya ia boleh dielakkan. Cuma apa yang saya kesalkan, dalam tempoh empat tahun ini, kita tidak dapat lahirkan seorang lagi pemain seperti Nazmi.

S: Anda sering menekankan aspek persiapan sebagai faktor penting kejayaan sesebuah pasukan. Apakah anda berpuas hati dengan persiapan kali ini?

J: Tempoh sebulan persiapan mungkin mencukupi jika kita mempunyai 30 hingga 40 pemain B-23 yang mengisi kesebelasan utama semua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M). Bagaimanapun, apabila tonggak utama saya adalah pemain yang baru pulih daripada kecederaan dan kebanyakannya sekadar berada di bangku simpanan, sudah tentu ia tidak mencukupi.

Selain daripada itu saya juga perlu memastikan pemain ini mempunyai kecergasan dengan mengharungi perlawanan-perlawanan kompetitif pada peringkat usia yang sama. Untuk edisi kali ini kita hanya berdepan Indonesia B-23 yang boleh dianggap perlawanan dalam kategori itu. Vietnam dalam persediaan untuk temasya ini mengharungi perlawanan persahabatan dengan Uzbekistan, Thailand dan Korea Selatan. Jadi tidak hairanlah prestasi mereka begitu memberangsangkan kali ini.

ONG King Swee (tengah) mengendalikan sesi latihan pasukan Harimau Muda ketika Sukan SEA 2015. - Foto Osman Adnan
ONG King Swee (tengah) mengendalikan sesi latihan pasukan Harimau Muda ketika Sukan SEA 2015. - Foto Osman Adnan

S: Tahun ini juga menyaksikan sedikit kekeliruan dalam program Harimau Muda A apabila ramai pemain kembali ke pasukan kelab dan negeri manakala pemain yang tinggal diambil alih oleh jurulatih Harimau Muda B, Razip Ismail, manakala anda diberikan tugas sebagai pencari bakat sebelum kembali mengendali pasukan sebulan sebelum temasya. Adakah ia memberi kesan kepada persiapan kali ini?

J: Sebagai jurulatih di bawah FAM, saya perlu mengikut program dan arahan dari majikan. Apabila berlaku pertukaran jurulatih, sudah tentu berlaku pertukaran corak latihan dan permainan.

Walaupun sebahagian pemain pernah bersama saya ketika latihan di Australia tahun lalu, apabila mereka kembali bersama saya, saya perlu bermula dari awal mengikut acuan saya pula. Mungkin bagi sesetengah orang cara itu lebih berkesan, tetapi bagi saya kesannya apa yang kita lihat sekarang.

ONG Kim Swee (kiri) dan Saiful Ridzuwan Selamat pada sesi latihan skuad Harimau Muda di Kompleks Sukan Bukit Gombak, Singapura. - Foto Osman Adnan
ONG Kim Swee (kiri) dan Saiful Ridzuwan Selamat pada sesi latihan skuad Harimau Muda di Kompleks Sukan Bukit Gombak, Singapura. - Foto Osman Adnan

S: Rekod cemerlang anda bersama FAM dilihat tercalar dengan pencapaian di Sukan SEA kali ini. Bagaimana anda lihat masa depan anda bersama badan induk bola sepak negara itu?

J: Kontrak saya akan berakhir Disember ini. Saya masih ada misi di Sukan Universiti Dunia selepas ini, tetapi itu bergantung kepada FAM.

Saya gagal mencapai KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) yang ditetapkan pada Sukan SEA kali ini, jadi apa pun keputusan oleh FAM, saya terima dengan hati terbuka.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X